Posisi ibu semasa bersalin apabila bayi berbaring telantang

Apakah isunya?

Malposisi adalah apabila bahagian belakang kepala bayi menghadap belakang ibu. Akibatnya, proses bersalin dan kelahiran boleh menjadi lama dan sukar, kadangkala menyebabkan kelahiran pembedahan (di mana bayi dilahirkan melalui pembedahan caesarean atau dengan alat khas untuk membantu bayi melalui saluran kelahiran) dan lebih banyak trauma perineum (kerosakan pada lantai pelvis). Bayi tersebut lebih berkemungkinan untuk dihantar ke unit penjagaan neonatal. Tambahan pula, wanita mungkin mengalami stres atau kekecewaan dengan pengalaman kelahiran anak.

Mengapakah ini penting?

Posisi wanita hamil semasa bersalin mungkin membantu memusingkan bayi supaya bahagian belakang kepala bayi menghadap hadapan perut ibu. Posisi yang lebih baik ini mungkin membantu ibu dan bayi mengalami proses bersalin dan kelahiran yang lebih normal. Walau bagaimanapun, masih belum diketahui postur yang mana, jika ada, berkesan dan bilakah masa yang terbaik untuk menggunakannya.

Ulasan sistematik berkaitan kajian posisi (postur) oleh wanita semasa bersalin dengan bayi dalam malposisi boleh memberikan jawapan sama ada posisi menambah baik kelahiran dan hasil kesihatan lain untuk ibu dan bayi. Ringkasan ulasan ini boleh digunakan untuk mengemas kini garis panduan amalan klinikal.

Satu ulasan Cochrane pada tahun 2007 melaporkan bahawa penggunaan postur ‘tangan dan lutut’ semasa bersalin tidak berkesan untuk malposisi, tetapi ia mengurangkan sakit belakang wanita yang bersalin. Sejak itu, lebih banyak kajian telah dijalankan, beberapa menggunakan postur lain; ini perlu menilai untuk melihat sama ada postur tersebut berfungsi.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami telah mencari bukti (diterbitkan sehingga 13 Julai 2021) dan mengenal pasti lapan kajian di sembilan negara berbeza yang melibatkan 1766 wanita dan bayi mereka. Wanita dalam kajian yang dirangkumi adalah sama ada ibu untuk pertama kali atau ibu yang pernah bersalin sebelum ini. Semua kehamilan wanita itu sekurang-kurangnya pada minggu ke-36.

Kajian tersebut telah membandingkan penggunaan postur ‘tangan dan lutut’ atau postur ‘baring sisi’ (lateral) (baring pada sisi yang sama dengan bayi, baring secara bertentangan dengan bayi, dan baring separuh meniarap) dengan postur lain (postur bebas, baring telentang, bersandar, baring mengiring dengan bayi).

Untuk kedua-dua posisi tangan dan lutut serta baring mengiring semasa bersalin, mungkin terdapat sedikit atatu tiada perbezaan dalam bilangan kelahiran pembedahan, pendarahan (pendarahan yang banyak pada ibu), trauma perineum yang teruk, dan kepuasan wanita terhadap proses bersalin dan kelahiran mereka, tetapi tiada bukti yang mencukupi untuk memastikannya. Banyak hasil yang kami diminati tidak dilaporkan dalam kajian yang dirangkumi.

Secara keseluruhan, kami mempunyai sedikit hingga tiada keyakinan dengan bukti, terutamanya kerana terdapat terlalu sedikit wanita dan bayi dalam kajian, dan beberapa kajian menggunakan kaedah yang tidak jelas.

Apakah maksud ini?

Secara keseluruhannya, ia adalah tidak pasti sama ada posisi tangan dan lutut atau baring mengiring semasa bersalin menambah baik kesihatan ibu dan bayi apabila bayi berada dalam malposisi. Namun, sekiranya wanita mendapati penggunaan postur tangan dan lutut, baring mengiring atau yang lain selesa semasa bersalin, tiada sebab mengapa mereka tidak harus memilih untuk menggunakannya.

Kajian selanjutnya diperlukan untuk membolehkan posisi bayi yang optimum. Khususnya, kajian selanjutnya tentang variasi dalam postur, kesan penggunaan postur yang lebih lama semasa bersalin, dan hasil jangka panjang untuk wanita dan bayi mereka diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric Inc.). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information