Rejimen antibiotik untuk sepsis neonatal awal

Soalan tinjauan

Kami mengkaji bukti yang ada mengenai rejimen antibiotik yang berbeza untuk bayi baru lahir (dari kelahiran hingga 72 jam kehidupan), dengan sepsis awal (yang ditakrifkan oleh ahli percubaan).

Latar belakang

Sepsis pada bayi baru lahir adalah keadaan yang seruis dan berpotensi mengakibatkan kematian, disebabkan oleh tindak balas badan terhadap jangkitan. Sepsis neonatal adalah penyebab utama kematian neonatal ketiga di peringkat global . Walaupun terdapat beban tinggi sepsis dalam bayi baru lahir, tetapi masih kekurangan bukti berkualiti tinggi dalam diagnosis dan rawatan. Tinjauan Cochrane ini mula-mula diterbitkan pada tahun 2004. Untuk mengenal pasti dasar antibiotik yang paling sesuai untuk sepsis neonatal, terdapat keperluan untuk mendasarkan asas ini pada tinjauan yang dikemas kini dan dilakukan dengan baik. Memandangkan kepentingan klinikal, tinjauan yang menilai kesan rejimen antibiotik yang berbeza untuk sepsis neonatal awal adalah diperlukan.

Ciri-ciri kajian

Bukti terkini sehingga Ogos 2020. Kami menyertakan lima kajian rawak dengan sejumlah 865 peserta. Percubaan yang disertakan membandingkan lima rejimen antibiotik yang berbeza.

Hasil utama

Kami menyertakan lima percubaan: satu percubaan membandingkan ampicillin tambah gentamicin dengan benzylpenicillin tambah gentamicin; satu kajian membandingkan piperacillin tambah tazobactam dengan amikacin; satu kajian membandingkan ticarcillin tambah clavulanic acid dengan piperacillin tambah gentamicin; satu kajian membandingkan piperacillin dengan ampicillin tambah amikacin; serta satu kajian membandingkan ceftazidime dengan benzylpenicillin tambah gentamicin.

Antara lima perbandingan tersebut, tidak ada yang menunjukkan perbezaan apabila menilai kematian oleh semua sebab, kesan sampingan serius (seperti komplikasi utama), sokongan pernafasan, sokongan peredaran darah, nefrotoksisitas (toksik dalam buah pinggang), kemerosotan perkembangan neurologi (kecacatan dalam fungsi otak yang mempengaruhi tingkah laku, ingatan atau kemampuan belajar kanak-kanak), enterokolitis nekrotik (tisu dalam usus menjadi radang dan mulai mati) atau ototoksisiti (toksik pada telinga). Bukti kini tidak dapat mengesahkan atau menolak satu rejimen antibiotik lebih baik daripada antara satu sama lain.

Kualiti bukti

Bukti di sebalik kesimpulan kami adalah berkualiti sangat rendah. Kelima-lima kajian tersebut mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi (kajian-kajian dijalankan dengan cara yang mungkin mengeluarkan hasil kepada hala positif). Di samping itu, lima kajian tersebut menyertakan sedikit peserta dan menjadikan hasil tinjauan ini tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information