Ujian molekul pantas untuk tuberkulosis dan rintangan ubat tuberkulosis: pandangan dan pengalaman orang yang diuji dan petugas kesihatan

Apakah matlamat utama ulasan ini?

Kami bermatlamat untuk memahami pengalaman dan pendapat orang yang menggunakan ujian automatik pantas yang mengenalpasti tuberkulosis dan rintangan terhadap ubat tuberkulosis (ujian diagnostik molekul). Pengguna adalah termasuk orang yang mungkin menghidapi tuberkulosis dan keluarga atau penjaga mereka, doktor, jururawat, kakitangan makmal dan pengurus perkhidmatan atau program.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Ujian diagnostik molekul pantas direka untuk memberi diagnosis dengan lebih mudah dan cepat bagi mereka yang mempunyai tanda dan gejala tuberkulosis, kerana mereka tidak memerlukan makmal yang serba lengkap, tetapi boleh dilakukan di klinik yang berdekatan dengan tempat tinggal. Memandangkan ujian ini juga boleh mencadangkan sama ada seseorang individu menghidapi tuberkulosis dengan rintangan ubat (termasuk tuberkulosis dengan rintangan multidrug (MDR-TB)), rawatan yang betul boleh dimulakan lebih awal. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan dan mendapati 32 kajian dijalankan di kawasan di mana tuberkulosis adalah perkara biasa di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

MDR-TB ialah tuberkulosis yang disebabkan oleh rintangan terhadap sekurang-kurangnya rifampicin dan isoniazid, dua ubat barisan pertama paling berkesan yang digunakan untuk merawat tuberkulosis.

Sintesis bukti kualitatif ini terpaut kepada Ulasan Cochrane yang lain yang meneliti ketepatan diagnostik ujian molekul pantas untuk rintangan ubat tuberkulosis. Namun, ujian diagnostik hanya memberikan impak terhadap kesihatan jika ia digunakan dengan cara yang betul dan tepat pada masanya. Kajian ketepatan tidak mendedahkan apa yang pengguna fikirkan atau cara mereka mengalami ujian dalam bentuk soalan. Kita perlu memahami perspektif dan pengalaman semua pengguna. Jika tidak, kami mengambil risiko ujian tersebut tidak sesuai dengan tetapan di mana ia akan digunakan atau tidak boleh diakses oleh mereka yang memerlukan.

Apakah penemuan utama?

Orang yang mempunyai tuberkulosis menghargai nilai mengetahui apa yang tidak betul dengan mereka. Orang ramai menghargai mendapatkan diagnosis yang tepat, mengelakkan kelewatan dalam mendapat diagnosis, mempunyai kemudahan ujian yang boleh diakses dan pengekalan kos yang rendah. Begitu juga, petugas kesihatan menghargai ujian yang tepat yang memberikan mereka keyakinan dalam diagnosis, keputusan pantas dan mengekalkan kos yang rendah, dapat menggunakan spesimen yang berbeza (seperti kahak dan najis) dan menerima maklumat tentang rintangan ubat sebagai sebahagian daripada keputusan ujian. Kakitangan makmal menghargai yang kerja makmal menjadi lebih mudah dan kakitangan lebih berpuas hati hasil dari ujian diagnostik molekul yang cepat.

Ulasan kami juga mengenalpasti beberapa cabaran untuk merealisasikan nilai-nilai ini. Sesetengah orang yang menghidapi tuberkulosis dan beberapa petugas kesihatan enggan menggunakan ujian diagnostik molekul pantas kerana bimbang ujian mereka positif, kebimbangan terhadap stigma atau penghinaan dalam komuniti, atau perbelanjaan yang berkaitan dengan ujian. Sokongan tambahan diperlukan untuk mengatasi halangan-halangan ini yang biasa berlaku kepada pendekatan lain untuk ujian tuberkulosis. Cabaran lain yang membawa kepada kelewatan dan penggunaan ujian diagnostik molekul pantas yang kurang ialah ketidakcekapan sistem kesihatan; kualiti spesimen yang kurang baik; kesukaran menggerakkan spesimen; kekurangan sumber yang mencukupi seperti kakitangan atau peralatan; peningkatan beban kerja kepada petugas kesihatan; ketidakcekapan dalam mengintegrasikan ujian ke dalam rutin di klinik; langkah-langkah rumit atau panjang yang terlibat dalam mendapatkan diagnosis tuberkulosis; doktor yang terlalu bergantung pada keputusan ujian sambil mengabaikan pengalaman mereka sendiri dengan mendiagnosis tuberkulosis; dan proses melaksanakan ujian dalam program nasional yang mempunyai kekurangan data tentang situasi kehidupan sebenar dan tidak termasuk semua pihak berkepentingan yang berkaitan seperti pembuat keputusan tempatan, petugas kesihatan atau orang yang mencari diagnosis.

Akhir sekali, orang ramai menyatakan kebimbangan tentang pembiayaan yang tidak mampan, keperluan penyelenggaraan ujian, kelewatan yang panjang dalam diagnosis, penggunaan ujian diagnostik molekul cepat yang kurang, kekurangan kemudahan diagnostik tuberkulosis dalam komuniti tempatan, konflik kepentingan antara penderma dan orang yang menggunakan ujian, dan juga banyak sekatan terhadap siapa yang dibenarkan untuk mengakses ujian. Kebimbangan ini menghalang akses kepada ujian dan rawatan yang cepat dan tepat. Ini terutamanya berlaku untuk orang yang terdedah, seperti kanak-kanak, orang yang mempunyai MDR-TB, atau mereka yang mempunyai keupayaan terhad untuk membayar.

Secara keseluruhan, cabaran ini berisiko membatalkan nilai tambah ujian diagnostik molekul pantas. Cabaran-cabaran ini berisiko membawa kepada penggunaan ujian ini yang kurang kerap. Pelaksanaan ujian diagnostik baharu, seperti yang dipertimbangkan dalam ulasan ini, perlu menangani cabaran yang dikenalpasti dalam ulasan ini termasuk infrastruktur dan sistem yang lemah, serta data yang tidak mencukupi tentang situasi kehidupan sebenar sebelum dan semasa pelaksanaan untuk memastikan ujian itu boleh diakses oleh mereka yang memerlukan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami menyertakan kajian yang diterbitkan antara 1 Januari 2007 dan 20 Oktober 2021. Kami mengehadkan semua carian kepada tahun 2007 dan seterusnya kerana pembangunan Xpert MTB/RIF, ujian diagnostik molekul pantas pertama dalam ulasan ini, telah siap pada tahun 2009.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information