Intervensi perbendaharaan kata untuk pelajar bahasa kedua (L2) sehingga umur enam tahun

Mesej-mesej utama

– Kajian yang disertakan dalam ulasan ini mencadangkan bahawa intervensi perbendaharaan kata untuk pelajar L2 mungkin memberi manfaat kepada pembelajaran perbendaharaan kata L2 kanak-kanak tetapi hanya mempunyai kesan sedikit atau tiada kesan ke atas kemahiran pemahaman mendengar mereka, walaupun buktinya adalah sangat tidak pasti. Intervensi perbendaharaan kata mungkin meningkatkan kemahiran bercerita mereka.

– Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang mengikuti pelajar L2 dalam masa yang lebih lama untuk menyiasat kesan jangka panjang adalah diperlukan Pelajar di luar Amerika Syarikat patut disertakan dalam penyelidikan tersebut.

Mengapa ulasan ini penting?

Kebolehan bahasa kedua ( L2) yang terhad mungkin memberi kesan negatif terhadap pencapaian akademik kerana pengetahuan perbendaharaan kata dalam bahasa pengantar adalah penting kepada pemahaman bacaan, pembelajaran bilik darjah dan inklusi. Untuk orang dewasa, kecekapan dalam bahasa komuniti (serta kecekapan berterusan dalam bahasa pertama ( L1) adalah ramalan pekerjaan, hubungan baik, dan penyertaan masyarakat.

Apakah matlamat ulasan ini?

Objektif utama adalah untuk mengkaji kesan segera dan jangka panjang intervensi perbendaharaan kata yang menyasarkan pelajar L2 sehingga enam tahun ke atas perbendaharaan kata dan kesejahteraan sosial-emosi (keupayaan untuk memahami dan mengurus emosi, membuat keputusan yang bertanggungjawab, membina dan mengekalkan perhubungan , dan memahami dan berempati dengan orang lain). Objektif sekunder adalah untuk mengkaji perkaitan antara intervensi perbendaharaan kata L2 dan ciri-ciri umum pelajar L2 (contohnya umur, pendedahan L2 dan kemahiran L1).

Apakah yang dikaji oleh ulasan ini?

Kami memasukkan kajian rawak terkawal (randomised controlled trials, RCTs). RCT ialah kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak (contohnya, dengan lambungan syiling) kepada dua atau lebih kumpulan rawatan. Ini adalah cara terbaik untuk memastikan yang kumpulan peserta adalah serupa, dan penyelidik dan peserta tidak tahu siapa yang berada dalam kumpulan mana. Kumpulan perbandingan terdiri daripada kanak-kanak yang menerima penjagaan standard. Tiada sekatan sama ada pada jenis L1 atau L2 atau lokasi geografi peserta.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini berdasarkan 12 kajian dan 1943 peserta. Tujuh kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat, dan kajian selebihnya dijalankan di Kanada, China, Belanda, dan Norway. Terdapat variasi dalam bahasa yang dituturkan oleh pelajar L2.

Intervensi yang paling biasa digunakan untuk mengajar kanak-kanak L2 perbendaharaan kata ialah berkongsi membaca buku dengan senarai kata sasaran yang telah ditetapkan. Aktiviti bahasa tambahan termasuk menggunakan perkataan ini dalam konteks yang berbeza, dalam ayat, dan memetakan struktur bunyi perkataan baharu. Kadangkala intervensi memasukkan item perbendaharaan kata yang sama dalam L1 kanak-kanak.

Kajian membandingkan intervensi dengan penjagaan standard. Penjagaan standard yang diperlukan berbeza, bergantung pada tetapan dan keadaan setempat di setiap negara atau (pra)sekolah.

Ulasan menunjukkan bahawa, berbanding penjagaan standard, tidak jelas sama ada memberi pelajar L2 intervensi perbendaharaan kata mempunyai sebarang kesan ke atas penggunaan perkataan L2 yang diajar dalam intervensi itu, disebabkan keyakinan kami yang terhad terhadap hasilnya. Intervensi perbendaharaan kata mungkin sedikit meningkatkan pemahaman kanak-kanak tentang perkataan L2 yang tidak diajar dalam intervensi, tetapi mungkin tidak banyak memberi perbezaan kepada keupayaan mereka untuk menyatakan perkataan L2 yang tidak diajar dalam intervensi.

Ia nampaknya mempunyai sedikit atau tiada kesan pada pemahaman mendengar L2 mereka, tetapi mungkin meningkatkan sedikit kemahiran bercerita mereka.

Keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah hingga sederhana, terutamanya kerana tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan hasil keputusan kami.

Kami tidak dapat memeriksa potensi kesan buruk (tidak diingini) kerana kajian tidak melaporkannya. Kami juga tidak dapat membuat kesimpulan tentang kesejahteraan sosial-emosi, atau objektif kedua kami, kerana kekurangan data.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information