Meramalkan sawan kedua selepas satu sawan tanpa provokasi

Mengapa ulasan ini dilakukan?

Satu sawan tanpa provokasi adalah perkara biasa, dengan anggaran sehingga 3% hingga 4% daripada populasi akan mengalaminya menjelang umur 85 tahun. Ini bermakna kira-kira satu daripada 25 orang mengalami sawan epilepsi sepanjang hayat mereka. Oleh itu, adalah amat penting bahawa data prognostik yang tepat tersedia supaya doktor boleh menasihati orang ramai dengan pasti tentang risiko sawan lanjut, dan faktor yang meramalkan berulangnya sawan dan oleh itu perkembangan epilepsi.

Apakah matlamat ulasan?

Objektif utama ulasan ini adalah untuk menyediakan orang yang mengalami sekali sawan, keluarga mereka, dan doktor yang menjaga mereka, dengan maklumat yang lebih tepat berkaitan dengan risiko sawan yang tidak diprovokasi selanjutnya dan perkembangan epilepsi.

Objektif tambahan semakan ini adalah untuk menyediakan orang yang mengalami sekali sawan, keluarga mereka, dan doktor yang menjaga mereka, dengan maklumat yang lebih tepat berkaitan dengan risiko kematian pramatang berikutan sawan tanpa provokasi.

Mesej utama

Walaupun terdapat beberapa perbezaan yang agak besar dalam reka bentuk kajian yang disertakan dalam ulasan ini, kami dapat memberikan maklumat tentang risiko mendapat sawan lagi pada 6 bulan, 12 bulan dan 24 bulan.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami mencari kajian berkaitan yang mempunyai reka bentuk yang boleh dipercayai dan yang melaporkan bilangan orang yang mengalami sawan kedua selepas sawan pertama yang tidak diprovokasi. Kami menemui 58 kajian yang melibatkan 12,160 orang. Dua puluh enam kajian melibatkan kanak-kanak sahaja, 16 adalah dewasa sahaja dan baki 16 kajian adalah gabungan kanak-kanak dan orang dewasa. Orang ramai perlu disusuli sekurang-kurangnya enam bulan dan termasuk bilangan minimum 30 orang.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mengumpul kadar sawan kedua yang dilaporkan pada 6 bulan, 12 bulan dan 24 bulan. Kami kemudiannya menggabungkan data pada tiga titik masa yang ditetapkan ini dan dapat membandingkan peluang untuk mengalami sawan kedua mengikut berapa lama masa telah berlalu selepas sawan pertama. Pada enam bulan peluang untuk mengadakan acara kedua ialah 27%, manakala ia adalah 36% pada satu tahun dan akhirnya pada dua tahun ia adalah 43%. Peluang untuk mendapat sawan kedua adalah lebih tinggi sedikit pada kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information