Terapi penggantian faktor pembekuan berkala untuk mencegah kerosakan sendi pada orang yang hidup dengan hemofilia A atau B yang teruk

Soalan Ulasan

Patutkah mereka yang sebelumnya telah dirawat untuk pendarahan sendi, diberikan rawatan pencegahan secara berkala dengan pekatan faktor pembekuan untuk menguruskan keadaan mereka?

Latar belakang

Hemofilia A dan B adalah gangguan pendarahan yang diwarisi berkaitan X yang mana pendarahan ke dalam sendi adalah masalah utama. Pendarahan sendi yang berulang boleh menyebabkan sendi yang terjejas (biasanya disebut sebagai 'sendi sasaran') menjadi rosak dan sakit dengan pergerakan yang terhad. Pada masa ini, pendarahan dirawat dan dicegah dengan pekatan faktor pembekuan yang berasal dari plasma atau rekombinan, dan terkini adalah formulasi faktor bukan pembekuan. Ulasan ini melihat setakat manakah berguna dan berkesannya strategi rawatan faktor pembekuan yang berbeza untuk mencegah pendarahan sendi dan hasil lain pada orang yang sebelumnya dirawat dengan hemofilia A atau B.

Tarikh carian

Tarikh carian terakhir: 24 Februari 2021.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini merangkumi 10 kajian rawak secara terkawal. Lapan kajian mempunyai rawatan yang membandingkan penggunaan pekatan faktor pembekuan berkala untuk mencegah pendarahan sendi dengan skema dos yang berbeza untuk mengenal pasti rejimen yang mungkin lebih baik; empat rawatan yang membandingkan penggunaan pekatan faktor berkala untuk mencegah pendarahan dengan penggunaan 'atas permintaan' untuk merawat pendarahan setelah ia berlaku (dua percubaan mempunyai pelbagai pilar dan dimasukkan dalam kedua-dua perbandingan).

Keputusan utama

Pada orang yang hidup dengan hemofilia A atau B sebelumnya dirawat untuk pendarahan sendi atau dengan kerosakan sendi yang ada, terapi pencegahan mungkin dapat mengurangkan jumlah pendarahan sendi berbanding dengan 'terapi atas permintaan'. Pengurangan pendarahan ini mungkin dapat menyebabkan penambahbaikan fungsi sendi, kesakitan, dan kualiti hidup. Walau bagaimanapun, terapi pencegahan dikaitkan dengan peningkatan penggunaan pekatan faktor dan dengan itu kos rawatan yang lebih tinggi. Kajian lebih lanjut diperlukan untuk menetapkan kaedah pencegahan terbaik dari segi waktu permulaan, kekerapan dan tahap dos.

Kepastian bukti

Secara keseluruhan, kepastian bukti dinilai rendah kerana pelbagai jenis elemen berat sebelah yang boleh mempengaruhi hasilnya. Penyelidikan masa hadapan mungkin mempunyai peranan penting dalam mengubah keyakinan kami terhadap hasil ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Bin Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information