Adakah opioid pilihan terbaik untuk menguruskan sakit dalam kalangan bayi selepas pembedahan?

Mesej utama

• Kami tidak menemui cukup bukti berkualiti baik tentang manfaat dan risiko opioid (sekumpulan ubat melegakan sakit) untuk menguruskan sakit selepas pembedahan dalam kalangan bayi. Kami mendapati hanya empat kajian dan ia tidak mendaftarkan bayi yang cukup untuk memberi keputusan yang boleh percaya.

Kajian lebih besar yang direka dengan baik diperlukan untuk memberi anggaran lebih baik tentang manfaat dan potensi bahaya opioid, ubatan lain dan rawatan bukan berasaskan ubatan.

Mengapa opioid diberi untuk menguruskan sakit selepas pembedahan dalam kalangan bayi?

Bayi (terutamanya dalam empat minggu pertama selepas kelahiran) selalunya perlu menjalani pembedahan. Sama seperti orang dewasa, mereka perlukan pengurusan sakit yang berterusan selepas pembedahan dan opioid biasanya diguna untuk melegakan sakit selepas pembedahan dalam kalangan bayi.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu impak pemberian opioid kepada bayi yang menjalani pembedahan, berbanding:

1) tiada rawatan atau plasebo (satu rawatan 'tiruan' atau palsu yang tidak mengandungi ubat tetapi kelihatan atau rasa seperti ubat yang diuji);

2) rawatan bukan berasaskan ubat (seperti larutan manis);

3) ubat lain; atau

4) pelbagai jenis opioid.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan opioid dengan empat rawatan yang diterangkan di atas. Kami membanding dan merumuskan keputusan dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami sertakan empat kajian melibatkan 331 bayi. Kajian terbesar melibatkan 171 bayi dan kajian terkecil melibatkan 15 bayi.

• Dua kajian membandingkan opioid dengan plasebo: tidak jelas jika opioid mempunyai kesan ke atas mortaliti; tiada kajian melaporkan sakit, perkembangan jangka panjang, masalah penglihatan (retinopati pramatang) atau perdarahan otak (pedarahan intraventrikular).

• Satu kajian membandingkan satu jenis opioid kepada jenis opioid yang lain: tidak jelas jika fentanyl mempunyai kesan ke atas mortaliti berbanding tramadol; tiada kajian melaporkan sakit, perkembangan jangka panjang, masalah penglihatan atau perdarahan otak.

• Satu kajian membandingkan opioid dengan jenis ubat melegakan sakit yang berbeza: tidak jelas sama ada morfin opioid mempunyai kesan ke atas sakit berbanding paracetamol; tiada kajian melaporkan perkembangan jangka panjang, mortaliti, masalah penglihatan atau pendarahan otak.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana tiada cukup kajian untuk memastikan keputusan hasil-hasil kami. Mungkin juga orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima. Bukan semua kajian menyediakan data tentang semua yang kami minati.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian sedia ada sehingga Mei 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information