Mesej utama
Program pendidikan pesakit mungkin tidak mempunyai faedah tambahan jika dibandingkan dengan ubat-ubatan dan penjagaan biasa untuk:
• meredakan penyakit radang usus (IBD);
• mengelakkan kemunculan semula simptom dan simptom penyakit menjadi teruk; atau
• meningkatkan kualiti hidup pesakit IBD.
Apakah penyakit radang usus?
Penyakit radang usus merujuk kepada dua keadaan utama yang menyebabkan keradangan pada usus. Keadaan ini ialah kolitis ulseratif dan penyakit Crohn. Kolitis ulseratif hanya terjadi pada usus besar. Penyakit Crohn pula boleh terjadi pada mana-mana bahagian dalam sistem penghadaman, daripada mulut sehingga ke anus.
IBD boleh menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan perut, cirit-birit yang mungkin berdarah, penurunan berat badan dan keletihan.
Bagaimanakah penyakit radang usus dirawat?
Tiada penyembuh untuk IBD setakat ini. Rawatan biasanya melibatkan ubat-ubatan dan pembedahan, walau bagaimanapun, untuk kes yang ringan, rawatan mungkin tidak diperlukan. Rawatan tambahan termasuklah perubahan diet dan gaya hidup.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Terdapat kemungkinan bahawa program pendidikan boleh memberi manfaat kepada pesakit IBD. Pendidikan ini boleh disampaikan secara bersemuka, dengan pesakit dan pendidik berada di lokasi yang sama atau berbeza seperti dalam kuliah secara langsung, seminar dan bengkel, atau secara jarak jauh tanpa komunikasi secara langsung dengan penggunaan internet, telefon pintar, buku dan video.
Kami ingin mengetahui sekiranya program pendidikan untuk pesakit IBD boleh memberi manfaat terhadap keredaan penyakit, kemunculan semula penyakit atau simptom penyakit menjadi teruk dan kualiti hidup. Kami juga ingin mengetahui tentang kesannya terhadap akses penjagaan kesihatan, masalah kehilangan ubat-ubatan atau pengetahuan keseluruhan pesakit tentang IBD. Selain itu, kami ingin mengetahui tahap keselamatan program pendidikan, walaupun tiada isu keselamatan yang mungkin timbul.
Apakah yang kami lakukan?
Kami membuat pencarian terhadap kajian rawak terkawal (kajian dimana peserta diagihkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan pendidikan pesakit dengan mana-mana rawatan lain dalam kalangan pesakit IBD daripada semua peringkat umur.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 14 kajian yang melibatkan seramai 2708 orang peserta berumur di antara 11 sehingga 75 tahun. Program pendidikan disampaikan melalui internet, telefon pintar, buku atau video, atau melalui kuliah secara bersemuka.
Tempoh intervensi adalah di antara satu sesi 30 minit sehingga 12 bulan. Dua kajian mengkaji populasi yang kesemua pesertanya mempunyai kolitis ulseratif, manakala kajian selebihnya mengkaji populasi yang mempunyai campuran individu dengan kolitis ulseratif dan penyakit Crohn. Tiga belas kajian membandingkan pendidikan pesakit yang diberikan bersama rawatan standard dengan rawatan standard sahaja.
Kesimpulan kami ialah
• Program pendidikan pesakit mungkin tidak mempunyai faedah tambahan kepada ubat-ubatan dan penjagaan biasa untuk:
- mengurangkan simptom IBD;
- mengelakkan kemunculan semula penyakit dan simptom penyakit menjadi teruk;
- meningkatkan kualiti hidup pesakit IBD.
• Kami tidak mengetahui sekiranya pendidikan memberi kesan terhadap akses kepada penjagaan kesihatan, masalah kehilangan ubat-ubatan atau pengetahuan keseluruhan pesakit tentang IBD kerana maklumat ini tidak dilaporkan dalam cara yang membolehkan kami membuat kesimpulan.
• Keselamatan program pendidikan tidak dilaporkan dengan baik mungkin kerana program pendidikan biasanya tidak mempunyai sebarang kesan berbahaya.
Salah satu kajian membandingkan pendidikan yang diberikan melalui internet dengan pendidikan yang diberikan melalui buku, dan satu lagi kajian membandingkan mesej teks pendidikan yang dihantar setiap dua minggu dengan teks yang dihantar setiap minggu. Bukti untuk perbandingan ini adalah terhad dan kami tidak dapat mencapai kesimpulan yang bermakna.
Apakah langkah seterusnya?
Penyelidikan lanjut tentang pendidikan pesakit harus memberi tumpuan terhadap butiran program pendidikan dan memeriksa kumpulan sasaran yang berbeza contohnya bagaimana pendidikan boleh membantu mengurangkan kehilangan ubat-ubatan dan cara terbaik untuk mengakses penjagaan kesihatan.
Apakah batasan bukti?
Salah satu had bukti ialah program pendidikan yang dijalankan tidak dijelaskan dengan baik. Banyak kajian tidak menyatakan dengan jelas tentang matlamat program pendidikan yang ingin mereka capai, kaedah yang digunakan dan sumber yang diperlukan. Had bukti yang lain ialah beberapa kriteria yang diukur oleh kajian seperti keredaan penyakit atau pengurangan kemunculan semula penyakit mungkin bukan sasaran terbaik untuk program pendidikan. Lain-lain seperti penjagaan kesihatan, kehilangan ubat-ubatan dan pengetahuan pesakit mungkin lebih baik, tetapi kriteria ini diukur dalam pelbagai cara yang tidak membenarkan kami menggabungkan bukti yang ada. Selain itu, penjagaan standard yang ditambah dengan program pendidikan pesakit untuk perbandingan tidak diterangkan dengan terperinci. Ini bermakna penjagaan standard mungkin berbeza antara satu kajian dengan kajian yang lain yang boleh menjadikan penemuan kami kurang tepat. Akhir sekali, beberapa kaedah penyelidikan yang digunakan dalam kajian-kajian ini bukanlah daripada kualiti yang terbaik.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga 27 November 2022.
Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my