Mesej utama
• Tiada bukti yang mencukupi untuk mengetahui sebarang rawatan dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan pada kaki yang masih ada pada orang dengan pemotongan.
• Lebih banyak kajian diperlukan tentang rawatan bagi mencegah kemudaratan pada kaki yang masih ada dalam kumpulan ini.
Mengapa pemotongan kaki dilakukan?
Pemotongan kaki biasanya dilakukan kerana kekurangan bekalan darah pada kaki, biasanya kerana diabetes atau masalah peredaran darah yang disebabkan oleh peningkatan usia, merokok, tekanan darah tinggi, dan kolesterol tinggi. Ini biasanya dirujuk sebagai ‘disvaskulariti’. Lebih kurang 1 dalam 10 orang yang menjalani pemotongan kaki akan kehilangan kaki yang satu lagi.
Mengapa kaki yang masih ada penting kepada orang yang menjalani pemotongan?
Penjagaan kaki yang masih ada dikenalpasti sebagai bidang kajian utama oleh kumpulan profesional penjagaan kesihatan dan pesakit, khususnya dalam pencegahan kecederaan seterusnya pada kaki, termasuk ulser, gangren (kematian tisu disebabkan oleh jangkitan atau kekurangan aliran darah), dan pemotongan. Walau bagaimanapun, tidak banyak yang diketahui tentang rawatan (pendidikan, perubatan, psikologi, tingkah laku) yang mengurangkan risiko kehilangan kaki yang masih ada pada orang yang menjalani pemotongan. Rawatan ini boleh melibatkan mengurangkan tekanan pada kaki untuk mencegah ulser, atau menambahbaik aliran darah pada kaki yang masih ada dengan penggunaan ubat, seterusnya mencegah kejadian ulser atau gangren berulang yang akan menyebabkan kehilangan kaki.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin tahu jika ada sebarang rawatan selain pembedahan yang dapat membantu memulihara dan melindungi kaki yang masih ada. Ini termasuklah ubat-ubatan; kit alat pendidikan, mungkin melibatkan buku, risalah, dan kursus atas talian untuk penyertaan pesakit; alatan pembalut luka, pengaturan penjagaan untuk orang di rumah; dan perubahan tentang organisasi menyampaikan penjagaan.
Apakah yang kami melakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan sebarang rawatan bukan pembedahan dengan rawatan bukan pembedahan yang lain atau tiada rawatan untuk memulihara dan melindungi kaki yang masih ada pada orang yang menjalani pemotongan. Kami sertakan kajian yang melaporkan kecederaan seperti ulser dan gangren atau pemotongan kaki yang masih ada. Kami bertujuan membanding dan merumuskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami memasukkan satu kajian yang membandingkan terapi rangsangan elektrik pada bahagian betis yang masih ada ditambah pemulihan biasa berbanding pemulihan biasa sahaja selepas pembedahan dalam 50 orang yang menjalani pemotongan. Ini adalah teknik kajian yang belum pernah diamalkan atau ditulis secara meluas. Kajian itu tidak menemui insiden baru kehilangan tisu dan tiada perbezaan antara kumpulan dalam kelangsungan hidup peserta, tetapi mereka yang menjalani terapi rangsangan elektrik adalah tiga kali ganda kurang kemungkinan mengalami pemotongan (4% berbanding 12%). Kajian itu tidak melaporkan tentang tempoh masa kehilangan tisu baru, pemotongan, atau pemotongan kecil, atau mengenai insiden pemotongan kecil.
Apakah batasan bukti?
Kami menemui hanya satu kajian. Terdapat berberapa masalah tentang bagaimana kajian tersebut dijalankan dan dilaporkan. Terutamanya, tiada perbezaan dalam rupa ulser atau gangren, atau rasa sakit pada kaki peserta kajian, maka tidak jelas mengapa terdapat perbezaan dalam kadar pemotongan. Oleh itu kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti yang ada. Penyelidikan lanjut adalah diperlukan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Afrina Ariff (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).