Vaksin oral untuk mencegah kolera

Mesej utama

Dua dos valsin seluruh sel serta rekombinan (vaksin WC-rBS (Dukoral)), dengan atau tanpa dos penggalak, mengurangkan kes kolera selama dua tahun.

Dua dos vaksin sel penuh bivalen (vaksin BivWC (Shanchol)) mengurangkan kes kolera selama lima tahun.

Satu dos Shanchol mengurangkan kes kolera dan kes kolera dehidrasi yang teruk selama dua tahun.

Vaksin dianggap selamat, dengan kesan sampingan yang sama dilaporkan oleh semua kumpulan.

Kajian lanjut diperlukan untuk menilai keberkesanan dos tunggal Shanchol dan dua dos Dukoral selama lima tahun susulan.

Kami tidak menemui sebarang kajian pada vaksin BivWC lain, seperti Euvichol atau Euvichol-Plus. Walau bagaimanapun, semua vaksin BivWC adalah sama dalam keupayaannya untuk membunuh bakteria kolera. Oleh itu, adalah munasabah untuk menggunakan keputusan daripada kajian Shanchol berbanding Euvichol dan Euvichol-Plus.

Apa itu kolera?

Kolera ialah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Vibrio cholerae . Orang ramai dijangkiti dengan memakan makanan atau air minuman yang tercemar dengan bakteria ini. Kolera ditemui di seluruh dunia, di kawasan dengan sanitasi yang buruk atau kekurangan air bersih, dan merupakan risiko semasa krisis kemanusiaan. Orang yang menghidap kolera boleh mengalami cirit-birit teruk, yang boleh menyebabkan dehidrasi teruk. Tanpa rawatan, ramai orang akan mati.

Bagaimanakah kolera dicegah?

Vaksin kolera telah dibangunkan selama bertahun-tahun. Vaksin kolera yang diambil melalui mulut (secara oral) boleh menjadi kos efektif, dan mudah untuk diberikan. Ia boleh disimpan dan dihantar ke kawasan semasa krisis kemanusiaan.

Beberapa kajian telah menyiasat keberkesanan vaksin kolera oral pada kanak-kanak dan orang dewasa dalam keadaan yang berbeza, apabila diberikan dalam dos yang berbeza, dan disusuli untuk jangka masa yang berbeza. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membuat pra-kelayakan beberapa vaksin kolera oral yang dibuat daripada bakteria mati. Ini bermakna mereka telah menggunakan prosedur standard untuk menilai keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin (iaitu, sejauh mana ia berfungsi dan berapa banyak kesan sampingan yang ditimbulkannya). Mereka menyediakan perkhidmatan ini kepada organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memperolehi vaksin, seperti UNICEF.

Vaksin yang mudah diberikan kepada kanak-kanak dan orang dewasa dan sangat berkesan dalam mencegah kolera, atau melindungi orang daripada kolera dehidrasi yang teruk akan menjadi sangat berharga dalam mengawal penyakit yang boleh membawa maut ini. Jika vaksin itu mudah diambil dan mempunyai sedikit kesan sampingan, ia akan menggalakkan lebih ramai orang untuk mengambilnya di negara yang memerlukannya.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan dan keselamatan vaksin kolera oral pra-kelayakan WHO yang dibuat daripada bakteria mati untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari literatur perubatan untuk kajian yang menangani soalan kami. Kami menapis, mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan. Kami mengikuti kaedah Cochrane standard untuk melakukan ini.

Apakah yang kami temui?

Kami memasukkan lima kajian, dengan 462,754 peserta, yang dijalankan di tiga negara berbeza; Peru, India dan Bangladesh.

Keputusan utama

Dua dos Dukoral, dengan atau tanpa dos penggalak, mengurangkan kes kolera selama dua tahun.

Dua dos Shanchol mengurangkan kes kolera selama lima tahun.

Satu dos Shanchol mengurangkan kes kolera dan kes kolera dehidrasi yang teruk selama dua tahun.

Secara amnya, peserta mendapati vaksin kolera oral yang dibuat daripada bakteria mati mudah digunakan dan selamat. Kesan sampingan adalah serupa dalam kedua-dua kumpulan vaksin dan perbandingan.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak menemui sebarang kajian yang mengkaji kesan mana-mana vaksin BivWC selain Shanchol. Walau bagaimanapun, kesannya terhadap bakteria kolera adalah sama, jadi keputusan untuk Shanchol boleh digunakan untuk Euvichol dan Euvichol-Plus.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Kami mencari kajian pada 7 Februari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information