Bolehkah ubat dementia (memantine) membantu penghidap gangguan spektrum autisme?

Latar belakang
Gangguan spektrum autisme (autisme) adalah keadaan perubatan yang bermula pada zaman kanak-kanak. Gejala-gejala teras termasuk kesukaran berterusan dengan komunikasi sosial (contohnya, kesukaran dengan perbualan bolak-balik, komunikasi tanpa kata-kata, dan dalam membina dan mengekalkan perhubungan), dan minat dan tingkah laku yang berulang dan terhad (contohnya, ragam berulang, minat dan tingkah laku terhad, tentangan perubahan dan sensitiviti deria). Kira-kira 1% hingga 2% kanak-kanak menghidap autisme. Penghidap autistime selalunya mempunyai keadaan perubatan lain seperti gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD), kebimbangan, gangguan bahasa (contohnya, kesukaran memahami dan menggunakan tatabahasa) dan ketidakupayaan intelek. Autisme boleh memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup, pencapaian sekolah dan perhubungan sosial. Memantine ialah ubat yang digunakan secara tradisional untuk merawat dementia, tetapi beberapa kajian mencadangkan bahawa ia boleh mengurangkan simptom utama autisme. Jika memantine digunakan untuk mengubah simptom utama autisme, ia adalah penting untuk menilai sama ada ia berkesan dan selamat. Ulasan ini menggabungkan bukti penyelidikan mengenai penggunaan memantine dalam autisme.

Soalan ulasan
Adakah memantine mengubah simptom utama autisme dan tingkah laku yang berkaitan?

Tarikh pencarian
Bukti adalah terkini sehingga 14 Februari 2022.

Ciri-ciri kajian
Kami menemui tiga kajian dengan 204 orang yang telah menilai keberkesanan memantine dalam autisme. Semua kajian adalah kajian rawak terkawal, bermakna peserta diperuntukkan secara rawak untuk menerima sama ada rawatan atau pil palsu (plasebo). Ini adalah reka bentuk terbaik untuk menilai keberkesanan rawatan. Ketiga-tiga kajian termasuk kanak-kanak yang didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme, dengan purata umur 9.40 tahun. Kami tidak menemui sebarang kajian melibatkan orang dewasa. Kanak-kanak menerima memantine (selama 12 minggu dalam dua kajian dan selama 24 minggu dalam satu kajian), dan tingkah laku mereka dinilai sebelum rawatan dan sejurus selepas rawatan.

Sumber pembiayaan kajian
Satu kajian telah ditaja dan dibiayai oleh makmal yang menghasilkan memantine (Forest). Penaja kajian membantu mereka bentuk kajian, mengumpul maklumat, menganalisis dan mentafsir maklumat, dan mengambil keputusan untuk menerbitkan hasilnya. Pengarang dua kajian lain yang lebih kecil berkata mereka tidak menerima sebarang pembiayaan; walaupun dalam salah satu kajian ini, Forest Pharmaceuticals menyediakan ubat secara percuma.

Hasil utama
Tidak jelas sama ada memantine membuat sebarang perbezaan kepada simptom utama autisme. Selain itu, mungkin tiada perbezaan antara memantine dan plasebo dalam kejadian kesan sampingan, keupayaan bahasa, ingatan, tingkah laku penyesuaian atau tingkah laku hiperaktif dan kerengsaan yang berkaitan dengan autisme.

Batasan bukti
Kami tidak yakin tentang bukti untuk simptom utama autisme kerana ia hanya berdasarkan tiga kajian kecil; kerana kajian itu merangkumi pelbagai jenis orang dan memberikan ubat dengan cara yang berbeza; dan kerana kajian tidak selalu memberikan maklumat tentang semua yang kami minati. Di samping itu, kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti tentang kesan sampingan dan bahasa kerana ia hanya berdasarkan dua kajian kecil; dan kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti tentang kecerdasan, ingatan, tingkah laku penyesuaian, hiperaktif dan kerengsaan, kerana ia hanya berdasarkan satu kajian kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information