Apakah tujuan ulasan ini?
Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menentukan sama ada menyediakan penduduk kemudahan penjagaan tua (ACF) dengan perawatan yang sama seperti rawatan biasa, yang cuma diberikan dengan cara yang berbeza (model penjagaan alternatif), adalah lebih baik dalam hal pemindahan jabatan kecemasan, kemasukan hospital yang tidak dijadualkan, kejadian-kejadian sampingan, kepatuhan kepada penjagaan klinikal yang disyorkan, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kematian dan kos. Sebagai contoh, adakah pasukan pelbagai disiplin (model alternatif ) cara yang lebih baik untuk menyampaikan penjagaan kepada penghuni ACF dibandingkan dengan menyampaikan penjagaan melalui pengamal individu ( penjagaan biasa)?
Mesej utama
Berbanding dengan penjagaan biasa, model penjagaan alternatif boleh mengurangkan kemasukan ke hospital yang tidak dirancang, tetapi boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan lawatan ke jabatan kecemasan dan kualiti hidup berkaitan kesihatan penghuni ACF, dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian. Kami tidak pasti tentang kesan model penjagaan alternatif terhadap peristiwa buruk (seperti jatuh, ulser tekanan, jangkitan) dan kepatuhan kepada penjagaan yang disyorkan mengikuti garis panduan. Yang penting, kami tidak pasti sama ada model penjagaan alternatif adalah kos efektif disebabkan oleh data tersedia yang terhad dan bercanggah.
Kajian berbeza secara meluas dari segi ciri-ciri intervensi , tetapan penjagaan kesihatan dan penerangan tentang penjagaan biasa dan ini menghalang banyak analisis dalam ulasan ini. Kajian masa depan harus memberikan penerangan terperinci tentang intervensi dan penjagaan biasa dalam tetapan mereka.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Penduduk dunia semakin tua dan bilangan orang yang tinggal di ACF perumahan semakin meningkat di seluruh dunia. Penghuni ACF selalunya orang lemah dan tua, dengan pelbagai keadaan kesihatan yang memerlukan penjagaan perubatan yang intensif . Apabila ACF tidak dapat memberikan penjagaan kesihatan yang sewajarnya, penghuni sering dipindahkan ke hospital untuk rawatan. Pemindahan sedemikian selalunya membebankan dan traumatik bagi penghuni ACF dan keluarga mereka dan boleh menyebabkan peningkatan kos. Model penjagaan alternatif, yang direka untuk menyediakan penjagaan yang diselaraskan dengan lebih baik dan lebih tepat pada masanya, bertujuan untuk mengurangkan pemindahan hospital yang tidak perlu dan meningkatkan kesejahteraan penghuni. Model penjagaan alternatif boleh lebih mahal untuk dilaksanakan (cth. mengambil lebih ramai kakitangan penjagaan kesihatan) tetapi boleh membawa kepada penjimatan kos secara berterusan (cthnya lebih ramai penghuni menerima penjagaan di ACF, lalu mengelakkan pemindahan hospital yang mahal). Bukti yang disusun dalam ulasan ini membandingkan kesan model penjagaan alternatif dengan penjagaan biasa terhadap bilangan pemindahan jabatan kecemasan, kemasukan ke hospital yang tidak dirancang, peristiwa buruk , kepatuhan kepada penjagaan yang disyorkan garis panduan klinikal , kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kematian dan kos. (iaitu adakah model ini memberikan nilai yang lebih baik berbanding dengan penjagaan biasa).
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami mengenal pasti 40 kajian (dengan jumlah keseluruhan 21,787 peserta; tiga kajian tidak memberikan bilangan peserta) dijalankan di 15 negara. Peserta kajian berbeza dengan keperluan kesihatan mereka. Dalam 11 kajian, model penjagaan alternatif ditujukan kepada semua penghuni ACF (dengan keperluan/keadaan kesihatan berbeza). Kajian lain menyertakan penghuni yang mempunyai keadaan kesihatan mental atau masalah tingkah laku (12 kajian), penghuni ACF dengan keadaan tertentu (cth penghuni dengan ulser tekanan; 13 kajian) atau penghuni yang memerlukan jenis penjagaan tertentu (cth penghuni selepas keluar dari hospital; empat kajian). Dalam kebanyakan (31) kajian, model penjagaan alternatif tertumpu pada 'koordinasi penjagaan kesihatan'. Dalam tiga kajian, model penjagaan alternatif tertumpu kepada 'siapa yang menyediakan jaga' (cth. penjagaan yang diterajui pengamal jururawat menggunakan panduan amalan terbaik dan bukannya penjagaan yang diterajui GP) dan dalam dua kajian , model penjagaan alternatif tertumpu pada 'tempat di mana penjagaan disediakan. ' (iaitu menyiasat lokasi alternatif untuk penyediaan penjagaan, contohnya di dalam ACF berbanding di luar ACF). Dalam empat kajian, model penjagaan alternatif memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi untuk penyediaan penjagaan kepada penghuni ACF . Dalam semua kajian, model penjagaan alternatif dibandingkan dengan penjagaan biasa.
Kami menemui bahawa, dibandingkan dengan penjagaan biasa , model penjagaan alternatif boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan lawatan jabatan kecemasan; walau bagaimanapun, bilangan kemasukan hospital yang tidak dirancang boleh dikurangkan. Kami tidak pasti tentang kesan model penjagaan alternatif terhadap peristiwa buruk dan kepatuhan kepada penjagaan yang disyorkan garis panduan klinikal dibandingkan dengan penjagaan biasa. Model penjagaan alternatif boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kualiti hidup berkaitan kesihatan penghuni ACF dan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian. Berdasarkan penemuan lima kajian yang memberikan penilaian ekonomi secara keseluruhan (semua model penjagaan alternatif tertumpu pada 'koordinasi penjagaan kesihatan'), kami tidak pasti sama ada model penjagaan alternatif lebih menjimatkan kos daripada penjagaan biasa .
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana peserta dalam kajian-kajian tersebut mengetahui rawatan yang mereka terima. Penjagaan biasa kurang diterangkan oleh kebanyakan kajian. Penjagaan biasa berbeza merentas negara dan wilayah, jadi kekurangan maklumat ini mengehadkan tafsiran, kontekstualisasi dan generalisasi perbandingan kami. Tidak semua kajian memberikan data tentang hasil yang kami cari untuk menilai.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Penulis ulasan telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Oktober 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).