Mesej-mesej utama
Ultrasound pranatal biasanya digunakan pada trimester pertama dan kedua kehamilan untuk mengenal pasti potensi isu dengan bayi yang sedang berkembang (janin). Dalam kajian ini, kami menganalisis 87 kajian yang merangkumi lebih daripada 7 juta janin. Walaupun kedua-dua imbasan trimester pertama dan kedua mengesahkan perkembangan normal dengan baik (spesifisiti tinggi), keupayaan mereka untuk mengesan masalah (sensitiviti) berbeza-beza. Wanita dengan kedua-dua imbasan nampaknya mempunyai lebih banyak anomali yang dikesan sebelum 24 minggu berbanding dengan mereka yang hanya menjalani imbasan pada trimester kedua. Walau bagaimanapun, perbezaan mungkin disebabkan oleh variasi dalam pengaturan kajian dan bukannya perbezaan sebenar dalam pengesanan.
Apakah anomali janin?
Anomali janin adalah keabnormalan yang boleh menjejaskan organ bayi atau bahagian badan, yang berkembang semasa hamil. Anomali ini boleh merangkumi dari keadaan teruk yang tidak sesuai dengan kehidupan hingga yang kurang ketara, beberapa di antaranya mungkin dianggap sebagai variasi normal.
Bagaimanakah anomali janin dikesan?
Anomali janin terutamanya dikesan melalui ultrasound, yang menggunakan gelombang bunyi untuk mencipta imej terperinci organ dalaman bayi. Kebanyakan negara menawarkan satu imbasan ultrasound semasa hamil untuk memeriksa anomali janin, biasanya dijalankan antara 18 dan 24 minggu hamil (imbasan trimester kedua). Beberapa negara juga menawarkan imbasan anomali awal untuk mengenal pasti beberapa anomali utama pada peringkat yang lebih awal. Imbasan ini biasanya dilakukan pada 11 hingga 14 minggu (imbasan trimester pertama).
Apakah yang ingin kami ketahui?
Matlamatnya adalah untuk memahami sejauh mana ketepatan imbasan ultrasound dalam mengesan anomali struktur pada wanita hamil berisiko rendah dan tidak dipilih ketika dilakukan pada trimester pertama dan kedua. Kajian ini juga bertujuan untuk membandingkan ketepatan dua pendekatan yang berbeza: pendekatan saringan satu peringkat yang melibatkan hanya imbasan trimester kedua dan pendekatan dua peringkat yang melibatkan imbasan trimester pertama dan kedua.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mengkaji 87 kajian, meliputi lebih daripada 7 juta janin. Kajian-kajian ini memberi tumpuan kepada wanita hamil berisiko rendah dan tidak terpilih yang telah menjalani imbasan ultrasound trimester pertama dan/atau kedua sebagai sebahagian daripada penjagaan pranatal rutin. Kami dinilai kualiti kajian-kajian tersebut, mengekstrak data yang berkaitan dan menggunakan kaedah statistik untuk menganalisis ketepatan imbasan ultrasound.
Apakah yang telah kami temui?
Imbasan trimester pertama kelihatan tepat dalam pengesanan awal anomali janin yang maut dan beberapa anomali janin yang teruk. Walau bagaimanapun, keupayaan secara keseluruhannya untuk mengesan anomali adalah terhad. Dalam kumpulan hipotesis yang terdiri daripada 100,000 janin, imbasan ini dijangka dapat mengenal pasti dengan tepat 113 daripada 124 janin dengan anomali maut (91.3%) dan 665 daripada 1776 janin dengan sebarang anomali (37.5%). Malangnya, kira-kira 79 daripada 98,224 janin yang sihat (0.08%) mungkin secara silap menerima diagnosis anomali janin apabila, pada hakikatnya tiada anomali (diagnosis positif palsu). Walaupun kemungkinan untuk menerima diagnosis positif palsu sangat rendah, dalam kes-kes di mana ini berlaku, ini boleh menyebabkan kebimbangan dan penyiasatan yang tidak perlu.
Gabungan imbasan trimester pertama dan kedua nampaknya sangat sensitif, menjangkakan dapat mengenal pasti 1448 daripada 1776 kes (83.8%) sebelum 24 minggu dalam kumpulan hipotesis yang terdiri daripada 100,000 kehamilan. Walau bagaimanapun, sekitar 118 daripada 98,224 janin yang sihat (0.1%) mungkin menerima diagnosis positif palsu.
Lebih sedikit anomali janin nampaknya dikenalpasti sebelum 24 minggu pada kumpulan wanita yang hanya menjalani imbasan trimester kedua (pemeriksaan satu peringkat) berbanding dengan mereka yang juga menjalani imbasan trimester pertama (pemeriksaan dua peringkat). Imbasan trimester kedua tunggal dijangka mengesan 896 daripada 1776 kes (50.5%, 592 kurang daripada pemeriksaan dua peringkat), yang berpotensi mengakibatkan diagnosis positif palsu untuk sekitar 205 daripada 98,224 janin yang sihat (0.2%, 88 lebih daripada pemeriksaan dua peringkat).
Walau bagaimanapun, kajian yang hanya memberi tumpuan pada imbasan trimester kedua telah direka bentuk secara berbeza. Wanita secara amnya memasuki kajian-kajian ini selepas trimester pertama. Anomali yang mudah dikesan mungkin telah dikenal pasti sebelum penyertaan dalam kajian melalui penyiasatan yang lain, hanya meninggalkan kes yang lebih sukar dikesan dalam populasi kajian. Perbezaan ini mungkin menyebabkan anggaran yang rendah terhadap pengesanan anomali secara keseluruhan dalam kajian yang menilai ketepatan imbasan trimester kedua tunggal.
Adalah penting untuk memerhatikan kadar pengesanan anomali yang berbeza-beza di seluruh sistem organ. Anomali dinding abdomen mempunyai kadar pengesanan tertinggi: 95.6% (imbasan trimester pertama), 99.0% (gabungan imbasan trimester pertama dan kedua) dan 90.8% (imbasan trimester kedua tunggal). Anomali saluran pencernaan mempunyai kadar terendah: 8.3%, 46.5% dan 33.3%, masing-masing.
Apakah batasan bukti?
Keputusan kajian yang disertakan berbeza dengan jauh, menjadikannya sukar untuk membuat kesimpulan yang konsisten. Selain itu, tiada kajian yang bebas sepenuhnya daripada potensi isu dalam cara mereka dijalankan. Kebimbangan terutamanya tertumpu pada pengesahan penemuan pranatal yang normal dan abnormal selepas kelahiran dan sejauh manalah keputusan tersebut boleh digunakan untuk populasi umum, kerana kebanyakan kajian dijalankan di hospital universiti utama. Akhir sekali, tiada kajian secara langsung membandingkan kadar pengesanan antara kumpulan yang menerima kedua-dua imbasan dan mereka yang hanya menjalani imbasan trimester kedua. Walaupun keputusan ulasan menunjukkan bahawa gabungan imbasan trimester pertama dan kedua mungkin lebih baik untuk mengesan anomali sebelum 24 minggu kehamilan daripada imbasan trimester kedua tunggal, perbezaan ini mungkin disebabkan oleh variasi dalam reka bentuk kajian dan masa penyertaan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Pencarian bukti dilakukan sehingga 22 Julai 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.