Mesej utama
- Disebabkan kekurangan bukti kukuh, adalah tidak jelas sama ada penempatan berpandukan elektromagnet adalah lebih baik daripada penempatan berpandukan endoskopik apabila memasukkan tiub pemakanan ke dalam usus kecil.
- Penempatan berpandukan elektromagnet bagi tiub pemakanan mungkin melibatkan kos yang lebih rendah berbanding penempatan berpandukan endoskopik.
Latar belakang
Penggunaan tiub pemakanan untuk menyampaikan nutrisi melalui usus adalah penting untuk merawat orang yang tidak sihat, mempunyai kekurangan zat makanan, atau kedua-duanya, dan yang mempunyai usus yang berfungsi tetapi tidak boleh makan. Bagi orang yang berisiko tinggi untuk makanan atau cecair memasuki saluran pernafasan (yang boleh menyebabkan pneumonia, iaitu keadaan radang paru-paru), tiub pemakanan boleh digunakan untuk membantu nutrisi dan ubat-ubatan sampai ke usus kecil. Kedua-dua kaedah untuk meletakkan tiub pemakanan melibatkan laluan tiub melalui hidung, esofagus (saluran makanan), perut, dan ke dalam usus kecil (usus) melalui wayar panduan. Walaupun penempatan berpandukan endoskopik - menggunakan tiub nipis dan fleksibel dengan kamera - adalah cara paling biasa untuk meletakkan tiub pemakanan sampai ke usus kecil, beberapa profesional perubatan mesti mengesahkan penempatannya yang berjaya di jabatan x-ray, bukannya di sisi katil seseorang. Sebaliknya, jururawat terlatih menggunakan skrin komputer boleh melakukan penempatan tiub pemakanan berpandukan elektromagnet, serta mengesahkan penempatannya yang berjaya, di sisi katil seseorang.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada penempatan berpandukan elektromagnet atau penempatan berpandukan endoskopik bagi tiub pemakanan ke dalam usus kecil adalah lebih baik dan selamat untuk orang yang tidak sihat dan tidak boleh makan.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan penempatan berpandukan elektromagnet dengan penempatan berpandukan endoskopik bagi tiub pemakanan melalui hidung. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian. Kami menyiasat sejauh mana doktor berjaya dalam memasukkan tiub pemakanan sampai ke usus kecil pada percubaan pertama dan perkadaran orang dalam kajian dengan radang paru-paru. Di samping itu, kami menilai masa yang diambil untuk memasukkan tiub pemakanan ke dalam usus kecil menggunakan dua kaedah berbeza, kos, dan sebarang kejadian yang tidak diingini dan berbahaya.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui empat kajian yang melibatkan 541 peserta yang membandingkan penempatan berpandukan elektromagnet dengan penempatan berpandukan endoskopik bagi tiub pemakanan melalui hidung. CORPAK MedSystems - syarikat peranti perubatan yang mempunyai pengkhususan dalam teknologi penyusuan tiub - membiayai dua daripada empat kajian, tetapi tidak mempunyai peranan dalam reka bentuk kajian, pengumpulan data, analisis data, tafsiran data atau penulisan laporan kajian.
Keputusan utama
Berbanding dengan penempatan berpandukan endoskopik, penempatan berpandukan elektromagnet:
- mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam kejayaan teknikal penempatan tiub pemakanan;
- mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam perkadaran peserta dengan radang paru-paru;
- mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam masa yang diambil untuk meletakkan tiub pemakanan supaya sampai ke usus kecil;
- mungkin mengurangkan kos;
- mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan kejadian yang tidak diingini dan berbahaya.
Apakah maksud penemuan ini?
Disebabkan kekurangan bukti kukuh, tidak jelas sama ada penempatan berpandukan elektromagnet di sisi katil adalah lebih baik daripada penempatan berpandukan endoskopik bagi tiub pemakanan dalam usus kecil. Penyelidikan masa depan dalam bidang ini harus memberi tumpuan kepada isu-isu yang penting kepada pembuat keputusan. Ini termasuk persoalan populasi mana yang perlu dikaji untuk penempatan berpandukan elektromagnet, dan memilih hasil utama, termasuk butiran kesan dan kos yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kepastian kami terhadap keputusan adalah terhad kerana hasil daripada kajian adalah sangat berbeza, dan kajian ini hanya melibatkan jumlah peserta yang kecil. Oleh itu, keputusan harus ditafsirkan berdasarkan batasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my