Apakah manfaat dan mudarat kanta sentuh hidrogel silikon berbanding kanta sentuh hidrogel untuk ketidakselesaan mata?

Mesej utama

1) Pemakai kanta sentuh lembut (SCL) hidrogel silikon dan kanta sentuh hidrogel mungkin mengalami keselesaan mata yang setara, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

2) Dalam jangka masa panjang, risiko mengalami kejadian mata yang teruk mungkin lebih dengan pemakaian SCL hidrogel silikon berbanding SCL hidrogel. Seperti di atas, bilangan kajian yang kecil dan keterbatasan bukti bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

Apakah kanta sentuh lembut hidrogel silikon dan kanta sentuh lembut hidrogel?

Kanta sentuh lembut sering digunakan sebagai alternatif kepada cermin mata untuk membetulkan penglihatan. Tidak seperti cermin mata, kanta sentuh diletakkan terus ke permukaan mata. SCLs diperbuat dari plastik mudah lentur, yang biasanya diperbuat daripada bahan plastik hidrogel silikon atau hidrogel. Bahan-bahan ini berliang, dengan ruang atau lubang yang membolehkan cecair dan udara menembusi ke permukaan mata. Bahan-bahan hidrogel silikon lebih lut udara dan mempunyai kandungan air yang kurang berbanding SCL hidrogel.

Bagaimanakah kedua-dua jenis SCL berbeza dalam menyebabkan ketidakselesaan mata?

Kanta sentuh boleh menyekat oksigen dan mengubah air mata pada permukaan mata. Ini boleh menyebabkan kerengsaan mata, ketidakselesaan, dan juga kerosakan (seperti calar atau jangkitan) pada permukaan mata. Perbezaan dalam bahan kanta boleh mengakibatkan ketidakselesaan dan kesan berbahaya.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui jika SCL silikon hidrogel boleh mengurangkan ketidakselesaan mata dan komplikasi seperti jangkitan mata berbanding SCL hidrogen.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan SCL hidrogel silikon dengan SCL hidrogel dalam kalangan dewasa yang berumur 18 tahun atau lebih. Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan reka bentuk kajian dan kaedah kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui tujuh kajian termasuk sejumlah 1371 peserta yang berumur antara 21 dan 33 tahun, dengan lebih ramai penyertaan wanita daripada lelaki dalam majoriti kajian. Tiga kajian hanya melibatkan pemakai SCL baharu; dua kajian melibatkan kedua-dua pengguna SCL yang baharu dan berpengalaman; dan dua kajian tidak menerangkan tahap pengalaman peserta. Tempoh kajian antara seminggu sehingga satu tahun, dengan kebanyakan kajian berlangsung selama tiga bulan. Kebanyakan kajian dibiayai oleh syarikat yang menghasilkan SCL atau mempunyai penulis yang bekerja dengan syarikat tersebut, atau kedua-duanya.

Bila membandingkan SCL hidrogel dengan hidrogel silikon dari segi keselesaan, bukti adalah berkepastian rendah bahawa satu memberi lebih keselesaan berbanding lagi satu. Walaupun bukti kepastian yang sangat rendah, SCL hidrogel mungkin lebih selamat berbanding SCL hidrogel silikon selepas pemakaian selama setahun.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti keselamatan dan keselesaan kanta sentuh silikon lawan kanta sentuh hidrogel. Keyakinan kami banyak dipengaruhi kelemahan reka bentuk dan pengendalian kajian. Ada juga kemungkinan bahawa peserta kajian mengetahui rawatan yang mereka terima, dan tahap keselesaan yang dilaporkan secara kendiri mungkin menjadi berat sebelah.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli (Management and Science University, Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information