Imbasan ultrasound rutin untuk bayi sebelum 24 minggu kehamilan.

Kami berusaha untuk menentukan kesan imbasan ultrasound rutin pada awal kehamilan (sebelum 24 minggu). Ini dibandingkan dengan tidak ada imbasan sama sekali, atau imbasan hanya ketika ada masalah klinikal yang disyaki, seperti jika wanita itu mengalami pendarahan vagina, atau bayi berisiko tinggi mengalami kelainan.

Apakah isunya?

Imbasan ultrasound menghantar gelombang bunyi frekuensi tinggi yang diarahkan ke kawasan yang sedang diperiksa, dan menggunakan bunyi yang dipantulkan untuk membuat imej. Ulasan ini mempertimbangkan dua jenis imbasan pada separuh pertama kehamilan. Imbasan awal (sebelum 14 minggu) bertujuan terutamanya untuk menghitung jumlah bayi, untuk memastikan mereka membesar di tempat yang betul dan memeriksa tarikh kehamilan. Imbasan yang kemudian, biasanya dilakukan sekitar 18 hingga 24 minggu, memeriksa kembali semua perkara di atas, dan juga memeriksa anatomi bayi dan adakah plasenta (selepas kelahiran) berada di tempat yang betul. Kedua-dua jenis imbasan boleh menyebabkan kegelisahan ibu bapa dan diagnosis positif palsu boleh menyebabkan bahaya. Tujuan ulasan ini adalah untuk membandingkan imbasan rutin dengan imbasan selektif atau tanpa imbasan.

Mengapakah hal ini penting?

Diandaikan bahawa imbasan rutin sebelum 24 minggu kehamilan akan menghasilkan pengesanan masalah lebih awal dan memperbaiki pengurusan dan hasil kehamilan. Alternatifnya ialah imbasan selektif untuk tujuan tertentu.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami telah mencari kajian rawak terkawal. Kami menemui 13 kajian yang melibatkan 85,265 wanita. Kami memasukkan dua perbandingan utama.

Pengimbasan awal secara rutin

Imbasan ultrasound pada 14 minggu pertama mengurangkan kebimbangan jangka pendek ibu mengenai kehamilan. Tidak ada bukti kesan yang jelas terhadap induksi bersalin untuk mencegah kehamilan yang melampaui tempoh, kehilangan bayi, kelahiran awal (sebelum 34 minggu) atau ibu memilih pengguguran kerana keabnormalan bayi.

Pengimbasan kemudian secara rutin

Imbasan trimester kedua, pada 14 hingga 24 minggu, meningkatkan pengesanan keabnormalan bayi, dan lebih banyak wanita memilih pengguguran kehamilan atas sebab ini. Tidak ada bukti tentang kesan terhadap keguguran janin. Induksi bersalin untuk mencegah kehamilan yang melampaui tempoh dikurangkan. Tidak ada kajian yang melaporkan bagaimana ia mempengaruhi kegelisahan ibu. Kehamilan berganda lebih cenderung dikesan menjelang 24 minggu. Susulan jangka panjang kanak-kanak yang terdedah pada imbasan ini tidak menunjukkan bahawa ianya berbahaya pada perkembangan fizikal atau intelektual kanak-kanak.

Kami juga menemui satu kajian dari sekumpulan negara berpendapatan rendah dan sederhana, membandingkan gabungan dua imbasan dan latihan pakar profesional kesihatan dan rujukan wanita yang mengalami komplikasi, dengan imbasan selektif dan penjagaan rutin. Intervensi itu tidak mengubah jumlah wanita yang bersalin di hospital dengan kemudahan pembedahan caesar. Ia juga tidak dapat mengurangkan kematian ibu atau jumlah bayi dengan berat badan rendah, walaupun buktinya adalah sangat tidak pasti.

Kami juga menemui satu kajian yang mana semua wanita menjalani imbasan tetapi keputusannya didedahkan kepada profesional penjagaan kesihatan dalam separuh kes. Kajian ini menunjukkan tiada kesan penting untuk pendedahan hasil imbasan tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti.

Sebilangan besar kajian dilakukan pada awal perkembangan teknologi imbasan dan ketika latihan penggunaannya adalah kurang maju. Dalam kebanyakan kajian sebilangan besar wanita dalam kumpulan kawalan juga menerima imbasan.

Apakah maksudnya?

Imbasan awal mungkin mengurangkan kebimbangan ibu terhadap bayi dalam jangka masa pendek. Imbasan kemudian mungkin mengurangkan induksi bersalin untuk mencegah kehamilan yang melampaui tempoh. Ia juga dapat meningkatkan pengesanan keabnormalan utama pada bayi dan meningkatkan jumlah wanita yang memilih pengguguran kehamilan atas sebab ini. Ia juga dapat mengurangkan jumlah kehamilan kembar yang tidak dapat dikesan. Semua penemuan ini adalah masuk akal.

Walaupun kedua-dua jenis imbasan nampaknya tidak mengubah hasil penting lain, ulasan kami mungkin meremehkan kesannya dalam amalan moden kerana kajian tersebut dilakukan pada awal perkembangan teknologi imbasan, dan ramai peserta dalam kelompok kawalan juga melakukan imbasan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information