Mesej utama
Kajian besar yang direka dengan baik tentang teknologi kesihatan mudah alih (mhealth) diperlukan untuk mengukur jarak seseorang yang mengalami klaudikasi berjeda boleh berjalan tanpa rasa sakit dan jarak maksimum yang boleh mereka berjalan.
Apakah keadaannya?
Dalam penyakit arteri periferal (PAD), saluran darah besar kaki menjadi sempit atau tersumbat, yang menjadikannya lebih sukar bagi oksigen daripada darah untuk sampai ke otot apabila diperlukan. PAD boleh tiada gejala atau boleh akibat sakit otot yang dipanggil klaudikasi berjeda (IC), yang biasanya menjejaskan kaki apabila seseorang berjalan, dan berhenti apabila mereka berhenti. Dalam sesetengah kes, kesakitannya sangat teruk sehingga menghalang orang daripada berjalan.
Keadaan yang menjadikan seseorang berkemungkinan mendapat PAD dan IC termasuk tekanan darah tinggi, gula darah tinggi, kolesterol tinggi, obesiti dan menjadi perokok. Klaudikasi boleh membawa kepada masalah kardiak (jantung) dan peredaran (aliran darah) yang serius. Pendekatan pencegahan untuk menangani risiko yang berkaitan biasanya menjadi asas rawatan. Perkara ini membantu mengelakkan komplikasi yang berpotensi seperti ulser kaki atau gangren yang mana kadangkala boleh menyebabkan keperluan untuk amputasi.
Bagaimanakah penyakit ini dapat dirawat?
1. Langkah-langkah pencegahan, seperti senaman biasa , mengekalkan berat badan yang sihat, makan pemakanan yang sihat, mengelakkan tembakau dan mengurangkan kerisauan dan tekanan, boleh membantu mengehadkan kekerapan orang mengalami IC dan mengurangkan ketenatan sakit.
2. Terapi senaman adalah bahagian penting dalam menguruskan IC; senaman berjalan yang diselia meningkatkan keupayaan berjalan dan kualiti hidup. Walaubagaimanapun, hanya sebilangan kecil pesakit senaman secara biasa .
3. Ubat sering digunakan untuk merawat IC. Ubat-ubatan ini biasanya membantu meningkatkan peredaran atau mencegah masalah serius yang disebabkan klaudikasi.
4. Prosedur pembedahan, seperti intervensi revaskularisasi (cara membersihkan, membuka atau memintas saluran darah), boleh membantu memulihkan aliran darah yang normal. Prosedur ini boleh melegakan atau mengurangkan sakit daripada IC.
Apakah yang kami ingin tahu?
Pada masa teknologi berkembang pesat dan telefon pintar serta tablet digunakan secara meluas, teknologi kesihatan berasaskan mudah alih adalah cara baharu untuk menggalakkan orang berjalan. Teknologi kesihatan mudah alih (mhealth) termasuk peranti wayarles dan penderia yang boleh menghantar melalui Internet atau rangkaian komputer, seperti telefon mudah alih, telefon pintar, tablet, perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) atau pemesejan teks, aplikasi perisian khusus dan teknologi boleh pakai. Kami ingin mengetahui sama ada teknologi mhealth boleh meningkatkan jarak yang boleh dilalui oleh orang dengan IC.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang dibandingkan teknologi kesihatan berbanding jaga biasa (tiada intervensi atau tiada nasihat untuk senaman ), nasihat senaman atau program senaman yang diselia pada orang dengan IC. Kami membanding dan meringkaskan keputusan kajian - kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor - faktor seperti kaedah dan saiz - saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui empat kajian yang melibatkan 614 orang dengan IC yang mempunyai purata umur 68 tahun. Kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat. Dua kajian berlangsung selama tiga bulan, kajian pertama selama sembilan bulan,dan kajian kedua selama 12 bulan.
Analisis kami menunjukkan tiada kesan jelas teknologi mhealth pada jarak maksimum yang boleh dilalui orang .
Kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan dalam jarak berjalan kaki tanpa kesakitan kerana tiada kajian melaporkan mengenainya. Tiada kajian yang melaporkan tentang perubahan masa orang bertahan tanpa amputasi ('kelangsungan hidup tanpa amputasi') atau prosedur untuk meningkatkan peredaran mereka ('kelangsungan hidup tanpa revaskularisasi'). Hanya satu kajian melaporkan peristiwa buruk kardiovaskular yang besar (ditakrifkan sebagai angin ahmar, infarksi miokardium (serangan jantung) atau peristiwa kematian berkaitan jantung) dan menemui tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan. Tiada kajian disertakan melaporkan peristiwa buruk anggota badan yang besar (ditakrifkan sebagai iskemia anggota badan teruk (pengurangan aliran darah secara mendadak dan ketara ke anggota badan) yang membawa kepada intervensi atau amputasi besar) atau amputasi atas buku lali.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah kerana kajian menguji sebilangan kecil orang secara keseluruhan, dan orang yang mengambil bahagian akan mengetahui intervensi yang mereka menerima, yang boleh menjejaskan cara mereka mematuhi program senaman . Tidak semua kajian memberi maklumat tentang semua yang kami minati.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga 19 Disember 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).