Analog hormon pelepasan gonadotrofin untuk kesakitan yang berkait dengan endometriosis

Apakah manfaat dan risiko analog hormon pelepasan gonadotrofin (gonadotrophin-releasing hormone analogues, GnRHas) untuk kesakitan yang berkait dengan endometriosis?

Mesej utama

GnRHas menawarkan lebih pengurangan kesakitan berbanding dengan plasebo atau progestogen. Walau bagaimanapun, didapati penurunan terbesar dalam ketumpatan mineral tulang (bone mineral density, BMD) apabila menggunakan GnRHas, berbanding dengan hormon berlainan yang dipanggil gestrinone dan GnRHas bersama-sama dengan agen pengawalan kalsium (bertindak terhadap tulang). 

Kebanyakan kesan buruk merupakan panas badan dalam kalangan pesakit yang dirawat dengan GnRHas atau gestrinone (hormon) dan penambahan berat badan apabila dirawat dengan danazol (hormon).

Selanjutnya, penyelidikan yang direkabentuk dengan baik adalah diperlukan untuk memberikan pemahaman yang leibh baik tentang manfaat dan risiko menggunakan GnRHas dan pilihan rawatan hormon lain untuk kesakitan yang berkait dengan endometriosis.

Apakah itu endometriosis?

Endometriosis adalah keadaan biasa yang melibatkan wanita dalam usia subur, dan ia selalunya disebabkan oleh kehadiran tisu seperti endometrium di bahagian badan lain selain daripada rahim. Simptom yang paling kerap dilaporkan ialah kesakitan dan kemandulan.

Apakah itu GnRHas?

GnRHas ialah sekumpulan ubat yang sering digunakan untuk merawat endometriosis. GnRHas ialah bentuk sintetik hormon gonadorelin, yang dirembeskan oleh hipotalamus di dalam otak. Ia merangsang kelenjar pituitari di dalam otak untuk menghasilkan hormon peluteinan (luteinising hormone, LH) dan hormon perangsang folikel (follicle-stimulating hormone, FSH), kedua-duanya merupakan hormon pembiakan. Hormon pembiakan ini seterusnya merangsang pengeluaran progesteron dan estrogen dalam ovari, iaitu hormon yang mengawal kitaran haid. 

Walau bagaimanapun, penggunaan GnRHas secara berterusan menyekat fungsi ovari dan oleh itu mengurangkan tahap estrogen dan progesteron. Ini seterusnya akan mengakibatkan pengurangan tisu endometrium dan oleh itu mengurangkan masalah endometriosis.

Disebabkan GnRHas menghentikan sementara pengeluaran hormon pembiakan, mereka menyerupai simptom menopaus, termasuklah penurunan dalam ketumpatan mineral tulang (jumlah kalsium dan mineral lain yang terdapat dalam tulang).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Dalam ulasan semasa, kami melihat kepada wanita dengan endometriosis yang telah dirawat dengan GnRHas, dan membandingkan rawatan ini dengan bentuk rawatan hormon yang lain.

Kami ingin mengetahui sekiranya GnRHas adalah lebih baik daripada sebarang rawatan hormon lain untuk mengurangkan kesakitan dan untuk melihat kesannya terhadap ketumpatan mineral tulang.

Selain itu, kami ingin mengetahui sekiranya GnRHas dikaitkan dengan peningkatan kualiti hidup dan juga mendedahkan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang telah kami lakukan?

Ulasan ini melibatkan pencarian untuk kajian yang menyelidik kesan GnRHas berbanding plasebo (rawatan palsu) dan rawatan hormon lain dalam kalangan wanita dengan endometriosis. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami mendapati 72 kajian yang melibatkan 7355 wanita dengan endometriosis. 

- Perbezaan dalam kesakitan keseluruhan, dilaporkan sebagai pengurangan kesakitan dilihat memihak kepada GnRHas berbanding plasebo. Kami juga mendapati bahawa wanita yang dirawat dengan GnRHas mengalami sedikit pengurangan sakit pelvis dan peningkatan luka endometrium selepas enam bulan rawatan, berbanding dengan danazol. 

- Selepas enam bulan rawatan, terdapat pengurangan kesakitan yang lebih besar bagi wanita yang dirawat dengan GnRHas berbanding gestrinone. 

- Tiada perbezaan dilihat dalam skor kesakitan antara wanita yang dirawat dengan GnRHas berbanding pilihan rawatan hormon yang lain. 

- Kebanyakan kesan buruk dilihat pada wanita yang dirawat dengan GnRHas berbanding dengan plasebo (panas badan), dengan danazol (pertambahan berat badan) dan gestrinone (panas badan). 

- Pengurangan yang lebih besar dalam ketumpatan mineral tulang didapati dalam GnRHas berbanding dengan gestrinone dan GnRHas bersama-sama dengan agen pengawalan kalsium. 

- Untuk perbandingan lain yang dilihat dalam ulasan semasa ini, kami tidak pasti akan kesan antara kumpulan yang diperiksa. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa bukti selalunya (sangat) berkualiti rendah dalam analisis yang dijalankan untuk perbandingan lain.

Apakah batasan bukti?

Kajian yang disertakan adalah berkualiti rendah terutamanya disebabkan oleh pelaporan kaedah kajian yang lemah dan ketidaktepatan keputusan yang dilaporkan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information