Kemoterapi yang mengandungi platinum sebelum atau selepas pembedahan untuk wanita dengan kanser payu dara triple-negatif awal

Mesej utama

Kemoterapi termasuk ubat berasaskan platinum carboplatin meningkatkan kelangsungan hidup dan mengurangkan peluang kanser berulang untuk pesakit kanser payu dara triple-negatif awal.

Walau bagaimanapun, ia juga dikaitkan dengan peningkatan kesan-kesan sampingan.

Apakah kanser payu dara triple-negatif?

Kanser payu dara triple-negatif terdiri 15% daripada kes kanser payu dara. Ia adalah sejenis kanser payu dara yang tidak mempunyai mana-mana daripada tiga reseptor yang biasa ditemui pada sel kanser payudara - reseptor estrogen, progesteron dan HER2. Kanser payu dara awal ditakrifkan sebagai kanser terhad kepada payudara dan nodus limfa di ketiak, dan ia biasanya boleh disembuhkan.

Bagaimanakah kanser payu dara triple-negatif awal dirawat?

Rawatan untuk kanser payu dara triple-negatif awal termasuk:

– pembedahan untuk membuang kanser dari payu dara dan nodus limfa;

– radioterapi ke payu dara dan nodus limfa, digunakan untuk mencegah kanser daripada kembali di kawasan ini;

– kemoterapi, digunakan untuk mencegah kanser daripada kembali ke mana-mana bahagian badan. Ini boleh diberikan sebelum pembedahan (dipanggil 'neoadjuvant') atau selepas pembedahan (dipanggil 'adjuvant').

Apakah yang kami ingin tahu?

Terdapat banyak jenis kemoterapi yang digunakan dalam kanser payu dara triple-negatif. Kami ingin mengetahui sama ada kelas kemoterapi tertentu yang dipanggil 'kemoterapi berasaskan platinum' meningkat:

– tempoh masa pesakit kekal hidup tanpa kanser berulang selepas diagnosis (kelangsungan hidup tanpa penyakit);

– jumlah jangka hayat selepas diagnosis (kelangsungan hidup);

– kemungkinan kanser telah hilang dalam payu dara yang dikeluarkan dan tisu nodus limfa apabila kemoterapi diberikan sebelum pembedahan (tindak balas lengkap patologi).

Kami juga ingin mengetahui sama ada kemoterapi berasaskan platinum dikaitkan dengan lebih banyak hasil yang tidak diingini seperti kelewatan kemoterapi, pengurangan dos atau kesan sampingan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian melihat kemoterapi untuk kanser payu dara triple-negatif awal yang membandingkan regimen yang mengandungi kemoterapi platinum dengan regimen tanpa kemoterapi platinum.

Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami telah mendapati 20 kajian yang melibatkan 4688 orang dengan kanser payu dara triple-negatif awal, dengan purata susulan dalam kajian antara tiga hingga lapan tahun.

Kemoterapi platinum dikaitkan dengan kelangsungan hidup tanpa penyakit and secara keseluruhan, dan mengurangkan peluang penyakit berulang dan kematian kira-kira satu pertiga. Faedah ini dilihat dengan kemoterapi yang digunakan sebelum pembedahan (neoadjuvant) atau selepas pembedahan (adjuvant). Apabila digunakan sebelum pembedahan, ia juga memperbaiki kemungkinan tindak balas lengkap patologi.

Kami tidak mendapati bahawa mana-mana subkumpulan tertentu, seperti orang yang mempunyai mutasi gen berisiko tinggi, mempunyai lebih banyak manfaat daripada kemoterapi platinum.

Walau bagaimanapun, orang yang menerima kemoterapi platinum lebih berkemungkinan memerlukan dos kemoterapi mereka dikurangkan, atau mengalami kelewatan dalam kemoterapi mereka. Mereka juga lebih cenderung untuk menghentikan kemoterapi lebih awal.

Kemoterapi platinum juga menyebabkan kesan sampingan yang lebih serius termasuk bilangan sel darah rendah. Ia tidak dikaitkan dengan peningkatan demam yang dikaitkan dengan bilangan sel darah putih yang rendah (neutropenia febril), gejala kerosakan saraf (neuropati) atau kematian yang disebabkan oleh rawatan.

Apakah batasan bukti?

Bukti umumnya berkualiti tinggi dan telah menyertakan data yang mencukupi untuk membuat pertimbangan untuk menjawab soalan utama kami.

Walau bagaimanapun, terdapat banyak jenis kemoterapi yang digunakan merentas kajian. Walaupun kami telah menunjukkan bahawa kemoterapi platinum menambahbaik hasil jangka panjang, kami tidak tahu apakah kombinasi kemoterapi yang terbaik.

Tiada satu pun kajian melaporkan kualiti hidup, yang pada mulanya kami tetapkan untuk mengukur dan merekodkan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga hingga April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information