Ubat-ubatan untuk meningkatkan fungsi plasenta dalam wanita hamil yang bayi dalam kandungan mempunyai pertumbuhan yang kurang baik

Apakah isunya?

0.4% daripada jumlah kehamilan, bayi dalam kandungan mengalami pertumbuhan yang kurang baik kerana plasenta tidak dapat memberikan nutrisi yang mencukupi. Bayi-bayi ini berisiko tinggi untuk mati dalam kandungan kerana kekurangan nutrisi dan oksigen. Disebabkan perkara ini, doktor sering melahirkan bayi ini sebelum cukup bulan, supaya dapat memberi mereka nutrisi di luar rahim. Tetapi kelahiran awal seperti ini bermakna bayi-bayi ini adalah pramatang dan mempunyai berat badan yang sangat ringan. Disebabkan oleh perkara ini, bayi-bayi ini berisiko mengalami masalah kesihatan yang serius dalam bulan-bulan awal selepas kelahiran dan juga dalam jangka masa panjang. Matlamat Ulasan Cochrane ini ialah untuk mengetahui jika ubat-ubatan yang mempengaruhi laluan nitrik oksida (cth sildenafil, tadalafil, L-arginin, dan nitrogliserin) mampu meningkatkan tumbesaran bayi-bayi ini. Kami hanya mengkaji bayi-bayi dimana masalah tumbesaran mereka berlaku disebabkan terdapat masalah dengan plasenta. Kami mengumpul dan menganalisis kesemua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini.

Mengapakah hal ini penting?

Buat masa ini, tiada lagi rawatan yang efektif yang boleh memperbaiki fungsi plasenta, jadi kelahiran awal adalah satu-satunya pilihan. Terdapat banyak kajian terhadap ubat-ubatan yang mungkin mampu meningkatkan pengaliran darah daripada ibu ke plasenta. Matlamat rawatan ini adalah untuk memperbaiki fungsi plasenta supaya tumbesaran bayi sebelum kelahiran bertambah baik, yang akan membolehkan doktor-doktor untuk menangguhkan kelahiran, dan dengan ini akan meningkatkan peluang mereka hidup dengan sihat.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan pada 16 Julai 2022 dan lapan kajian menjawab soalan penyelidikan kami. Empat ubat-ubatan berbeza yang relevan telah dikaji (sildenafil, tadalafil, L-arginin, dan nitrogliserin). Tiada satu pun daripada empat ubat-ubatan tersebut menyebabkan lebih banyak bayi terselamat. Namun begitu, untuk tiga daripada empat rawatan (tadalafil, L-arginin and nitrogliserin), rawatan itu hanya dikaji dalam kumpulan-kumpulan kecil wanita hamil dan oleh kerana itu, ianya sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh.

Sildenafil sitrat berbanding plasebo atau tiada terapi (5 kajian, 516 wanita)

Lima kajian (Kanada, Australia dan New Zealand, Belanda, UK dan Brazil) melibatkan 516 wanita hamil dengan pembantutan pertumbuhan janin dalam kandungan.

Sildenafil berbanding plasebo atau tiada terapi mungkin tidak memberi perbezaan terhadap semua penyebab insiden kematian, kematian janin dan kematian neonatal.

Tadalafil berbanding dengan plasebo atau tiada terapi (1 kajian, 87 wanita)

Satu kajian (Jepun) melibatkan 87 wanita hamil dengan pembantutan pertumbuhan janin.

Tadalafil mungkin tidak memberi perbezaan terhadap semua penyebab insiden kematian, kematian janin dan kematian neonatal.

L-Arginin berbanding dengan plasebo atau tanpa terapi (1 kajian, 43 wanita)

Satu kajian (Perancis) melibatkan 43 wanita hamil dengan pembantutan pertumbuhan janin. Kajian ini tidak menilai hasil utama kami.

L-Arginin berbanding dengan plasebo atau tanpa terapi (1 kajian, 23 wanita)

Satu kajian (Brazil) melibatkan 43 wanita hamil dengan pembantutan pertumbuhan janin.

Kesan ke atas hasil utama tidak dapat dianggarkan kerana tiada kematian janin atau neonatal berlaku pada wanita yang mengambil bahagian di dalam kedua-dua kumpulan intervensi.

Sildenafil sitrat berbanding dengan nitrogliserin (1 kajian, 23 wanita)

Satu kajian (Brazil) melibatkan 23 wanita hamil dengan pembantutan pertumbuhan janin.

Kesan ke atas hasil utama tidak dapat dianggarkan kerana tiada kematian janin atau neonatal berlaku pada wanita yang mengambil bahagian di dalam kedua-dua kumpulan intervensi.

Apakah maksud keputusan kajian-kajian ini?

Bagi ubat-ubatan yang telah dikaji, sildenafil mungkin tidak meningkatkan peluang kelangsungan hidup jangka pendek (secara sihat) bayi yang mengalami pembantutan pertumbuhan semasa kehamilan. Untuk tadalafil, L-arginin dan nitrogliserin terdapat data yang tidak mencukupi untuk melakukan kesimpulan. Untuk sildenafil, kami agak yakin bahawa keputusan ini akan berlaku, tetapi untuk rawatan lain lebih banyak kajian diperlukan untuk memberi maklumat yang cukup untuk menjawab soalan ini. Juga, tiada satu pun daripada kajian-kajian ini malaporkan kesan sampingan jangka masa panjang untuk ubat-ubatan tersebut, dimana ianya maklumat yang sangat penting untuk diketahui.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nurfarah Nazira Mazeri (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information