Penggunaan teknologi untuk pemantauan kesihatan jarak jauh dalam penyakit radang usus

Mesej utama

• Pemantauan jarak jauh mungkin sama seperti pemantauan biasa (contohnya pemantauan bersemuka di klinik dan hospital) bagi memperbaik gejala penyakit radang usus di kalangan orang dewasa; terdapat bukti yang terhad bagi kanak-kanak.
• Pemantauan jarak jauh mungkin sama seperti pemantauan biasa untuk mengelakkan pengulangan penyakit atau serangan keradangan; perkara yang sama mungkin juga terjadi pada kanak-kanak.
• Pemantauan jarak jauh mungkin sama seperti pemantauan biasa untuk meningkatkan kualiti hidup di kalangan orang dewasa; terdapat bukti terhad bagi kanak-kanak.

Apakah itu penyakit radang usus?

Penyakit radang usus merujuk kepada dua keadaan utama yang menyebabkan keradangan pada usus. Keadaan ini adalah kolitis ulseratif dan penyakit Crohn. Kolitis ulseratif hanya terjadi pada usus besar. Penyakit Crohn pula boleh terjadi pada mana-mana bahagian saluran pencernaann, daripada mulut hingga ke bahagian dubur.

Penyakit radang usus secara lazimnya menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan pada perut, cirit birit yang mungkin berdarah, penurunan berat badan, dan keletihan.

Apa yang kami ingin tahu?

Pemantauan jarak jauh, yang juga dipanggil telekesihatan, telah menjadi lebih biasa, terutamanya sejak pandemik coronavirus 2019 (COVID-19). Menggunakan teknologi untuk pemantauan jarak jauh boleh memberikan manfaat kepada individu yang mengalami penyakit radang usus. Telekesihatan boleh dilaksanakan melalui telefon, pemesejan segera, video, mesej teks, perkhidmatan berasaskan web, atau cara-cara lain.

Kami ingin mencari teknologi komunikasi manakah yang digunakan untuk pemantauan jarak jauh dalam penyakit radang usus ini, bagaimana ia digunakan, sekiranya ia boleh diakses oleh semua orang, dan apakah faedah atau kelemahannya.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian rawak terkawal (randomised controlled trials, RCT; kajian di mana para peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan telekesihatan dengan mana-mana kaedah rawatan lain terhadap penghidap penyakit radang usus. RCT memberikan kami bukti dengan standard yang paling tinggi.

Kami tidak mengenakan had untuk umur atau jenis pemantauan jarak jauh dalam carian kami, tetapi kami mengecualikan kajian yang tidak menumpukan pada pemantauan kesihatan, seperti kajian yang hanya memberikan maklumat atau pendidikan kepada pesakit. Kami juga mengecualikan kajian yang menyediakan pemantauan jarak jauh ujian darah atau najis tanpa jenis pemantauan kesihatan jarak jauh yang lain.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 19 RCT yang berkaitan, yang melibatkan gabungan sejumlah 3489 individu berumur lapan hingga 95 tahun. Pemantauan kesihatan jarak jauh dilaksanakan secara dalam talian (contohnya aplikasi telefon pintar, laman web) atau melalui telefon.

Dua belas kajian membandingkan pemantauan berasaskan web dengan pemantauan biasa, tiga membandingkan pemantauan berasaskan telefon dengan pemantauan biasa, tiga membandingkan pemantauan berasaskan web dengan pemantauan "palsu", satu membandingkan pemantauan berasaskan web dengan pemantauan sendiri, dan satu membandingkan sokongan psikologi dan telefon dengan pemantauan biasa.

Pemantauan jarak jauh berasaskan web mungkin tidak berbeza dengan pemantauan biasa di kalangan orang dewasa untuk memperbaik gejala, mengelakkan pengulangan penyakit atau serangan keradangan , dan meningkatkan kualiti hidup.

Kami juga mendapati bahawa pesakit yang menerima pemantauan berasaskan web mungkin kurang kebarangkalian untuk meninggalkan ubat mereka berbanding dengan mereka yang menerima pemantauan biasa. Kami sederhana yakin terhadap keputusan ini berdasarkan bukti semasa.

Bukti mengenai kanak-kanak adalah terhad.

Dengan maklumat yang ada pada masa kini, kami tidak boleh membuat sebarang keputusan terhadap parameter lain seperti akses kepada penjagaan kesihatan, sama ada individu yang menghidap penyakit radang usus bersetuju dengan program-program ini dan digalakkan untuk menghadiri temujanji, sejauh mana penglibatan golongan profesional klinikal dalam program ini, dan kos atau masa yang diambil.

Bukti tentang bentuk pemantauan jarak jauh yang lain juga amat terhad.

Apakah batasan bukti?

Satu batasan bukti adalah kajian-kajian RCT tidak memberikan penerangan yang jelas mengenai program pemantauan jarak jauh yang mereka jalankan, yang bermaksud mana-mana organisasi yang ingin meniru dan mengamalkan intervensi ini akan mengalami kesukaran untuk berbuat demikian. Penerangan mengenai pemantauan biasa (kumpulan rawatan alternatif dalam banyak kajian) juga tidak jelas. Hal ini bermakna pemantauan standard mungkin berbeza antara satu kajian dengan kajian yang lain, yang boleh menjadikan penemuan kami kurang tepat.

Beberapa kajian meneliti bentuk-bentuk pemantauan jarak jauh selain daripada pemantauan berasaskan web.

Batasan yang lain adalah kajian yang berbeza mengukur hasil keputusan (kesan) rawatan yang berbeza.

Akhir sekali, sesetengah kajian menggunakan kaedah-kaedah penyelidikan yang berkualiti rendah.

Apa selepas ini?

Kajian lanjut yang membandingkan pemantauan berasaskan web dengan pemantauan biasa di kalangan orang dewasa tidak lagi diperlukan, melainkan kajian tersebut memantau dalam jangka masa yang lebih lama atau memberikan butiran lebih lanjut yang boleh membantu doktor-doktor mengamalkannya di mana sahaja di seluruh dunia. Ini termasuklah butiran tentang jenis dan bilangan kakitangan yang diperlukan, sumber, peralatan, kos, kebolehcapaian, dan keselamatan data. Lebih banyak kajian tentang kanak-kanak mungkin berguna, serta kajian yang menilai perbezaan berdasarkan jantina dan status sosial atau kewangan. Walau apa pun, kajian pada masa hadapan harus menumpukan kepada mengukur keputusan yang paling penting bagi penghidap penyakit radang usus dan penyedia penjagaan mereka.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga April 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information