Apakah manfaat dan kemudaratan tamoxifen untuk merawat orang dengan karsinoma heptoselular?

Mesej utama

  • Kami tidak pasti sama ada tamoxifen memberi manfaat kepada kelangsungan hidup, perkembangan penyakit (penyakit semakin teruk) atau kesejahteraan pada orang dengan karsinoma hepatoselular lanjutan (jenis kanser hati yang paling biasa) apabila dibandingkan dengan tiada rawatan aktif, rawatan sokongan (untuk melegakan simptom) atau pil plasebo.

  • Kami tidak pasti sama ada tamoxifen mengubah kekerapan berlakunya kesan tidak diingini yang serius dan tidak serius pada orang dengan karsinoma hepatoselular lanjutan (di mana kanser telah merebak) apabila dibandingkan dengan tiada rawatan aktif, rawatan sokongan atau pil plasebo.

Apakah karsinoma hepatoselular dan tamoxifen?

Karsinoma hepatoselular adalah kanser hati primer yang biasa pada orang dewasa. Ini bermaksud sel-sel kanser bermula di dalam hati. Ia paling kerap berlaku pada orang yang telah dijangkiti virus hepatitis B atau C untuk tempoh yang lama. Hepatitis B dan C adalah jangkitan hati.

Karsinoma hepatoselular boleh didiagnosis melalui pengimbasan hati dengan alat pengesan serta tahap tinggi penanda tumor, dipanggil alpha-fetoprotein, dalam darah. JIka keputusan imbasan tidak jelas, biopsi hati boleh dilakukan. Biopsi hati ialah prosedur di mana jarum dimasukkan ke dalam hati dan sekeping kecil tisu hati diambil untuk dianalisis di bawah mikroskop.

Karsinoma hepatoselular biasanya dirawat dengan pembedahan, ubat-ubatan untuk membunuh sel-sel kanser yang diberikan secara tempatan (terus ke dalam saluran darah yang membekalkan kanser) atau pemindahan hati. Dalam kes lanjutan (di mana kanser telah merebak), penjagaan sokongan diberikan untuk melegakan gejala.

Tamoxifen ialah ubat yang mengurangkan kesan estrogen. Estrogen ialah hormon yang bertanggungjawab untuk ciri-ciri seks wanita yang terdapat pada wanita dan lelaki. Tamoxifen menghalang estrogen daripada berinteraksi dengan sel-sel kanser dan mungkin mengurangkan pertumbuhan dan penyebaran kanser.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada tamoxifen lebih baik daripada tiada rawatan, rawatan sokongan atau pil plasebo untuk mengurangkan kematian, meningkatkan kesejahteraan, dan melambatkan penyakit yang semakin teruk. Kami juga ingin mengetahui sama ada tamoxifen dikaitkan dengan sebarang kesan tidak diingini yang serius (mengancam nyawa) atau tidak serius.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan tamoxifen dengan kumpulan kawalan yang terdiri daripada tiada rawatan, rawatan sokongan atau pil plasebo. Kami membandingkan dan merumuskan hasil-hasil tersebut serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 10 kajian yang melibatkan 1715 orang dengan karsinoma hepatoselular yang tidak boleh dibedah (tidak dapat dikeluarkan melalui pembedahan) atau lanjutan (peringkat akhir). Semua kajian menilai tamoxifen yang diberikan melalui mulut. Kajian terbesar melibatkan 496 orang dan kajian terkecil melibatkan 22 orang. Enam kajian dijalankan di satu pusat, tiga kajian dilakukan di beberapa pusat dalam satu negara, dan satu kajian dijalankan di beberapa pusat di sembilan negara. Syarikat farmaseutikal, geran penyelidikan nasional, dan geran institusi tempatan membiayai kajian-kajian ini. Kesemua 10 kajian mempunyai masalah dalam reka bentuk dan kaedah.

Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah kematian antara kumpulan tamoxifen dan kumpulan kawalan selepas pemantauan selama satu hingga lima tahun (lapan kajian). Dalam kumpulan tamoxifen, 488 daripada 682 orang (72%) meninggal dunia berbanding 487 daripada 682 orang (71%) dalam kumpulan kawalan.

Bukti sangat tidak pasti tentang kesan tamoxifen dan kawalan terhadap kesan tidak diingini yang serius. Hanya satu kajian yang melaporkan kesan tidak diingini yang serius selepas genap satu tahun.

Bukti sangat tidak pasti tentang kesan tamoxifen dan kawalan terhadap kesejahteraan orang selepas pemantauan selama sembilan bulan (satu kajian).

Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam pemudaratan penyakit antara kumpulan tamoxifen dan kumpulan kawalan selepas pemantauan selama satu hingga lima tahun (empat kajian). Dalam kumpulan tamoxifen, 191 daripada 359 orang (53%) mengalami perkembangan kanser berbanding 198 daripada 362 orang (55%) dalam kumpulan kawalan.

Tamoxifen kemungkinan kecil mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kejadian tidak diingini yang dianggap tidak serius selepas pemantauan selama satu hingga tiga tahun tetapi bukti adalah sangat tidak pasti (empat kajian). Dalam kumpulan tamoxifen, 10 daripada 265 orang (4%) mengalami kesan tidak diingini yang tidak serius berbanding 6 daripada 197 orang (3%) dalam kumpulan kawalan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sangat rendah kerana bilangan kajian yang kecil dengan jumlah peserta yang sedikit. Beberapa kajian tidak melaporkan kaedah mereka. Ia berkemungkinan bahawa orang dalam kajian menyedari rawatan yang mereka terima. Tidak semua kajian memberikan data mengenai semua aspek yang kami minati. Kaedah kajian yang lemah boleh membesar-besarkan atau meremahkan manfaat dan kesan tidak diingini tamoxifen. Kami masih kekurangan bukti mengenai kesan tamoxifen berbanding tanpa rawatan, rawatan sokongan atau pil plasebo menjelang kematian, kesejahteraan, perkembangan kanser dan kesan tidak diingini yang serius dan tidak serius.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 26 Mac 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia).

Tools
Information