Terapi endovaskular berbanding rawatan perubatan untuk belahan terpencil secara spontan pada arteri mesenterik superior

Mesej utama

Tiada bukti yang mencukupi untuk membandingkan faedah dan kemudaratan dua pilihan utama untuk merawat orang dengan belahan spontan arteri mesenterik (SIDSMA).

Mengapakah soalan ini penting?

Saluran darah terdiri daripada lapisan yang berbeza. Jika salah satu daripada lapisan ini koyak atau pecah, darah boleh mengalir antara lapisan, menolak lapisan dan mencipta dua saluran untuk darah mengalir, yang menghalang darah daripada menghantar oksigen dan nutrien. Belahan spontan arteri mesenterik superior (SIDSMA) berlaku selepas pemecahan pada salah satu saluran darah utama dalam perut (kawasan perut), dikenali sebagai arteri mesenterik superior, berlaku tanpa sebab yang jelas dan bukan pada mana-mana saluran utama yang lain. Orang mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala, atau mereka mungkin mengalami sakit perut, berasa tidak sihat, muntah, cirit-birit atau mempunyai darah dalam najis mereka.

Terdapat dua pilihan rawatan utama untuk penghidap SIDSMA. Yang pertama ialah rawatan perubatan, di mana orang diberikan nutrien melalui saluran terus ke dalam darah. Ini bermakna perut dan usus (tempat makanan dicerna) tidak memerlukan banyak darah. Ini memberi masa kepada saluran darah yang pecah untuk pulih. Pilihan kedua ialah terapi endovaskular, di mana potongan kecil dibuat di kawasan pangkal peha atau di bahagian dalam siku dan tiub kecil (stent) diletakkan ke dalam saluran darah untuk menutup pemecahan tersebut dan memulihkan aliran darah kepada normal. Rawatan perubatan tidak selalunya berjaya dan stent mungkin tidak terus mengekalkan aliran darah normal untuk masa yang lama selepas terapi endovaskular.

Adalah penting untuk mengetahui tentang kebaikan dan kemudaratan kedua-dua pilihan ini supaya doktor dan penghidap SIDSMA boleh membuat keputusan yang terbaik tentang rawatan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari literatur untuk kajian rawak terkawal yang membandingkan terapi endovaskular dengan rawatan perubatan untuk menguruskan SIDSMA. Dalam kajian rawak terkawal, rawatan yang diterima oleh seseorang ditentukan secara rawak dan ini memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan.

Apakah yang kami temui?

Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan terapi endovaskular dengan rawatan perubatan.

Sejauh manakah kami yakin dengan bukti ini?

Terdapat kekurangan bukti untuk membantu menjawab soalan ini. Kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk membantu memaklumkan pilihan rawatan terbaik.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 3 Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information