Teknologi digital untuk pengenalpastian awal jangkitan dada dalam kalangan penghidap fibrosis sistik

Soalan ulasan

Bolehkah teknologi digital mengenal pasti jangkitan dada dalam kalangan penghidap fibrosis sistik (cystic fibrosis, CF) lebih awal daripada penjagaan standard dan bagaimanakah ini mempengaruhi hasil klinikal?

Apakah itu fibrosis sistik?

CF adalah satu keadaan yang membataskan jangka hayat serta menjejaskan beberapa organ tubuh, terutamanya paru-paru. Jangkitan dada boleh memburukkan lagi kerosakan paru-paru pada penghidap CF. Mengenal pasti awal jangkitan dada dan cepat merawatnya adalah sangat penting. Teknologi digital seperti aplikasi telefon pintar (apps) dan peranti bagi mengukur pernafasan untuk mengesan simptom mungkin membolehkan pengulas mengenal pasti jangkitan dada lebih awal dalam kalangan penghidap CF dan memulakan rawatan dengan antibiotik dengan lebih cepat.

Apa yang pengulas ingin tahu?

Pengulas ingin mengetahui sekiranya pengesanan awal jangkitan dada boleh membantu memperlahankan tempo keadaan paru-paru menjadi bertambah teruk.

Apa yang telah pengulas lakukan?

Mereka melakukan carian di pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang direka dengan baik dalam kalangan penghidap CF. Peserta yang mengambil bahagian dalam kajian ini mempunyai peluang yang sama untuk berada sama ada dalam kumpulan rawatan (yang menggunakan teknologi digital) atau kumpulan penjagaan biasa.

Apa yang telah pengulas temui?

Mereka menemui tiga kajian dengan 415 orang penghidap CF berumur 15 hingga 41 tahun. Kesemua kumpulan rawatan menggunakan teknologi untuk mengesan masalah pernafasan mereka, dua kajian juga meminta kumpulan rawatan mereka untuk melakukan ujian pernafasan secara tetap dengan peranti khas. Kesemua kajian menyusuli peserta dalam kumpulan mereka selama satu tahun.

Keputusan utama

Kajian yang meminta peserta untuk melakukan ujian pernafasan secara tetap dengan peranti khas dan mengesan masalah pernafasan dapat mengenal pasti jangkitan dada lebih awal daripada peserta dalam kumpulan penjagaan biasa. Walau bagaimanapun, pada akhir kajian, ujian pernafasan mereka adalah serupa dengan kumpulan yang tidak menggunakan teknologi digital.

Terdapat beberapa perbezaan antara kumpulan apabila pengulas melihat kepada cara peserta merasakan kehidupan seharian mereka (kualiti hidup), bilangan kunjungan ke hospital atau kos. Peserta yang mengambil bahagian dalam kajian tidak mempunyai sebarang isu atau masalah serius yang timbul disebabkan teknologi digital yang mereka gunakan, tetapi mereka pada umumnya tidak begitu bagus dalam memberikan data dengan kerap, dan mendapati ianya agak membebankan.

Apakah batasan bukti?

Pengulas hanya boleh sederhana yakin dengan keputusan daripada kajian yang mereka temui ini. Dalam semua kajian, peserta yang mengambil bahagian akan mengetahui sama ada mereka berada dalam kumpulan intervensi digital atau kumpulan penjagaan standard. Ini mungkin mempengaruhi kelakuan dan pendapat mereka tentang masalah pernafasan mereka. Dalam dua kajian, pasukan yang menjalankan kajian turut mengetahui kumpulan manakah peserta tergolong. Ini mungkin mempengaruhi pilihan mereka sama ada untuk memulakan antibiotik, dan sama ada untuk memberikan antibiotik melalui titisan ke dalam vena di hospital, atau jika peserta boleh mengambilnya secara ubatan tablet atau cecair di rumah. Dua kajian tidak merekrut cukup peserta, maka pengulas kurang pasti tentang sejauh mana keputusannya boleh dipercayai.

Sesetengah jenis teknologi digital boleh mengesan jangkitan dada lebih awal. Walau bagaimanapun, apabila dibandingkan dengan kebergantungan kepada penjagaan biasa, teknologi nampaknya tidak mengubah kadar paru-paru penghidap CF bertambah teruk sejajar dengan masa.

Tarikh pencarian

Bukti adalah terkini setakat 13 Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information