Penggunaan tanda amaran untuk menyaring kepatahan tulang belakang dalam kalangan orang yang mengalami sakit pinggang

Mesej utama

Empat tanda amaran terbaik untuk kepatahan tulang belakang pada orang yang mengalami sakit pinggang ialah penggunaan kortikosteroid (contohnya ubat-ubatan yang boleh melemahkan tulang), usia yang lebih tua (contoh yang berumur 70 tahun ke atas), trauma (contohnya jatuh), dan kontusi (lebam) atau lelasan (luka dan calar).

– Penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengenal pasti tanda-tanda amaran terbaik atau kombinasi tanda-tanda amaran terbaik untuk menyaring kepatahan tulang belakang.

Tanda amaran untuk saringan kepatahan tulang belakang

Tanda amaran untuk kepatahan tulang belakang ialah tanda dan gejala yang dikenalpasti oleh profesional perubatan (contohnya doktor, ahli fisioterapi) semasa pemeriksaan yang menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan spina (tulang belakang). Ketepatan tanda amaran adalah penting, kerana ujian yang kurang bermutu boleh membawa kepada diagnosis dan rawatan yang salah. Dari satu segi, jika ujian tidak tepat, orang yang tidak ada kepatahan tulang belakang mungkin akan menjalani pengimejan yang tidak diperlukan (misalnya, sinar-X, pengimejan resonans magnetik yang menerapkan penggunaan gelombang radio untuk menghasilkan imej terperinci struktur dalaman badan). Sesetengah kaedah pengimejan ini membawa kepada pendedahan kepada radiasi, kos tambahan, dan menambahkan kebimbangan kepada pesakit. Sebaliknya, kegagalan mengesan kepatahan tulang belakang boleh mengakibatkan kelewatan dalam menerima rawatan lantas mengurangkan kualiti hidup. Oleh sebab itu, mengenal pasti tanda amaran yang paling tepat untuk tujuan saringan kepatahan tulang belakang diperlukan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin menilai ketepatan tanda amaran yang digunakan dalam saringan kepatahan tulang belakang dalam kalangan orang yang mengalami sakit pinggang. Apabila mungkin, kami melaporkan keputusan tanda-tanda amaran untuk jenis kepatahan tulang belakang yang berbeza secara berasingan, antaranya kepatahan mampat tulang belakang rapuh (contoh patah tulang akibat osteoporosis), kepatahan tulang belakang traumatik (contoh akibat jatuh), kepatahan tekanan tulang belakang (contoh peningkatan mendadak dalam beban ke atas tulang belakang), atau kepatahan tulang belakang yang tidak spesifik (contoh tiada sebab khusus dilaporkan).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mengemas kini Ulasan Cochrane sebelumnya. Kami mencari kajian yang menyiasat ketepatan tanda-tanda amaran melangkaui tempat penjagaan kesihatan yang berbeza. Kami menyertakan kajian yang membandingkan keputusan daripada pengambilan sejarah dan pemeriksaan fizikal (atau kedua-duanya) (juga dikenali sebagai ujian indeks atau tanda-tanda amaran) dengan jenis pengimejan yang berbeza (dikenali sebagai piawai rujukan) untuk mengesan kepatahan tulang belakang dalam kalangan orang yang mengalami sakit pinggang. Kami juga menyertakan kajian jika mereka melaporkan keputusan tanda-tanda amaran secara berasingan untuk jenis kepatahan tulang belakang yang berbeza.

Apa yang kami temui?

Empat belas kajian menyiasat tanda amaran berbeza yang digunakan untuk mengesan kepatahan tulang belakang, dan kebanyakan tanda amaran tersebut didapati tidak tepat atau berguna. Secara keseluruhannya, empat tanda amaran terbaik yang dikenal pasti ialah sejarah penggunaan kortikosteroid (contoh ubat-ubatan yang boleh merapuhkan tulang), umur seseorang pesakit (contoh berumur 70 tahun dan ke atas), trauma (contoh jatuh), dan kontusi (lebam) atau melelas (luka dan calar) .

Di peringkat penjagaan kesihatan primer (contoh pengamal perubatan am), 'trauma' sebagai tanda amaran adalah yang terbaik untuk mengesan 'patah tulang belakang yang tidak spesifik' dan 'patah tulang belakang osteoporotik'. 'Usia lanjut' sebagai tanda amaran adalah yang terbaik untuk mengesan 'patah tulang belakang yang tidak spesifik’ di peringkat penjagaan kesihatan primer. ‘Penggunaan kortikosteroid' mungkin berguna sebagai tanda amaran di peringkat penjagaan kesihatan primer untuk menyaring kes 'patah tulang belakang yang tidak spesifik' dan 'patah tulang belakang osteoporotik'. Tanda amaran yang merupakan sebahagian daripada gabungan ujian indeks seperti pesakit 'berumur lanjut dan berjantina wanita' sebagai tanda amaran adalah cara terbaik di peringkat penjagaan kesihatan primer untuk menyaring kes 'patah tulang belakang yang tidak spesifik’.

Di peringkat penjagaan kesihatan sekunder (contoh pakar dan perunding), 'trauma' merupakan tanda amaran terbaik untuk menyaring kes 'patah tulang belakang yang tidak spesifik' dan 'umur lanjut' untuk 'patah tulang belakang osteoporotik'. Tanda amaran sang merupakan sebahagian daripada gabungan ujian indeks seperti pesakit 'berumur lanjut dan trauma' sebagi tanda amaran di peringkat penjagaan kesihatan sekunder, merupakan cara terbaik untuk menyaring kes 'patah tulang belakang yang tidak spesifik’. Apabila 'empat daripada lima ujian positif’ di peringkat penjagaan kesihatan sekunder, ia boleh digunakan sebagai saringan untuk 'patah tulang belakang osteoporotik'.

Pada peringkat penjagaan kesihatan tertiari (contoh rawatan pakar di hospital), 'kewujudan lebam/melecet' sebagai tanda amaran terbaik untuk saringan kes 'patah tulang belakang mampatan'.

Apakah batasan bukti?

Antara batasan ulasan kami adalah kebanyakan kajian yang disertakan berbeza dari segi peringkat penjagaan kesihatan yang terbabit, kaedah kajian yang berbeza yang digunakan, atau data m yang dibentangkan untuk pelbagai jenis patah tulang belakang, yang menyukarkan proses membuat kesimpulan. Banyak tanda amaran yang disiasat adalah berdasarkan kajian tunggal dan hanya sedikit kajian yang menyiasat ujian indeks yang sama. Terdapat juga kurang keseragaman dalam takrif tanda-tanda amaran (contoh untuk kortikosteroid, tidak jelas tempoh dan jumlah yang digunakan), yang boleh menjelaskan ketepatan sesetengah tanda amaran berbeza dari satu kajian ke satu kajian. Sesetengah tanda amaran juga boleh memberi kesan kepada pelbagai jenis patah tulang belakang secara berbeza; namun, perkara ini tidak dilaporkan dengan jelas dalam kebanyakan kajian.

Sejauh manakan bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini setakat Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information