Apakah faedah dan risiko ubat perangsang menahan nafas seketika di kalangan bayi pramatang?

Mesej utama

– Disebabkan kekurangan bukti kukuh, faedah dan risiko doxapram (ubat yang digunakan dalam kes apabila rangsangan pernafasan diperlukan) dalam mencegah atau merawat pernafasan terhenti seketika di kalangan bayi pramatang adalah tidak jelas. Kami menemui tiada data tentang kesan jangka panjang rawatan.

– Doxapram mungkin sedikit lebih baik berbanding tiada rawatan dalam mengurangkan episod nafas terhenti seketika dengan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan yang tidak diingini. Doxapram mungkin sedikit atau tidak membantu dalam membolehkan bayi bernafas sendiri tanpa sokongan mesin.

– Kajian-kajian yang kami dapati telah ditulis lebih daripada 20 tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, terdapat dua kajian sedang berlangsung mengenai topik ini yang boleh menambah maklumat tentang penggunaan doxapram.

Apakah itu apnea pramatang ?

Apnea pramatang adalah masalah yang kerap berlaku di kalangan bayi pramatang. Bayi yang sangat kecil kadangkala 'terlupa' untuk bernafas dan, apabila mereka menahan nafas selama 20 saat atau lebih, atau apabila episod ini membawa kepada perubahan dalam denyutan jantung dan nilai oksigen mereka, ia dipanggil apnea. Episod apnea boleh memberikan kesan negatif terhadap perkembangan bayi semasa hidup mereka.

Bagaimanakah ia biasanya dirawat di kalangan bayi pramatang?

Doktor biasanya merawat episod menahan nafas dengan ubat-ubatan yang merangsang otak bayi untuk teruskan pernafasan. Ubat-ubatan ini dipanggil methylxanthine dan yang paling dikenali ialah kafein.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada doxapram, sejenis ubat perangsang yang berbeza daripada methylxanthine, boleh membantu merawat atau mencegah episod nafas terhenti seketika. Kami juga ingin mengetahui sama ada doxapram mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan doxapram, secara tunggal atau dengan methylxanthine, dengan tiada rawatan atau rawatan alternatif dalam merawat atau mencegah episod menahan nafas atau dalam membantu bayi untuk bernafas sendiri tanpa sokongan mesin.

Kami membanding dan merumuskan keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati lapan kajian yang melibatkan 248 bayi pramatang, dari 25 hingga 32 minggu usia kandungan (dari hari pertama haid terakhir wanita sehingga kelahiran). Kajian terbesar adalah pada 56 bayi dan kajian terkecil adalah pada 10 bayi. Doxapram dan ubat-ubatan lain diberikan secara infusi melalui vena. Tidak terdapat kajian mengenai pencegahan kejadian menahan nafas. Tiga kajian memberi tumpuan kepada ubat-ubatan yang digunakan untuk membantu bayi bernafas sendiri tanpa sokongan mesin, manakala lima kajian adalah mengenai rawatan kejadian terhentinya pernafasan seketika.

Doxapram mungkin berfungsi lebih baik sedikit berbanding dengan tiada rawatan dalam mengurangkan episod tatkala bayi berhenti bernafas selama beberapa saat, dengan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan yang tidak diingini apabila dibandingkan dengan tiada rawatan atau dengan ubatan lain yang digunakan untuk tujuan yang sama. Kami tidak tahu sama ada doxapram mempunyai kesan terhadap berlakunya kejadian terhenti bernafas seletike apabila dibandingkan dengan rawatan lain, atau terhadap perlunya sokongan pernafasan oleh mesin.

Apabila mencuba mengalihkan bayi yang diventilasi kepada pernafasan mereka sendiri, doxapram boleh membantu ubat-ubatan lain yang biasa digunakan untuk mengurangkan episod menahan nafas, dan ia mungkin memendekkan tempoh sokongan oksigen, walaupun ia mungkin sedikit atau tidak membantu dalam menghentikan sokongan mesin. Kesan doxapram terhadap perihal yang tidak diingini dalam situasi ini adalah tidak jelas.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak begitu yakin dengan bukti kerana tidak semua kajian memberikan data mengenai perihal yang dimahukan. Data yang sedia ada adalah daripada beberapa bayi dengan hanya sedikit jumlah perihal yang dimahukan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information