Intervensi pekerja penjagaan kesihatan utama dan komuniti untuk pencegahan gangguan mental dan promosi kesejahteraan di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Apakah matlamat utama ulasan ini?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan penglibatan orang dalam perkhidmatan perawatan primer dan komuniti, seperti jururawat, bidan, guru atau penjaga, dalam mempromosikan kesihatan mental. Ulasan ini tertumpu kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Mesej utama

Penggunaan pekerjaan bagi pekerja penjagaan kesihatan utama dan komuniti boleh meningkatkan kesihatan mental orang dewasa dan kanak-kanak yang tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Namun, lebih banyak bukti adalah diperlukan.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Ramai orang yang akan mendapat manfaat daripada sokongan kesihatan mental tidak dapat mengakses perkhidmatan ini. Salah satu sebabnya adalah kekurangan kakitangan penjagaan kesihatan mental yang khusus. Ini adalah benar terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Untuk mengatasi halangan ini, orang yang tidak mempunyai latar belakang profesional dalam kesihatan mental, seperti jururawat atau guru, boleh dilatih untuk menyampaikan sesetengah perkhidmatan kesihatan mental. Dalam ulasan kami, kami menyiasat sama ada strategi ini membantu menggalakkan kesihatan mental dan mencegah gangguan mental dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Kami juga menilai kosnya.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami memasukkan 113 kajian dari pelbagai negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Kajian-kajian ini menilai kesan perkhidmatan yang dijalankan oleh pekerja penjagaan kesihatan utama dan komuniti terhadap kesihatan mental, kualiti hidup, dan hasil sosial orang ramai.

Kami mengumpulkan intervensi bergantung pada objektif keseluruhannya. Secara khususnya, kami merujuk kepada mereka yang menyasarkan seluruh populasi sebagai 'promosi/pencegahan sejagat', mereka yang menyasarkan orang yang berisiko untuk mengalami gangguan mental sebagai 'pencegahan terpilih', dan mereka yang tertumpu pada orang yang sudah menunjukkan beberapa tanda gangguan mental sebagai 'pencegahan yang ditunjukkan' . Di bawah ini kami melaporkan bukti keputusan berkepastian rendah hingga sederhana, sejurus selepas intervensi. Kami tidak membentangkan keputusan di mana hasilnya tidak ada bukti atau sangat tidak pasti.

Intervensi promosi/pencegahan sejagat, berbanding penjagaan biasa:

- mungkin sedikit mengurangkan gejala kebimbangan pada orang dewasa

- boleh mengurangkan sedikit distres/gejala PTSD pada orang dewasa

- boleh menambahbaik kualiti hidup kanak-kanak

- boleh mengurangkan kejadian buruk pada kanak-kanak

- boleh mengurangkan sedikit gejala kemurungan pada kanak-kanak

- boleh mengurangkan sedikit gejala kebimbangan pada kanak-kanak

Intervensi pencegahan terpilih, berbanding dengan penjagaan biasa:

- mungkin sedikit mengurangkan gejala kemurungan pada orang dewasa

- boleh mengurangkan sedikit kemerosotan fungsi pada kanak-kanak

- mungkin sedikit mengurangkan gejala kemurungan pada orang dewasa

- boleh mengurangkan sedikit gejala kebimbangan pada kanak-kanak

- mungkin sedikit mengurangkan distres/gejala PTSD pada kanak-kanak

Intervensi pencegahan terpilih, berbanding dengan penjagaan biasa:

- boleh mengurangkan kejadian buruk pada orang dewasa

- mungkin sedikit mengurangkan kemerosotan fungsi pada orang dewasa

- mengurangkan sedikit kemerosotan fungsi pada kanak-kanak

- mengurangkan sedikit gejala kemurungan pada kanak-kanak

- boleh mengurangkan sedikit distres/gejala PTSD pada orang dewasa

Intervensi pencegahan tersebut yang disampaikan melalui peralihan tugas boleh menambahbaik tahap kesihatan mental.

Apakah batasan bukti?

Batasan bukti dalam ulasan ini berpunca daripada ketiadaan penilaian yang berkaitan dengan pengurangan kejadian gangguan mental dalam kajian pencegahan, dan kekurangan perbezaan yang dapat dilihat dalam kebolehterimaan. Tambahan pula, kajian rawak terkawal adalah terhad dan berkualiti rendah yang melaporkan hasil sekunder kami, didapati gagal menunjukkan kesan berfaedah yang ketara secara klinikal daripada intervensi pencegahan yang dikaji untuk beberapa hasil dalam populasi kanak-kanak dan dewasa.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Pengarang ulasan mencari pengkalan data sehingga November 2021 untuk mencari dan memasukkan semua kajian berkaitan yang telah dan belum diterbitkan.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information