Mesej-mesej utama
• Berbanding dengan plasebo (rawatan palsu), rivaroxaban mengurangkan kematian daripada sebarang sebab (kematian semua sebab) dan mungkin mengurangkan kematian daripada penyakit jantung dan saluran darah (kematian kardiovaskular) selepas serangan jantung. Dabigatran boleh mengurangkan kematian semua sebab tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan kepada kematian kardiovaskular. Apixaban mungkin tidak lebih berkesan berbanding dengan plasebo bagi mengurangkan kematian semua sebab atau kematian kardiovaskular selepas serangan jantung.
• Apixaban dan rivaroxaban meningkatkan risiko pendarahan major berbanding dengan plasebo.
• Terdapat keperluan untuk kajian yang membandingkan antikoagulan oral jenis bukan vitamin-K-antagonis (NOACs) secara langsung terhadap satu sama lain.
Apa itu penyakit jantung?
Serangan jantung ialah kejadian yang mengancam nyawa yang berlaku semasa bekalan darah ke otot jantung terganggu secara tiba-tiba, menyebabkan kerosakan tisu. Pemilihan rawatan yang terbaik untuk orang selepas serangan jantung masih kekal mencabar dalam amalan klinikal. Meskipun rawatan ubat-ubatan antiplatelet (yang mencegah pelekatan platelet bersama dan pembentukan darah beku), orang yang terselamat daripada serangan jantung menghadapi peningkatan risiko kematian.
Mengapa kita membuat ulasan Cochrane ini?
Tujuan ulasan ini adalah untuk mengkaji sama ada penambahan pencairan darah generasi akan datang (NOACs) kepada ubat-ubatan antiplatelet adalah selamat dan lebih berkesan berbanding dengan ubat-ubatan antiplatelet sahaja selepas serangan jantung. NOACs membantu mencegah pembentukan darah beku dengan mengurangkan masa pembekuan darah atau mengubah cara pembekuan berlaku.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang menguji manfaat dan risiko NOACs dalam kombinasi dengan terapi antiplatelet latar belakang berbanding dengan plasebo, terapi antiplatelet, atau kedua-duanya, selepas serangan jantung.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami telah menyertakan bukti sehingga September 2022.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menyertakan enam kajian yang melibatkan 33,039 orang (dua kajian yang membandingkan apixabran dengan plasebo, tiga kajian yang membandingkan rivaroxaban dengan plasebo, dan satu kajian yang membandingkan dabigatran dengan plasebo). Semua peserta dalam semua kajian telah menerima ubat antiplatelet. Kami telah membandingkan semua NOACs antara satu sama lain dengan menggunakan kaedah matematik yang dikenali sebagai metaanalisis rangkaian.
Apakah keputusan utama ulasan kami?
Berbanding dengan plasebo, rivaroxaban yang telah ditambah kepada ubat antiplatelet mengurangkan kematian semua sebab dan mungkin mengurangkan kematian kardiovaskular selepas serangan jantung. Dabigatran mungkin mengurangkan kematian semua sebab. Apixaban mungkin tidak memberikan manfaat tambahan berbanding plasebo dari segi kematian semua sebab atau kematian kardiovaskular. Walau bagaimanapun, apixaban dan rivaroxaban meningkatkan risiko pendarahan major berbanding dengan plasebo. Kami mendapati tiada perbezaan yang jelas antara dos individu NOACs untuk kematian atau pendarahan major. Walau bagaimanapun, apixabran (dos gabungan) mungkin kurang berkesan berbanding dengan rivaroxaban atau dabigatran bagi pencegahan kematian semua sebab selepas serangan jantung.
Apakah batasan-batasan bukti tersebut?
Kami mempunyai keyakinan yang kurang terhadap bukti untuk dabigatran kerana kajian yang merekrut kurang daripada 2000 peserta dan keputusan yang konsisten dengan tiada kesan dan juga manfaat, bahaya atau kedua-duanya yang munasabah. Kami mempunyai keyakinan tahap sederhana dengan beberapa bukti untuk apixaban dan rivaroxaban kerana keputusan adalah konsisten tanpa kesan dan juga manfaat atau bahaya yang munasabah.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga September 2022.
Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi leong.siewlian@monash.edu