Mesej utama
• Kami menemui 14 alatan yang digunakan pada orang pertengahan umur untuk meramal demensia masa depan.
• Tujuh kajian telah menguji satu alat ramalan bernama Faktor Risiko Kardiovaskular, Penuaan, dan Demensia (CAIDE).
• Faedah menggunakan alatan ini untuk meramal demesia di kemudian hari dalam hidup adalah tidak jelas, disebabkan kajian tersebut memberikan sedikit bukti berkualiti tinggi.
Apa itu demensia?
Demensia merujuk kepada sekumpulan keadaan otak yang biasanya memberikan kesan kepada orang tua dan membawa kepada masalah berlanjutan pada ingatan, penyelesaian masalah, atau melakukan aktiviti harian. Orang yang mempunyai keadaan kesihatan atau tingkah laku tertentu dalam pertengahan umur – seperti tekanan darah tinggi, pengambilan alkohol secara berlebihan, merokok, kemurungan, kurang bersenam, atau diet yang kurang baik – akan mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapat demensia di kemudian hari. Kami mengelaskan kesemua keadaan kesihatan atau tingkah laku sebagai ‘faktor risiko yang boleh diubah’ untuk demensia, kerana langkah seperti perubahan gaya hidup yang boleh mengurangkannya.
Apakah alatan ramalan?
Untuk menghasilkan alatan ramalan, penyelidik memerhatikan sekumpulan orang selama beberapa tahun untuk melihat berapa ramai yang mempunyai faktor risiko sedemikian akan mengalami demensia. Alatan memberikan skor yang lebih tinggi terhadap orang yang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat demensia di kemudian hari, berdasarkan kewujudan atau ketiadaan faktor risiko pada pertengahan umur.
Mengapa kami menggunakan alatan yang menilai faktor risiko untuk meramal demensia masa depan?
Kini, kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia mengalami demensia, dan tanpa langkah-langkah pencegahan yang mencukupi, bilangan itu dijangka akan meningkat tiga kali ganda menjelang 2050. Jika kita mengawal faktor risiko pada pertengahan umur, kita mungkin mengelak atau menangguhkan perkembangan demensia pada masa depan atau mengurangkan keterukan demensia. Alatan pencegahan membantu memilih orang yang paling sesuai untuk program mengubah gaya hidup yang bertujuan untuk mengawal faktor risiko.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui apa alatan sedia ada untuk orang dewasa pertengahan umur (umur 45 hingga 65 tahun), dan sejauh mana ianya meramalkan demensia pada kemudian hari (sekurang-kurangnya lima tahun selepas penilaian awal). Kami telah mencari alatan yang merangkumi faktor risiko yang diterima secara meluas untuk dikaitkan dengan permulaan demensia.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menilai alatan yang digunakan pada orang dewasa pertengahan umur untuk mengenalpasti mereka yang berisiko tinggi mengalami demensia pada kemudian hari. Kami telah menyiasat sejauh mana alatan ini meramalkan demensia masa depan berdasarkan nilai ketepatan. Sekiranya nilai ketepatan ini melebihi standard yang disyorkan iaitu 0.75, kami boleh mengatakan bahawa alat ini tepat untuk meramalkan demensia masa depan. Ini adalah penting untuk menetapkan alat yang dihasilkan dalam sekumpulan orang (dalam kajian penghasilan asal) yang boleh meramalkan demensia secara tepat dalam kumpulan orang yang lain (dalam kajian pengesahan); barulah ianya boleh digunakan dalam rutin amalan penjagaan kesihatan. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui 20 kajian yang menghuraikan 14 jenis alatan untuk meramalkan demensia. Alatan ini memasukkan antara dua hingga 11 faktor risiko yang boleh diubah untuk demensia. Tujuh daripada alatan yang dipaparkan dalam dua atau lebih kajian dan dianggap disahkan. Tujuh kajian menggunakan alat bernama Faktor Risiko Kardiovaskular, Penuaan, dan Demensia (CAIDE). Alat CAIDE memasukkan ukuran semasa tekanan darah seseorang, berat dan tinggi, paras kolesterol, dan kekerapan bersenam untuk meramalkan demensia masa depan. Nilai ketepatan yang digabungkan merentasi kajian adalah 0.71, tidak cukup tinggi untuk kami menganggap CAIDE sebagai alat yang boleh dipercayai untuk meramalkan demensia masa depan.
Apakah batasan bukti?
Separuh (tujuh) daripada alatan digunakan dalam satu kajian, maka kami tidak dapat mengukur seberapa baik ianya meramalkan demensia masa depan. Kebanyakan kajian memberikan sangat sedikit maklumat untuk kami menilai nilai ketepatan.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2022.
Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my