Apakah matlamat ulasan ini?
Dalam ulasan sistematik ini, kami mengkaji bukti yang ada tentang keberkesanan dan keselamatan beberapa ubat yang digunakan untuk merawat subset tertentu keadaan keradangan bahagian belakang mata.
Mesej utama
Kami mendapati bahawa ubat methotrexate mungkin lebih berkesan sedikit daripada mycophenolate. Selain itu, tiada bukti kukuh untuk mencadangkan satu ubat lebih berkesan atau selamat daripada yang lain.
Apakah yang kami kaji dalam ulasan ini?
Perantaraan, posterior, dan panuveitis tidak berjangkit (NIIPPU) adalah kumpulan beberapa penyakit yang menyebabkan keradangan terhad kepada atau termasuk bahagian belakang mata. NIIPPU bukan disebabkan oleh jangkitan. NIIPPU biasanya dirawat terlebih dahulu dengan steroid oral, yang mengekang sistem imun yang terlalu aktif. Walau bagaimanapun, oleh kerana steroid mempunyai banyak kesan sampingan lain apabila digunakan untuk jangka masa yang panjang, penghidap NIIPPU sering memerlukan ubat imunosupresif lain untuk mengawal penyakit mereka. Beberapa ubat telah dikemukakan, tetapi tidak jelas mana yang paling berkesan atau paling selamat untuk NIIPPU. Ulasan sistematik ini cuba menjawab sejauh mana keselamatan dan berkesan ubat-ubatan methotrexate, mycophenolate, azathioprine, tacrolimus, dan cyclosporine adalah untuk NIIPPU.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Keputusan utama ulasan ini ialah ubat methotrexate mungkin berkesan lebih sedikit daripada mycophenolate untuk rawatan NIIPPU dari segi bilangan orang yang dapat dikawal penyakit mereka dan dapat dihentikan daripada (ditanggalkan) ubat steroid. Kedua-dua ubat itu berkemungkinan serupa dari segi keselamatannya, tetapi bukti ini adalah tidak kukuh. Tidak banyak contoh lain di mana kami boleh menggabungkan bukti daripada kajian yang berbeza. Terdapat kekurangan data secara umum dalam bidang ini, dan kami tidak boleh membuat sebarang kesimpulan lain mengenai keunggulan satu ubat berbanding yang lain dari segi keselamatan atau keberkesanan.
Apakah batasan ulasan ini?
Ulasan ini tidak termasuk terapi biologi, yang semakin menjadi kelas ubat yang digemari oleh kebanyakan doktor untuk merawat keadaan reumatologi radang seperti NIIPPU. Ulasan ini juga dihadkan oleh kekurangan kajian rawak terkawal (RCT) yang besar di lapangan, perbezaan luas dalam reka bentuk kajian yang ada, dan ketiadaan kajian yang membandingkan banyak ubat secara langsung.
Sejauh mana ulasan ini terkini?
Ulasan ini adalah terkini sehingga 16 April 2021.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my