Pengurangan bilangan antipsikotik untuk penghidap skizofrenia

Mesej utama

- Mengurangkan bilangan antipsikotik mungkin dikaitkan dengan lebih ramai peserta meninggalkan kajian lebih awal, terutamanya disebabkan oleh ketidakberkesanan.

- bilangan kajian dan peserta yang rendah tidak membenarkan kami membuat kesimpulan yang kukuh.

Pengenalan

Skizofrenia ialah penyakit mental yang serius. Orang yang menghidap penyakit ini berjuang untuk membezakan antara pemikiran, kepercayaan dan idea mereka sendiri berbanding realiti. Sebagai contoh, mereka mungkin mendengar suara dalam kepala mereka tetapi rasanya seperti seseorang benar-benar bercakap dengan mereka. Ia terutamanya dirawat dengan ubat-ubatan yang dipanggil antipsikotik. Selalunya penghidap skizofrenia ditawarkan rawatan dengan lebih daripada satu antipsikotik untuk mencapai rawatan yang berkesan. Penggunaan antipsikotik dikaitkan dengan kesan-kesan sampingan, dan antipsikotik yang berbeza boleh berinteraksi, menjadikan kesan-kesan sampingan lebih teruk.

Apakah yang kami ingin mengetahui?

Kami ingin mengetahui sama ada mengurangkan bilangan antipsikotik adalah lebih baik berbanding mengekalkan bilangan antipsikotik yang sama untuk menambah baik:

- kualiti hidup

- bilangan orang yang dimasukkan semula ke hospital

- bilangan orang meninggalkan kajian awal disebabkan kesan-kesan sampingan

- fungsi harian seseorang

- kambuh semula

- bilangan orang yang meninggalkan kajian awal atas sebarang sebab

- bilangan orang dengan sekurang-kurangnya satu kesan sampingan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang mengkaji mengurangkan bilangan antipsikotik berbanding mengekalkan bilangan antipsikotik yang sama pada penghidap skizofrenia.

Kami telah membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian-kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menjumpai lima kajian yang melibatkan 319 peserta dengan skizofrenia. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan antara tiga bulan sehingga satu tahun. Ia dijalankan di Kanada, Jepun, Finland dan dua di Amerika Syarikat, dan semuanya ditaja oleh institusi awam.

Kami mendapati mengurangkan bilangan antipsikotik mungkin meningkatkan bilangan peserta yang meninggalkan kajian lebih awal, terutamanya kerana rawatan tersebut kurang berkesan.

Kami mendapati tiada perbezaan dari segi kemasukan semula ke hospital, meninggalkan kajian awal disebabkan kesan-kesan sampingan, fungsi dan bilangan peserta dengan sekurang-kurangnya satu kesan sampingan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

Kami tidak menjumpai data tentang kualiti hidup dan kambuh semula.

Apakah limitasi bukti tersebut?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana ada kemungkinan bahawa orang dalam kajian-kajian tersebut mengetahui rawatan yang mereka terima. Bukan semua kajian menyediakan data tentang semua yang kami minati. Tambahan pula, tiada kajian yang mencukupi untuk memastikan keputusan hasil kami, dan saiz kajian adalah kecil.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric Inc.). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information