Mesej utama
Kami sangat yakin bahawa tocilizumab (ubat yang menyekat interleukin‐6 (IL-6)) mengurangkan bilangan orang yang dimasukkan ke hospital yang meninggal dunia akibat COVID-19 dalam tempoh 28 hari rawatan. Walau bagaimanapun, ia mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam peningkatan klinikal (ditakrifkan sebagai meninggalkan hospital atau peningkatan dalam gejala COVID-19).
Sarilumab mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam peningkatan klinikal.
Kami mendapati beberapa kajian menilai ubat penyekat IL-6 yang lain. Oleh itu, kami tidak pasti tentang kesannya.
Sebilangan kecil kajian tidak menerbitkan sebarang keputusan. Kajian ini merawat bilangan orang yang agak sedikit dan keputusan mereka tidak akan mengubah penemuan semasa kami.
Apakah IL‐6, dan apakah peranannya dalam COVID‐19?
IL‐6 ialah sejenis protein yang dipanggil sitokin, yang membantu mengawal sistem imun badan. Khususnya, IL‐6 mencetuskan radang untuk membantu badan mengenali dan melawan jangkitan untuk mempertahankan diri daripada bahan berbahaya, seperti virus.
Apabila seseorang menghidap COVID-19 ia boleh mengganggu sistem imun mereka, menyebabkan ia bertindak balas secara berlebihan. Apabila badan secara berterusan menjadikan IL-6 sebagai sebahagian daripada tindak balas ini, ia boleh menghasilkan tahap radang yang tinggi yang merosakkan badan. Perkara ini boleh menyebabkan kesukaran bernafas yang teruk, kegagalan organ dan kematian.
Apakah ejen penyekat IL-6?
Ejen penghalang IL-6 ialah ubat yang menghentikan IL-6 daripada berfungsi dengan menghalang isyarat daripada IL-6 ke bahagian lain sistem imun. Ia mengurangkan radang dan boleh membantu sistem imun untuk melawan COVID‐19. Sebaliknya, ia mungkin mengurangkan keperluan untuk sokongan pernafasan dengan ventilator (mesin yang memberi pernafasan kepada pesakit) dan mengurangkan jumlah kematian akibat COVID‐19. Ianya sudah diketahui sebagai selamat dan berkesan apabila ia digunakan untuk merawat keadaan yang melibatkan sistem imun yang 'terlalu aktif', seperti arthritis rheumatoid.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ejen penghalang IL-6 adalah rawatan yang berkesan untuk penghidap COVID-19, berbanding dengan penjagaan standard sahaja atau dengan plasebo (rawatan tiruan yang kelihatan sama dengan ubat yang sedang diuji tetapi tanpa sebarang ubat aktif). Kami amat berminat dengan kesan ejen penyekat IL-6 pada:
- sama ada gejala pesakit menjadi lebih baik atau lebih buruk;
- berapa ramai orang yang meninggal dunia; dan
- sebarang kesan tidak diingini dan kesan tidak diingini yang serius.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menguji ubat-ubatan yang menyekat interleukin-6 yang dapat merawat COVID-19. Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima pesakit ditentukan secara kebetulan. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian. Kami menggunakan kaedah standard untuk menilai keyakinan kami terhadap bukti. Keyakinan itu berdasarkan ciri kajian seperti reka bentuk kajian dan bilangan orang yang disertakan.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 32 kajian melibatkan 12,160 pesakit COVID-19. Umur purata pesakit adalah 56 hingga 75 tahun, dan 66% daripada peserta adalah lelaki. Kajian itu dijalankan di hospital di negara yang berbeza di seluruh dunia. Lapan kajian telah dibiayai oleh syarikat farmaseutikal.
Ubat yang paling banyak diuji ialah tocilizumab dan sarilumab.
Kami menemui 17 kajian berdaftar tambahan mengenai ubat-ubatan penyekat IL-6 untuk merawat COVID‐19; kajian ini tidak menerbitkan keputusannya. Sepuluh daripada kajian ini sama ada telah selesai atau masih dalam proses. Tujuh telah ditamatkan.
Apakah keputusan utama ulasan kami?
Berbanding dengan plasebo atau rawatan standard, rawatan dengan tocilizumab:
‐ mengurangkan bilangan pesakit COVID-19 yang mati, atas apa jua sebab, sekitar 28 hari;
‐ mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan pada peningkatan klinikal sekitar 28 hari;
‐ mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan yang tidak diingini.
Kami tidak pasti mengenai kesan rawatan tocilizumab pada:
‐ peningkatan klinikal sekitar 60 hari;
‐ keparahan COVID‐19; iaitu, berapa ramai pesakit yang memerlukan ventilator atau sokongan tambahan untuk atau meninggal dunia akibat COVID‐19 sekitar 28 hari;
‐ berapa ramai pesakit yang meninggal dunia, atas apa jua sebab, sekitar 60 hari.
Berbanding dengan plasebo atau rawatan standard, rawatan dengan tocilizumab:
- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam peningkatan klinikal (ditakrifkan sebagai meninggalkan hospital atau gejala COVID‐19 yang semakin baik) sekitar 28 hari.
Kami tidak pasti tentang kesan rawatan dan kejadian tidak diingini sarilumab, clazakizumab, olokizumab, siltuximab dan levilimab, berbanding plasebo atau rawatan standard.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap keputusan clazakizumab, olokizumab, siltuximab, dan levilimab adalah terhad kerana sedikit bilangan kajian yang dijalankan dan sedikit bilangan orang yang dimasukkan dalam kajian ini. Kami tidak dapat menilai variasi kesan disebabkan oleh perubahan dalam rawatan standard yang disediakan, dan kami juga tidak dapat melihat sama ada kesan berbeza pada orang yang berbeza umur atau jantina.
Selanjutnya, kebanyakan kajian yang dimasukkan dalam ulasan telah dijalankan sebelum gelombang kebimbangan terhadap pelbagai varian dan sebelum vaksinasi dilancarkan pada skala besar.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 7 Jun 2022.
Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my