Intervensi untuk pencegahan gangguan deria bau yang berterusan (disfungsi olfaktri) selepas jangkitan COVID-19

Mengapakah ini penting

COVID-19 didapati boleh mengakibatkan masalah dengan deria bau. Ada kalanya ia melibatkan pengurangan keupayaan untuk menghidu sesuatu, dan kadang-kadang ia ialah kehilangan deria bau sepenuhnya. Bagi kebanyakan orang gejala ini pulih dalam tempoh yang singkat, namun untuk sebilangan yang lain ia boleh berterusan sehingga beberapa minggu atau bulan. Ulasan ini mempertimbangkan sama ada terdapat rawatan yang mungkin diambil oleh orang sebaik sahaja mereka kehilangan deria bau (dalam tempoh empat minggu selepas gejala bermula) untuk mencuba dan menghentikan gejala ini daripada menjadi satu masalah berpanjangan.

Bagaimanakah kami mengenalpasti dan menilai bukti yang ada

Kami telah mencari semua kajian yang berkaitan dalam kesusasteraan perubatan untuk meringkaskan keputusannya. Kami juga meneliti betapa pasti bukti tersebut, dengan mengambil kira perkara seperti saiz kajian dan bagaimana kajian itu dijalankan. Berdasarkan ini, kami mengelaskan bukti sebagai kepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apakah yang kami temui

Kami mendapati lima kajian telah selesai.

Kortikosteroid intranasal berbanding dengan tanpa rawatan

Tiga kajian melihat rawatan ini.

Semburan kortikosteroid hidung mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada deria bau apabila diukur dengan ujian khusus (bukannya apabila bertanya orang tentang deria bau mereka).

Selebihnya bukti adalah kepastian yang sangat rendah, jadi kami tidak tahu sama ada semburan kortikosteroid hidung adalah lebih baik atau lebih teruk daripada tiada rawatan di:

- membantu deria bau kembali normal (sama ada orang merasakan deria bau mereka kembali normal, atau mempunyai deria bau yang normal mengikut ujian tertentu);

- membuat orang berasa bahawa deria bau mereka telah bertambah baik;

- menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Titisan kortikosteroid intranasal berbanding plasebo (rawatan dummy)

Satu kajian melihat rawatan ini.

Titisan kortikosteroid intranasal mungkin tidak memberi sebarang perbezaan kepada bilangan orang yang berpendapat deria bau mereka telah pulih pada 30 hari.

Kami telah menemui beberapa kajian lain yang sedang dijalankan, tetapi tiada keputusan daripada kajian tersebut tersedia untuk dimasukkan dalam ulasan ini.

Apakah maksud ini

Kami tidak tahu sama ada menggunakan semburan kortikosteroid hidung atau titisan hidung mempunyai apa-apa faedah dalam mencegah kehilangan deria bau untuk jangka panjang yang berkaitan dengan COVID-19, atau sama ada mungkin ia menyebabkan sebarang bahaya. Ulasan ini ialah ‘ulasan sistematik hidup’ - bermakna kami akan terus memeriksa kajian baru yang mungkin berkaitan, dan ulasan ini akan dikemas kini secara berterusan apabila sebarang keputusan tambahan tersedia ada.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information