Perbandingan dua kaedah penutupan luka dalam pemulihan stoma: penutupan dengan teknik tali dompet berbanding penutupan kulit linear.

Mesej utama

• Penutupan kulit dengan teknik tali dompet (PSSC) mungkin mengurangkan risiko jangkitan luka berbanding dengan penutupan kulit linear (LSC).
• Pesakit yang menjalani PSSC mungkin lebih berpuas hati dengan keputusannya berbanding mereka yang menjalani LSC.

Apakah maksud pemulihan stoma?

Stoma usus adalah satu bukaan usus yang dibuat secara pembedahan pada permukaan abdomen. Pesakit dengan stoma sementara akan menjalani proses pemulihan stoma beberapa bulan selepas pembedahan awal (semasa stoma itu dibuat). Sehingga 40% pesakit yang menjalani pemulihan stoma mengalami jangkitan luka, terutamanya disebabkan oleh kehadiran bakteria di sekitar tapak stoma.

Apakah teknik yang tersedia untuk menutup stoma?

Teknik konvensional untuk pemulihan stoma adalah penutupan kulit linear (LSC; penutupan luka dalam garis lurus), tetapi teknik ini dikaitkan dengan risiko jangkitan luka yang tinggi. Satu teknik alternatif dipanggil penutupan kulit tali dompet (PSSC; jahitan berterusan yang menutup luka stoma bulat, serupa dengan cara benang menutup beg tali dompet). PSSC meninggalkan pembukaan kecil di tengah-tengah luka, membolehkan pengaliran bebas kotoran dan dengan itu berpotensi mengurangkan risiko jangkitan luka.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin tahu sama ada teknik PSSC lebih baik daripada teknik LSC untuk menambah baik:

• risiko jangkitan luka;
• kepuasan pesakit;
• risiko hernia insisi (di mana tisu menembusi luka bedah); dan
• tempoh pembedahan.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan PSSC dengan LSC dalam kalangan pesakit yang menjalani pemulihan stoma. Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui sembilan kajian yang melibatkan 757 pesakit yang menjalani pemulihan stoma.

PSSC mungkin mengurangkan risiko jangkitan luka berbanding LSC. Bagi setiap 1000 pesakit yang menjalani PSSC, 52 orang akan mengalami jangkitan luka, berbanding 243 daripada setiap 1000 orang yang menjalani LSC.

Individu yang menjalani PSSC mungkin lebih puas hati dengan hasilnya berbanding dengan individu yang menjalani LSC. Dalam kajian-kajian yang termasuk dalam ulasan ini, semua peserta dalam kumpulan PSSC menyatakan yang mereka berpuas hati atau sangat berpuas hati dengan penutupan stoma, berbanding 89% peserta dalam kumpulan LSC.

Mungkin terdapat perbezaan yang sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua teknik tersebut dalam risiko hernia insisi atau dalam tempoh pembedahan, tetapi hasilnya sangat tidak pasti.

Apakah batasan bukti?

Kami agak yakin tentang kesimpulan kami mengenai jangkitan luka, kerana setiap peserta mengetahui teknik apa yang dijalankan ke atas mereka, begitu juga dengan orang yang melakukan penutupan stoma. Kajian-kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk memberikan bukti yang lebih kuat tentang kepuasan peserta, hernia insisi, dan tempoh pembedahan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 13 Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kelly Sze Fang Num. Untuk Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Tools
Information