Apakah isunya?
Orang yang menjalani rawatan dialisis berisiko tinggi dalam mengalami penyakit kardiovaskular dan kemurungan, mempunyai kualiti hidup yang lebih rendah dan kelangsungan hidup yang terhad berbanding dengan populasi umum. Selain itu, banyak orang yang menjalani rawatan dialisis mengalami kesukaran melakukan aktiviti harian kerana mereka tidak mempunyai keupayaan fizikal dan kekuatan untuk melakukannya. Pelbagai kajian telah dijalankan untuk menilai potensi latihan senaman untuk meningkatkan kesihatan orang dewasa yang menjalani rawatan dialisis, tetapi tiada kata sepakat dicapai.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kesusasteraan perubatan untuk semua kajian rawak yang menilai program senaman berstruktur melibatkan orang yang menjalani rawatan dialisis. Kami kemudiannya menilai kualiti kajian-kajian tersebut dan menggabungkan hasil kajian mereka untuk membuat kesimpulan mengenai kesan latihan senaman dalam meningkatkan aspek kesihatan fizikal dan mental yang penting kepada pesakit yang menjalani rawatan dialisis.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui 89 kajian yang melibatkan 4291 peserta. Program latihan senaman berlangsung dari lapan minggu hingga dua tahun dan paling kerap diadakan tiga kali seminggu semasa rawatan dialisis. Kami tidak dapat menentukan kesan latihan senaman terhadap kematian, kejadian kardiovaskular (seperti serangan jantung) atau kesejahteraan mental. Bukti kepastian sederhana menunjukkan bahawa latihan senaman dalam apa-apa jenis mungkin mengurangkan gejala-gejala kemurungan dalam kalangan orang dewasa yang menjalani rawatan dialisis, terutamanya apabila senaman itu dilakukan secara rutin selama lebih daripada empat bulan. Bukti kualiti sederhana juga menunjukkan bahawa latihan senaman boleh meningkatkan keupayaan orang ramai untuk melakukan aktiviti dan tugasan harian melalui peningkatan keupayaan mereka untuk berjalan dan kekuatan serta daya ketahanan kaki mereka. Latihan senaman juga boleh mengurangkan keletihan dan meningkatkan aspek fizikal kualiti hidup, tetapi kualiti bukti adalah rendah. Kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang kesan latihan senaman terhadap kesejahteraan mental seseorang.
Kesimpulan
Latihan senaman untuk orang yang mengikuti dialisis berkemungkinan membantu mengatasi kemurungan dan meningkatkan keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti dan tugasan harian. Latihan senaman juga boleh mengurangkan keletihan dan kesakitan secara ketara. Latihan senaman boleh meningkatkan aspek fizikal kualiti hidup, tetapi tidak jelas sama ada latihan senama meningkatkan kesejahteraan mental seseorang. Tidak jelas sama ada latihan senaman mengurangkan jumlah kematian atau kejadian kardiovaskular.
Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh MW Chan (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my