Alat konduktor elektrik untuk mengesan karies gigi

Mengapakah ia penting untuk meningkatkan pengesanan karies gigi (kerosakan gigi)?

Doktor gigi sering mensasarkan untuk mengenal pasti kerosakan gigi yang telah parah dan memerlukan tampalan. Sekiranya doktor gigi dapat mencari kerosakan gigi apabila ia hanya mempengaruhi lapisan luar gigi (enamel), maka ia berkemungkinan menghentikan kerosakan itu daripada merebak lebih jauh dan mengelakkan keperluan tampalan. Ia juga penting untuk mengelakkan hasil positif palsu, apabila rawatan diberikan ketika karies tidak ada.

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui berapa tepat alat konduktor elecktrik (alat tidak invasif yang menghantar arus elektrik ke permukaan gigi) dalam pengesanan dan mendiagnosa kerosakan gigi awal sebagai sebahagian daripada ‘pemeriksaan’ gigi untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang bertemu doktor gigi mereka. Para penyelidik di Cochrane menyertakan tujuh kajian yang diterbitkan antara 1997 dan 2018 untuk menjawab soalan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Terdapat dua alat konduktor elektrik yang termasuk dalam tinjauan ini: monitor karies elektronik (ECM) (empat kajian) dan CarieScan Pro (tiga kajian). Kedua-duanya meletakkan probe pada gigi yang mengukur kekonduksian elektrik titik itu pada gigi. Kami mengkaji kerosakan pada permukaan oklusal (permukaan menggigit di belakang gigi), permukaan proksimal (permukaan gigi yang bersebelahan), dan permukaan rata di sebelah lidah, pipi dan bibir.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penyelidik di Cochrane merangkumi tujuh kajian dengan melibatkan jumlah 719 tapak atau permukaan gigi untuk menjawab soalan ini. Oleh kerana bilangan kajian tapak atau permukaan gigi yang kecil, hasilnya sangat tidak tepat. Kami tidak menemui perbezaan yang tepat dalam ketepatan mengikut jenis alat atau gigi kanak-kanak / remaja dan orang dewasa.

Sejauh manakah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini boleh dipercayai?

Kami hanya menyertakan kajian-kajian yang menilai gigi yang sihat atau mereka yang dianggap mempunyai kerosakan gigi awal. Ini kerana gigi dengan kerosakan gigi dalam akan lebih mudah dikenal pasti. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah dengan cara kajian-kajian itu dijalankan. Ini boleh menyebabkan alat konduktor elektrik kelihatan lebih tepat daripada yang sebenarnya, meningkatkan jumlah hasil ujian yang betul dari alat konduktor elektrik. Kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah kerana cara kajian memilih peserta mereka, jumlah permukaan yang dikaji yang agak kecil dan kebolehubahan hasilnya.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasikan?

Kajian dalam ulasan ini telah dijalankan di Brazil, UK, Denmark dan Turki. Tiga kajian melakukan ujian pada gigi yang diekstraksi dan empat kajian diselesaikan di hospital pergigian.

Apakah implikasi ulasan ini?

Kekurangan kajian yang memenuhi syarat dan variasi dalam hasil kajian bermaksud bahawa pada masa ini, kami sangat tidak pasti keberkesanan alat konduktor elektrik dalam mengesan dan mendiagnosis kerosakan gigi awal.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Para penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga 26 April 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Mohd Shaharufin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information