Latar belakang
Bayi yang sangat pramatang (lahir lapan minggu lebih awal) dan berat yang sangat rendah semasa lahir (kurang daripada 1.5kg) adalah berisiko mendapat enterokolitis nekrotik, keadaan yang teruk di mana sebahagian lapisan usus bayi menjadi meradang, dan sel-sel tisu mati. Keadaan ini dikaitkan dengan kematian, jangkitan serius, serta kehilangan upaya jangka panjang, dan masalah perkembangan.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Satu cara untuk membantu mencegah enterokolitis nekrotik mungkin merupakan penambahan sinbiotik (kombinasi bakteria probiotik atau yis serta gula yang tidak boleh dihadam untuk menyokong pertumbuhan dan kolonisasi probiotik) ke dalam suapan susu. Kami ingin mengetahui sama ada sinbiotik mungkin memberi manfaat kepada bayi yang sangat pramatang dan berat lahir yang sangat rendah. Hasil yang kami minati termasuklah enterokolitis nekrotik, kematian akibat semua sebab, jangkitan serius, tempoh kemasukan ke hospital sejak lahir dan hasil perkembangan saraf.
Apakah yang kami lakukan?
Untuk ulasan Cochrane ini, kami mencari beberapa pangkalan data penting untuk mengenal pasti kajian rawak terkawal yang menyiasat penggunaan sinbiotik untuk mencegah enterokolitis nekrotik dalam bayi yang sangat pramatang dan berat lahir yang sangat rendah. Kami menggunakan kaedah Cochrane standard untuk menjalankan ulasan kami dan melaksanakan analisis kami. Kami menggunakan pendekatan GRADE untuk menilai kepastian bukti bagi setiap hasil.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui enam kajian dengan sejumlah 925 peserta bayi. Kajian kebanyakannya kecil, dan kebanyakannya mempunyai kelemahan reka bentuk yang mungkin memihak kepada penemuan mereka.
Keputusan utama
Analisis gabungan menunjukkan bahawa pemberian sinbiotik kepada bayi yang sangat pramatang dan berat badan sangat rendah mungkin akan mengurangkan risiko enterokolitis nekrotik dan kematian. Sinbiotik mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan dalam mengurangkan risiko jangkitan serius, tetapi buktinya sangat tidak pasti. Tiada kajian yang kami kenal pasti menilai kesan sinbiotik terhadap kehilangan upaya atau hasil perkembangan.
Apakah batasan bukti tersebut?
Walaupun bukti daripada kajian rawak terkawal berpotensi berkepastian tinggi, kaedah yang digunakan dalam kajian yang termasuk dalam ulasan kami ini mungkin mempunyai berat sebelah yang membesar-besarkan faedah pemberian sinbiotik kepada bayi yang sangat pramatang dan berat lahir sangat rendah. Juga, kerana kebanyakan kajian adalah kecil, anggaran kesan untuk beberapa hasil adalah tidak tepat. Atas sebab-sebab ini, kami menurunkan gred kepastian tentang bukti. Semua bukti dalam ulasan kami adalah berkepastian rendah atau sangat rendah.
Terdapat bukti berkepastian rendah tentang sinbiotik mencegah enterokolitis nekrotik dan kematian oleh sebarang sebab. Terdapat bukti berkepastian sangat rendah tentang sinbiotik mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan dalam mencegah jangkitan serius.
Adakah bukti ini mutakhir?
Kami menjalankan carian pangkalan data pada 17 Jun 2021.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my