Mesej utama
Mengurangkan dos antipsikotik mungkin berkait dengan lebih ramai peserta kajian yang sakit semula atau meninggalkan kajian lebih awal.
Terdapat sangat sedikit maklumat tentang kualiti hidup, fungsi, dan kesan sampingan.
Pengenalan kepada topik ulasan
Skizofrenia ialah suatu penyakit serius yang memerlukan rawatan dengan ubatan (antipsikotik). Penggunaan antipsikotik dikaitkan dengan kesan sampingan, dan nampaknya kesan sampingan ini mungkin lebih teruk dengan dos yang lebih tinggi. Namun begitu, dos perlu cukup tinggi untuk memberikan impak kepada gejala-gejala penyakit.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada mengurangkan dos antipsikotik adalah lebih baik daripada mengekalkan dos yang sama, demi menambah baik:
- kualiti hidup;
- bilangan peserta yang dimasukkan semula ke hospital;
- bilangan peserta yang meninggalkan kajian lebih awal disebabkan kesan sampingan;
- fungsian;
- sakit semula;
- bilangan peserta yang meninggalkan kajian lebih awal atas sebarang sebab;
- bilangan peserta dengan sekurang-kurangnya satu kesan sampingan.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menyelidik pengurangan dos antipsikotik berbanding dengan pengekalan dos di kalangan pesakit skizofrenia.
Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami dapati?
Kami menemui 25 kajian yang melibatkan sejumlah 2721 peserta dengan skizofrenia. Dua puluh dua kajian (2635 peserta) memberikan data untuk analisa. Kajian berlangsung antara 12 minggu hingga 2 tahun. Kajian telah dijalankan di seluruh dunia, termasuklah di Amerika Syarikat, di United Kingdom, Eropah, dan Asia. Empat belas kajian telah ditaja oleh institusi awam, lima oleh syarikat farmaseutikal, dua oleh institusi awam bersama dengan syarikat farmaseutikal, dan empat kajian tidak memberikan maklumat yang jelas tentang pembiayaan.
Kami mendapati bahawa pengurangan dos:
- mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kualiti hidup;
- tidak memberikan perbezaan dalam kemasukan semula ke hospital, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini;
- mungkin meningkatkan bilangan peserta yang meninggalkan kajian lebih awal disebabkan kesan sampingan;
- mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap fungsian;
- mungkin meningkatkan bilangan peserta yang sakit semula;
- mungkin meningkatkan bilangan peserta yang meninggalkan kajian lebih awal atas sebarang sebab;
- mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap bilangan peserta dengan sekurang-kurangnya satu kesan sampingan.
Apakah batasan bukti?
Kami secara keseluruhannya yakin atau sederhana yakin dengan keputusan kami.
Berkait dengan kemasukan semula ke hospital, kami tidak yakin dengan bukti kerana ada kemungkinan bahawa peserta kajian sedar tentang jenis rawatan yang mereka terima. Tambahan pula, kajian telah dijalankan di kalangan pelbagai jenis individu atau menggunakan pelbagai kaedah untuk mengurangkan dos.
Berkait dengan sakit semula, kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana ada kemungkinan bahawa peserta kajian sedar tentang jenis rawatan yang mereka terima. Tambahan pula, kajian telah dijalankan di kalangan pelbagai jenis individu atau menggunakan pelbagai kaedah untuk mengurangkan dos.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat Februari 2021.
Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my