Intervensi dari kehamilan sehingga dua tahun selepas kelahiran untuk ibu bapa yang mengalami kecelaruan stres pascatrauma yang kompleks dan/ atau dengan pengalaman penganiayaan zaman kanak-kanak

Adakah sokongan-sokongan semasa mengandung atau dalam dua tahun selepas kelahiran menambahbaikan kapasiti keibubapaan atau kesejahteraan ibu bapa yang mengalami gejala berkaitan trauma, atau yang mengalami penganiayaan pada zaman kanak-kanak mereka?

Mesej utama

Kebanyakan bukti sama ada mencadangkan keibubapaan dan intervensi psikologi membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam kesejahteraan psikologi ibu bapa dan kapasiti keibubapaan, atau ia adalah berkualiti rendah supaya keyakinan terhadap keputusan-keputusan adalah sangat tidak pasti.

Intervensi keibubapaan mungkin sedikit menambahbaikan hubungan antara ibu-ibu dengan anak berbanding dengan penjagaan biasa.

Satu intervensi psikologi mungkin boleh membantu sedikit sebanyak bilangan ibu-ibu yang berhenti merokok semasa mengandung berbanding dengan rawatan biasa yang dipertingkatkan. Satu lagi intervensi psikologi yang berpotensi memanfaatkan sedikit hubungan ibu bapa dan satu lagi mungkin sedikit meningkatkan kemahiran keibubapaan.

Intervensi untuk ibu bapa yang mengalami PTSD (kecelaruan stres pascatrauma) yang kompleks atau yang mengalami penganiayaan zaman kanak-kanak

Penganiayaan zaman kanak-kanak boleh membawa kepada CPTSD (kecelaruan stres pascatrauma kompleks) pada zaman dewasa dan masalah dengan perhubungan. Orang yang mengalami penganiayaan zaman kanak-kanak juga berkemungkinan mengalami kesukaran hidup dan ketidaksamaan kesihatan yang lain. Masalah-masalah sedemikian boleh menjejaskan keibubapaan dan membawa kepada trauma “kitaran antara generasi”.

Jenis sokongan untuk ibu bapa yang mengalami penganiayaan zaman kanak-kanak merangkumi terapi psikologi, intervensi keibubapaan, pendekatan minda-badan dan biomedikal, pendekatan terapi farmakologi dan sistem perkhidmatan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sokongan yang mana membantu meningkatkan kapasiti keibubapaan dan kesejahteraan dalam ibu bapa yang pernah mengalami penganiayaan zaman kanak-kanak atau CPTSD.

Apakah yang kami buat?

Kami telah mencari kajian yang melihat sejauh mana intervensi-intervensi ini berfungsi berbanding dengan sokongan perinatal biasa, untuk meningkatkan kemahiran keibubapaan dan kesejahteraan mereka. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 15 kajian yang melibatkan 1925 ibu bapa yang pernah mengalami penganiayaan zaman kanak-kanak dan/ atau pernah mempunyai gejala CPTSD atau PTSD. Kira-kira separuh daripada kajian yang melibatkan orang yang pernah mengalami sederhana-teruk penganiayaan zaman kanak-kanak, sementara yang lain mengalami tahap penganiayaan zaman kanak-kanak yang rendah.

Kebanyakan kajian melihat kepada betapa baik intervensi keibubapaan atau psikologi berfungsi, dan kebanyakannya dibandingkan kepada penjagaan asas perinatal atau pascanatal. Kami mendapati tiada kajian yang melihat kepada pendekatan minda-badan, biomedikal atau farmakologi untuk meningkatkan kapasiti keibubapaan atau kesejahteraan ibu bapa. Kebanyakan kajian melaporkan perubahan dalam kesejahteraan atau hasil keibubapaan selepas intervensi tamat. Intervensi terdiri daripada satu sesi sehingga 12 bulan sesi mingguan. Kesemua kecuali satu kajian dijalankan di Amerika Syarikat, dan kebanyakan orang yang turut serta adalah para ibu. Kebanyakan kajian adalah dibiayai oleh majlis penyelidikan utama, jabatan kerajaan dan organisasi dermawan/ kebajikan.

Keputusan utama

Kami mendapati kebanyakan kajian tidak menggunakan kaedah yang ketat (untuk mengambil kira keciciran) dan justeru keputusannya adalah tidak pasti.

Intervensi keibubapaan

Bukti daripada satu kajian intervensi keibubapaan adalah sangat tidak pasti berbanding kepada kawalan terhadap gejala disebabkan trauma, dan gejala kesejahteraan psikologi (kemurungan pascanatal), di kalangan para ibu yang pernah mengalami penganiayaan zaman kanak-kanak dan pernah mengalami faktor risiko keibubapaan semasa. Dua kajian mendapati intervensi keibubapaan kemungkinan meningkatkan sedikit hubungan antara para ibu dengan anak mereka berbanding dengan penjagaan biasa. Empat kajian mendapati sedikit atau tiada perbezaan antara intervensi keibubapaan dan penjagaan biasa dalam kemahiran keibubapaan. Tiada kajian yang menilai kesan intervensi keibubapaan terhadap penggunaan bahan dalam ibu bapa, kualiti hubungan atau kecederaan diri.

Intervensi psikologi

Empat kajian mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam gelaja berkaitan trauma daripada intervensi psikologi berbanding dengan penjagaan biasa. Lapan kajian mendapati sedikit atau tiada perbezaan antara intervensi psikologi dan penjagaan biasa dalam kesejahteraan psikologi ibu bapa (kemurungan). Satu lagi kajian menunjukkan penambahan intervensi psikologi mungkin membantu sedikit lebih ramai wanita berhenti merokok semasa mengandung berbanding kepada penjagaan pranatal biasa dan kaunseling berhenti merokok. Satu lagi mendapati bahawa intervensi psikologi mungkin dapat membantu sedikit kualiti hubungan ibu bapa. Bukti daripada satu kajian adalah kurang pasti samada intervensi psikologi membuat apa-apa perbezaan kepada hubungan ibu bapa-anak berbanding dengan penjagaan biasa. Satu lagi kajian mendapati bahawa terdapat sedikit peningkatan dalam kemahiran keibubapaan semasa ibu bapa menerima satu intervensi psikologi berbanding dengan penjagaan biasa. Tiada kajian yang melihat kepada kesan intervensi psikologi terhadap kecederaan diri ibu bapa.

Pendekatan sistem perkhidmatan

Satu program pendidikan kewangan untuk ibu bapa yang berpendapatan rendah dan sejarah penganiayaan zaman kanak-kanak meningkatkan sedikit gejala kemurungan berbanding dengan penjagaan biasa. Tiada kajian yang menilai kesan intervensi sistem servis terhadap gejala berkaitan trauma dalam ibu bapa, penggunaan bahan, kualiti perhubungan, kecederaan sendiri, hubungan ibu bapa-anak atau kemahiran keibubapaan.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan keputusan-keputusan daripada pelbagai kajian disebabkan banyak orang yang tercicir semasa kajian, jadi terdapat banyak data yang hilang dan tidak mencukupi kajian yang besar, direka bentuk dengan baik untuk memastikan kejituan keputusannya. Terdapat bukti terhad tentang faedah penting yang sedia ada sehingga kini dalam bidang yang baru muncul ini.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti terkini adalah sehingga Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information