Soalan ulasan
Berapa banyak asparaginase, ubat utama dalam rawatan kanser darah leukemia limfoblastik akut (ALL), adalah optimum untuk memastikan kelangsungan hidup yang cukup baik sambil meminimumkan ketoksikan berkaitan asparaginase?
Latar belakang
ALL adalah sub-jenis kanser darah yang timbul akibat transformasi malignan sel darah putih tidak matang yang berasal dari limfoid. ALL adalah kanser kanak-kanak yang paling biasa. Penggunaan ubat anti-leukaemik asparaginase telah menjadi sangat penting untuk kemajuan rawatan ALL kanak-kanak dan telah membawa kepada peningkatan kemandirian dengan ketara dari semasa ke semasa. Asparaginase adalah asas dalam rawatan ALL. Persediaan yang paling banyak digunakan ialah PEG-asparaginase. Walaupun faedah daripada asparaginase adalah tinggi, ubat ini telah dikaitkan dengan banyak ketoksikan yang teruk. Persetujuan mengenai dos optimum PEG-asparaginase tidak pernah dicapai.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari semua kajian yang tersedia pada masa ini bagi ALL kanak-kanak yang membandingkan rawatan PEG-asparaginase yang berbeza. Kami melihat bagaimana bilangan dos PEG-asparaginase menjejaskan kelangsungan hidup dan risiko ketoksikan yang berkaitan dengan rawatan asparaginase. Kami memasukkan tiga kajian dalam ulasan, yang membandingkan tiga rawatan PEG-asparaginase yang berbeza. Memandangkan semua kajian mempunyai banyak perbezaan, tidak mungkin untuk menggabungkan semua ke dalam analisis keseluruhan, dan kami telah merumuskan semua secara berasingan.
Apakah yang kami temui?
Tiga kajian memasukkan perbandingan berikut:
(i) rawatan PEG-asparaginase terputus-putus (lapan dos PEG-asparaginase, 1000 IU/m 2 ) berbanding dengan rawatan PEG-asparaginase berterusan (15 dos PEG-asparaginase, 1000 IU/m 2 ) dalam 631 kanak-kanak dengan risiko ALL tidak tinggi, berumur satu hingga 17.9 tahun;
(ii) rawatan standard berisiko rendah dengan tambahan PEG-asparaginase (enam dos, 2500 IU/m 2 ) berbanding rawatan standard berisiko rendah (dua dos, 2500 IU/m 2 ) pada 1857 kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun dengan standard ALL berisiko rendah; dan
(iii) subjenis PEG-asparaginase yang dipanggil calaspargase (11 dos, 2500 IU/m 2 ) berbanding PEG-asparaginase (16 dos, 2500 IU/m 2 ) dalam 239 orang dengan ALL yang standard dan berisiko tinggi, berumur satu tahun hingga 21 tahun.
Keputusan utama
Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang jelas kerana tidak dapat menggabungkan hasil kajian dalam sebarang analisis. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga kajian menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam anggaran kelangsungan hidup apabila rawatan PEG-asparaginase yang berbeza dibandingkan. Dua kajian mendapati bahawa mungkin terdapat peningkatan risiko ketoksikan keseluruhan dan pankreatitis pada orang yang diberi rawatan asparaginase yang paling intensif.
Batasan bukti
Kami hanya mempunyai keyakinan terhad atau sederhana terhadap bukti kerana kematian dan kesan sampingan toksik jarang berlaku, jadi terdapat ketidakpastian dalam penemuan. Tiada satu pun daripada kajian yang disertakan yang mempunyai had reka bentuk yang penting, bermakna kajian dijalankan dengan cara yang mungkin tidak memesongkan keputusan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2021.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).