Mesej utama
- Apabila membangunkan perkhidmatan Hospital di Rumah, adalah penting untuk menetapkan proses yang terang untuk ahli profesional penjagaan kesihatan merujuk pesakit. Ini termasuk menetapkan garis panduan jelas yang menyatakan siapa yang sesuai untuk perkhidmatan tersebut.
- Perkhidmatan Hospital di Rumah memerlukan tenaga kerja yang terlatih dengan kemahiran untuk menyampaikan penjagaan berpusatkan pesakit secara selamat dan berkesan di rumah, dengan komunikasi yang jelas dan konsisten antara kakitangan, pesakit dan penjaga.
- Kami mencadangkan beberapa soalan untuk digunakan oleh ahli profesional penjagaan kesihatan dan pengurus apabila memperkenalkan perkhidmatan baru Hospital di Rumah, atau menjalankan perkhidmatan sedia ada. Soalan-soalan ini bertujuan untuk membantu merancang dan melaksanakan perkhidmatan Hospital di Rumah dan meningkatkan kepuasan dan keberhasilan untuk kakitangan, pesakit dan penjaga.
Apakah itu Hospital di Rumah?
Hospital di Rumah menyediakan penjagaan peringkat hospital di rumah, untuk orang yang sebaliknya akan menjadi pesakit di dalam hospital. Salah satu jenis Hospital di Rumah adalah untuk mengelakkan kemasukan ke hospital. Ini dinamakan sebagai Pengelakan Kemasukan Hospital di Rumah. Perkhidmatan ini mengganti kemasukan ke hospital, untuk orang dengan keadaan yang biasanya memerlukan rawatan di hospital, sebagai contoh untuk keadaan paru-paru yang tiba-tiba merosot. Sebaliknya, doktor boleh merujuk pesakit yang mereka nilai sebagai sesuai untuk menerima rawatan penyakit di rumah mereka sendiri (atau tempat di mana mereka biasanya tinggal, termasuk di rumah penjagaan), selama suatu batas waktu. Satu jenis lagi dinamakan sebagai Discaj Awal Hospital di Rumah. Perkhidmatan ini memendekkan tempoh masa yang diperlukan orang untuk tinggal di hospital selepas dimasukkan sebagai pesakit, sebagai contoh selepas pembedahan atau rawatan untuk sesuatu penyakit atau keadaan. Penjagaan yang biasanya diterima pesakit daripada ahli profesional penjagaan kesihatan di hospital sebaliknya disediakan di rumah mereka, dan tidak dijangka akan menjejaskan kualiti penjagaan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Matlamat kami adalah untuk mengetahui perkara yang penting apabila memperkenalkan, menjalankan dan menerima penjagaan daripada perkhidmatan Hospital di Rumah. Kami ingin meneroka pelbagai pengalaman dan pandangan tentang perkhidmatan Pengelakan Kemasukan dan Discaj Awal. Ini mungkin termasuk perkara yang pengurus ingin tahu apabila merancang untuk membangunkan perkhidmatan Hospital di Rumah, pandangan ahli profesional penjagaan kesihatan tentang bekerja dalam perkhidmatan Hospital di Rumah, perkara yang penting kepada pesakit yang menerima jenis penjagaan ini, atau pengalaman keluarga dan penjaga tentang perkhidmatan Hospital di Rumah bagi mereka yang perlu dijaga.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang telah menerokai pengalaman, sikap atau kepercayaan tentang perkhidmatan Hospital di Rumah daripada perspektif pesakit, penjaga, ahli profesional kesihatan, pengurus dan pembiaya kesihatan. Kajian-kajian tersebut menangani perkhidmatan Hospital di Rumah sedia ada dan yang sedang dibangunkan, untuk orang dengan pelbagai isu kesihatan, seperti strok, jangkitan paru-paru atau selepas pembedahan. Kajian telah menggunakan temubual atau kumpulan fokus untuk meneroka pandangan orang yang terlibat dalam menyampaikan atau menerima perkhidmatan Hospital di Rumah. Kami menilai dan merumuskan penemuan daripada setiap kajian. Kami mengenal pasti penemuan penting merentas kajian, dan kemudiannya menilai sejauh mana keyakinan kami dalam setiap penemuan. Keyakinan (atau kepercayaan) ini bergantung kepada, sebagai contoh, berapa banyak maklumat yang berkaitan dengan penemuan tertentu telah diberikan di dalam kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui 52 kajian yang telah meneroka perkhidmatan Hospital di Rumah, termasuk 31 Discaj Awal, 16 Pengelakan Kemasukan dan lima gabungan perkhidmatan Discaj Awal dan Pengelakan Kemasukan. Kajian-kajian ini menjalankan temubual atau kumpulan fokus dengan 662 kakitangan penjagaan kesihatan, 900 pesakit, 417 penjaga dan lapan pembiaya kesihatan.
Keseluruhannya, kami mengenal pasti 12 penemuan utama selepas menilai semua kajian. Kami telah menggolongkan penemuan ini sebagai: (1) pembangunan hubungan pihak berkepentingan dan sistem sebelum pelaksanaan, (2) proses, sumber dan kemahiran yang diperlukan untuk penyampaian secara selamat dan berkesan, (3) kebolehterimaan dan impak terhadap penjaga dan (4) kemampanan perkhidmatan. Kami yakin dengan kebanyakan penemuan kami, tetapi kami kurang yakin dengan beberapa penemuan, terutamanya disebabkan oleh bilangan kajian yang kecil dan temubual dengan pembiaya kesihatan yang menyumbang kepada penemuan ulasan.
Apakah batasan bukti?
Semua kecuali satu kajian datang dari negara berpendapatan tinggi, maka hasil penemuan kami mungkin tidak terpakai untuk negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Sesetengah kajian tidak melaporkan semua maklumat yang mungkin berguna. Contohnya, jenis kakitangan dan peranan perkhidmatan tidak selalunya disertakan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat November 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).