Mengapa ini penting
Deria bau adalah kritikal untuk seseorang menikmati bau dan rasa, dan penting untuk keselamatan. Semasa pandemik COVID-19 terdapat peningkatan fokus pada perubahan deria bau sebagai salah satu gejala awal berkaitan dengan jangkitan. Ini boleh jadi pengurangan, perubahan atau kehilangan sepenuhnya deria bau. Bagi kebanyakan orang hal ini bersifat sementara, namun bagi sebilangan orang hal ini berlangsung selama beberapa minggu atau bulan. Sekiranya seseorang kehilangan deria bau untuk tempoh yang panjang (lebih dari empat minggu setelah dijangkiti COVID-19), kami tidak tahu sama ada terdapat rawatan yang dapat membantunya sembuh.
Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti
Kami mencari penulisan perubatan, mengenal pasti kajian yang berkaitan dan meringkaskan keputusannya. Kami menilai kualiti kajian serta kepastian bukti. Faktor-faktor yang mempengaruhi hal ini termasuklah saiz kajian, kaedah yang digunakan untuk melaksanakannya dan bagaimana keputusannya dilaporkan oleh penyelidik. Berdasarkan ini, kami mengelaskan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Apa yang kami temui
Kami menemui dua kajian kecil untuk dimasukkan ke dalam ulasan, melibatkan sejumlah 30 orang. Semua peserta mempunyai masalah dengan deria bau mereka yang berlanjutan selama sekurang-kurangnya empat minggu, dan bermula setelah jangkitan COVID-19. Masalah dengan deria bau dikenal pasti menggunakan ujian khas pengenalpastian bau yang dilakukan oleh pasukan penyelidik. Pesakit dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan: mereka yang menerima rawatan dan mereka yang tidak.
Rawatan dalam satu kajian ialah tablet kortikosteroid ('sistemik') dan pengairan hidung (dengan pencucian yang terdiri daripada campuran kortikosteroid, dekongestan dan agen yang memecahkan lendir). Kajian kedua menggunakan suplemen yang dikenali sebagai palmitoylethanolamide dan luteolin.
Kortikosteroid sistemik dan pengairan hidung (kortikosteroid intranasal/dekongestan/mukolitik) berbanding tanpa rawatan
Kami tidak tahu sama ada tablet kortikosteroid dengan pengairan hidung adalah lebih baik atau lebih teruk berbanding tanpa rawatan pada:
- memulihkan deria bau ke normal selepas 40 hari;
- mengubah deria bau selepas 40 hari;
- menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.
Ini kerana bukti yang kami temui adalah berkepastian sangat rendah, terutama disebabkan hanya satu kajian yang dikenal pasti dan ia melibatkan sedikit pesakit.
Palmitoylethanolamide dan luteolin berbanding tanpa rawatan
Kami tidak tahu sama ada palmitoylethanolamide dan luteolin adalah lebih baik atau lebih teruk daripada tiada rawatan pada:
- memulihkan deria bau ke normal selepas 30 hari;
- mengubah deria bau selepas 30 hari;
- menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.
Ini kerana bukti yang kami temui adalah berkepastian sangat rendah, terutama disebabkan hanya satu kajian yang dikenal pasti dan ia melibatkan sedikit pesakit.
Kami menemui sejumlah kajian lain yang sedang dijalankan, tetapi belum ada keputusan dari kajian ini yang dapat dimasukkan dalam ulasan ini.
Apakah maksudnya
Adalah tidak jelas sama ada menggunakan kortikosteroid dengan pengairan hidung, atau menggunakan suplemen palmitoylethanolamide dan luteolin, mungkin merawat masalah deria bau selepas COVID-19, atau sama ada rawatan ini boleh menyebabkan kemudaratan.
Rawatan lain sedang dikaji. Ulasan ini adalah 'ulasan sistematik hidup', bermaksud bahawa kami akan terus memeriksa kajian baru yang mungkin relevan, dan ulasan akan terus dikemas kini apabila ada keputusan tambahan.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Oktober 2021.
Diterjemahkan oleh Amirul Mohd Sallehuddin Mannan (Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my