Strategi memperbaik kualiti penjagaan diabetes: Kesan ke atas hasil untuk orang dewasa dengan diabetes

Mesej utama

- Program memperbaik kualiti boleh memperbaik penjagaan diabetes, terutama apabila gabungan pelbagai strategi diguna.

- Strategi-strategi dalam program ini yang paling banyak memperbaik hasil utama dalam kalangan orang dengan diabetes ialah: pengurusan kes, perubahan pasukan, pendidikan pesakit dan promosi pengurusan kendiri.

Mengapa memperbaik penjagaan diabetes penting?

Diabetes, gangguan bagaimana gula diurus oleh badan boleh membawa kepada komplikasi seperti penyakit jantung dan buta. Jika orang dengan diabetes mendapat rawatan yang terbaik, risiko tersebut dan komplikasi berkaitan diabetes lain akan dikurangkan. Malangnya, ramai orang dengan diabetes tidak mendapat rawatan yang terbaik. 

Apakah strategi memperbaik kualiti?

Program memperbaik kualiti menggunakan pelbagai strategi membantu profesional penjagaan kesihatan memperbaik penjagaan. Kami mengkaji 12 jenis strategi memperbaik kualiti yang lazim. 

- Empat strategi ditujukan kepada profesional penjagaan kesihatan: audit dan maklum balas, pendidikan klinisian, peringatan klinisian dan insentif kewangan.

- Tiga strategi ditujukan kepada orang dengan diabetes: pendidikan pesakit, peringatan pesakit dan promosi pengurusan kendiri. 

- Lima strategi melibatkan organisasi penjagaan kesihatan: pengurusan kes, perubahan pasukan, pendaftaran elektronik pesakit, penyampaian maklumat klinikal yang dipermudah dan memperbaik kualiti yang berterusan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu strategi yang paling berkesan untuk memperbaik:

- kawalan gula dalam darah (diukur menggunakan ujian hemoglobin ‘glycated’ atau HbA1c);

- tekanan darah;

- kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL-C).

Paras lebih rendah ujian ini dikaitkan dengan kadar komplikasi yang lebih rendah misalnya serangan jantung.

Kami juga menilai sama ada strategi memperbaik kualiti memperbaik kadar saringan kerosakan mata (juga dikenali sebagai retinopati) dan kehilangan sensasi di kaki (juga dikenali sebagai neuropati). Saringan rutin untuk isu-isu ini dalam kalangan orang dengan diabetes disyorkan untuk mencegah kebutaan atau amputasi. 

Apa yang kami lakukan? 
Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal orang dewasa dengan diabetes yang diurus di persekitaran pesakit luar yang menilai sekurang-kurangnya satu strategi memperbaik kualiti. Walaupun kami berminat dengan strategi yang ditujukan kepada orang dengan diabetes, strategi pesakit perlu diuji dalam kombinasi dengan strategi yang ditujukan kepada organisasi penjagaan kesihatan atau profesional untuk kajian tersebut disertakan. Kami meringkaskan keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian dan beberapa pertimbangan lain. 

Apakah yang kami dapati?

Kami mendapati 553 kajian melibatkan 412,161 orang dengan diabetes sehingga tahun 2019. Kajian-kajian berlangsung di negara-negara di seluruh dunia dengan kebanyakannya dijalankan di Amerika Syarikat (231) dan dalam persekitaran perubatan. 

Kebanyakan kajian (367) melibatkan orang dengan diabetes jenis 2. Separuh daripada peserta kajian adalah wanita. Purata umur peserta adalah 57 tahun. Kebanyakan kajian berlangsung selama 12 bulan. 

Kajian-kajian menggunakan pelbagai gabungan strategi memperbaik kualiti. Lazimnya, kajian memaparkan tiga strategi memperbaik kualiti.

Keputusan utama  

Secara keseluruhan, pengurusan kes, perubahan pasukan, pendidikan pesakit dan promosi pengurusan kendiri dilihat memperbaik kualiti paling berkesan bagi penjagaan diabetes.

Apabila mempertimbang kombinasi tiga strategi (bilangan median strategi memperbaik kualiti dalam intervensi berbilang komponen), gabungan pendidikan klinisian, promosi pengurusan kendiri dan peringatan pesakit paling tinggi memperbaik kawalan gula darah dalam kalangan orang yang bermula dengan HbA1c yang lebih rendah. Manakala gabungan pengurusan kes, pendidikan pesakit dan pendaftaran elektronik pesakit paling tinggi memperbaik dalam kawalan gula darah bagi orang yang bermula dengan HbA1c yang lebih tinggi. 

Bagi tekanan darah, orang dengan tekanan darah sistolik yang lebih rendah mungkin melihat paling banyak pembaikan dengan gabungan pendidikan pesakit, perubahan pasukan dan promosi pengurusan kendiri. Orang dengan tekanan darah sistolik lebih tinggi mungkin paling banyak pembaikan dengan gabungan pengurusan kes, perubahan pasukan dan promosi pengurusan kendiri. 

Bagi kolesterol, kami dapati perubahan pasukan, pendidikan pesakit dan pengurusan kes mungkin paling banyak memperbaik orang dengan paras lipoprotein berketumpatan rendah yang lebih rendah. Bagi mereka dengan paras lipoprotein berketumpatan rendah yang lebih tinggi, perubahan pasukan, pengurusan kes dan peringatan klinisian mungkin menunjukkan pembaikan paling banyak.

Pendidikan pesakit, peringatan pesakit dan perubahan pasukan boleh menyebabkan peningkatan kadar saringan retinopati. Pendidikan pesakit, perubahan pasukan dan audit dan maklum balas, insentif kewangan dan gabungan strategi memperbaik kualiti berterusan boleh membawa kepada peningkatan dalam kadar saringan kaki.

Apakah maksudnya?

Klinik boleh memperbaik penjagaan diabetes dengan melibatkan program memperbaik kualiti (terutamanya pengurusan kes, perubahan pasukan, pendidikan pesakit dan pengurusan kendiri pesakit).

Apakah batasan bukti?

Banyak kajian tidak memberi maklumat tentang semua perkara yang kami minati. Kebanyakan kajian tertumpu kepada kawalan gula darah dan beberapa kajian melaporkan kadar saringan. Kami sertakan dalam ulasan ini kajian-kajian dengan kelemahan-kelemahan utama dalam cara kajian dijalankan, yang telah mengehadkan keyakinan kami dalam penemuan-penemuan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti untuk ulasan ini adalah terkini hingga Jun 2019, dan kami telah mencari dan menyaring kajian selanjutnya sehingga September 2021. Kami sedang mengusahakan ulasan sistematik berterusan yang akan dikemas kini dengan bukti baharu sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. 

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information