Misoprostol dos rendah yang diberikan melalui mulut untuk induksi bersalin

Kami melihat bukti dari ujian terkawal secara rawak untuk melihat adakah misoprostol dos rendah yang diberikan melalui mulut berkesan untuk memulakan kelahiran pada wanita dalam trimester ketiga mereka dengan bayi yang bernyawa. Kami membandingkan misoprostol dengan kaedah lain yang biasanya digunakan untuk induksi bersalin.

Apakah isunya?

Memulakan kelahiran secara buatan, atau induksi, adalah biasa pada masa kehamilan. Sebab-sebabnya termasuk ibu yang mempunyai tekanan darah tinggi ketika hamil atau bayi yang lewat tarikh lahir. Misoprostol adalah sejenis prostaglandin yang boleh diambil dalam dos yang rendah melalui mulut untuk induksi bersalin. Prostaglandin adalah sebatian hormon yang dihasilkan oleh badan untuk menjalankan pelbagai fungsi (termasuk memulakan persalinan secara semula jadi). Bukan seperti prostaglandin lain seperti dinoprostone faraj, misoprostol tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk. Mengambil tablet adalah senang untuk ibu dan saiz tablet dos rendah kini tersedia (25 µg).

Mengapakah ini penting?

Kaedah induksi yang baik memastikan kelahiran yang selamat untuk ibu dan bayi. Ia berkesan, menyebabkan jumlah pembedahan caesar yang agak rendah, hanya mempunyai sedikit kesan sampingan, dan sangat diterima oleh ibu-ibu. Beberapa kaedah untuk induksi bersalin boleh menyebabkan lebih banyak pembedahan caesar kerana tidak berkesan untuk memulakan kelahiran, kaedah lain pula boleh menyebabkan lebih banyak pembedahan caesar kerana menghasilkan terlalu banyak kontraksi (hiperstimulasi) yang mengakibatkan bayi menjadi tertekan (perubahan kadar jantung janin).

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mencari bukti pada 14 Februari 2021 dan mengenalpasti 61 kajian yang melibatkan 20,026 wanita untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian berkualiti tinggi.

Bermula dengan misoprostol oral dengan serta-merta mungkin mempunyai kesan yang sama terhadap kadar pembedahan caesar (4 kajian, 495 wanita; kualiti bukti yang rendah) dengan tidak memberi rawatan selama 12 hingga 24 jam kemudian memulakan oxytocin, sementara kesan misoprostol pada hiperstimulasi rahim dengan perubahan kadar jantung janin adalah tidak jelas (3 kajian, 495 wanita; kualiti bukti yang sangat rendah). Semua wanita dalam kajian-kajian ini mempunyai membran yang telah pecah.

Misoprostol oral telah dibandingkan dengan dinoprostone faraj dalam 13 kajian (9676 wanita). Penggunaan misoprostol mungkin menurunkan risiko pembedahan caesar (bukti kepastian sederhana). Apabila kajian dibahagikan dengan dos awal misoprostol, terdapat bukti bahawa penggunaan 10 µg hingga 25 µg mungkin berkesan dalam mengurangkan risiko pembedahan caesar (9 kajian, 8652 wanita), manakala dos 50 µg yang lebih tinggi mungkin tidak dapat mengurangkan risikonya (4 kajian, 1024 wanita). Mungkin terdapat perbezaan yang sangat kecil atau langsung tiada antara misoprostol dan dinoprostone dalam kadar kelahiran normal dalam masa 24 jam (10 kajian, 8983 wanita; bukti berkepastian rendah) tetapi mungkin kurang kes hiperstimulasi dengan perubahan kadar jantung janin dengan misoprostol oral (11 kajian, 9084 wanita; bukti berkepastian rendah).

Misoprostol oral dibandingkan dengan misoprostol faraj dalam 33 kajian (6110 wanita). Penggunaan oral mungkin menyebabkan kurang kelahiran normal dalam masa 24 jam (16 kajian, 3451 wanita; bukti berkepastian rendah). Penggunaan secara oral mungkin menyebabkan kurang hiperstimulasi dengan perubahan kadar jantung janin (25 kajian, 4857 wanita; bukti berkepastian rendah), terutamanya dengan dos 10 µg hingga 25 µg. Tiada perbezaan yang jelas dalam jumlah pembedahan caesar secara keseluruhan (32 kajian, 5914 wanita; bukti berkepastian rendah) tetapi penggunaan secara oral mungkin menyebabkan kurang pembedahan caesar yang dijalankan kerana bimbang bayi berasa tertekan (24 kajian, 4775 wanita).

Apabila misoprostol oral dibandingkan dengan oxytocin untuk induksi, penggunaan misoprostol mungkin menyebabkan kurang pembedahan caesar (6 kajian, 737 wanita). Kami tidak menemui perbezaan yang jelas dalam kelahiran normal dalam masa 24 jam (3 kajian, 466 wanita; bukti berkepastian sederhana) atau hiperstimulasi dengan perubahan kadar jantung janin (3 kajian, 331 wanita; bukti berkepastian sangat rendah).

Misoprostol oral dibandingkan dengan kateter belon yang dimasukkan ke dalam serviks untuk mendorong induksi bersalin secara mekanikal. Bilangan kelahiran normal dalam masa 24 jam mungkin meningkat dengan misoprostol (4 kajian, 1044 wanita; bukti berkepastian rendah). Misoprostol mungkin mengurangkan risiko pembedahan caesar (6 kajian, 2993 wanita; bukti berkepastian sederhana) dengan tiada perbezaan risiko hiperstimulasi dengan perubahan kadar jantung janin (4 kajian, 1044 wanita; bukti berkepastian rendah).

Dos dan masa pemberian misoprostol oral yang berbeza telah dikaji dalam tiga kajian kecil. Kepastian penemuan dari kajian ini sama ada rendah atau sangat rendah sehingga kami tidak dapat membuat kesimpulan yang bermakna daripada data ini.

Apakah maksudnya?

Penggunaan misoprostol oral dos rendah (50 µg atau kurang) untuk induksi bersalin mungkin menyebabkan kurang pembedahan caesar dan lebih kelahiran normal berbanding dinoprostone faraj, oksitosin, dan kateter Foley transcervical. Kadar hiperstimulasi dengan perubahan kadar jantung janin adalah setanding dengan kaedah-kaedah ini. Misoprostol yang diambil melalui mulut menyebabkan pengurangan hiperstimulasi dengan perubahan kadar jantung janin berbanding dengan pengambilan melalui faraj.

Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan rejim misoprostol yang paling berkesan untuk induksi kelahiran, tetapi buat masa ini penemuan ulasan ini lebih menyokong penggunaan oral daripada penggunaan vagina, dan mencadangkan bahawa memulakan misoprostol oral pada dos 25 µg atau kurang mungkin selamat dan berkesan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Nila Pillai(Cochrane Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information