Mesej utama
- Apabila ditambah kepada satu atau lebih ubat anti-sawan, cenobamate mungkin lebih baik daripada plasebo (rawatan perubatan palsu) dalam mengurangkan kekerapan sawan epilepsi sekurang-kurangnya 50% dan dalam mencapai kebebasan sawan pada orang dewasa dengan epilepsi tertumpu yang tidak bertindak balas terhadap ubat anti-sawan jangka panjang.
- Penggunaan cenobamate mungkin mendatangkan lebih banyak kesan tidak diingini daripada plasebo.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Epilepsi merupakan suatu penyakit otak di mana terjadinya sawan epilepsi berulang. Dengan ubat anti-sawan sedia ada, kira-kira 7 daripada 10 orang dengan epilepsi dapat mengawal sawan mereka. Walau bagaimanapun, 3 daripada 10 orang dengan epilepsi tidak bertindak balas terhadap ubat dan akan terus mengalami sawan. Cenobamate merupakan ubat baru yang dibangunkan untuk merawat orang dengan epilepsi yang tidak bertindak balas terhadap ubat anti-sawan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada cenobamate berkesan dalam mengurangkan risiko sawan epilepsi apabila ditambah kepada ubat anti-sawan yang lain pada orang dengan epilepsi tertumpu rintang ubat (sejenis epilepsi di mana gejala utama adalah sawan berulang yang menjejaskan satu sisi otak) yang terus mengalami sawan walaupun mengambil ubat anti-sawan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang melihat pada kesan cenobamate sebagai ubat tambahan berbanding plasebo atau ubat anti-sawan yang lain.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui dua kajian (659 orang, berusia 18 hingga 70 tahun) membandingkan cenobamate tambahan berbanding plasebo dalam kalangan orang dewasa dengan epilepsi tertumpu yang tidak terkawal.
Kekerapan sawan berkurangan jika cenobamate ditambahkan kepada rawatan biasa. Orang yang dirawat dengan 100 mg hingga 400 mg/hari cenobamate cenderung mengalami sekurang-kurangnya 50% pengurangan dalam kekerapan sawan mereka dan lebih cenderung untuk mencapai bebas sawan. Walau bagaimanapun, penambahan cenobamate dengan rawatan biasa dapat meningkatkan risiko kesan tidak diingini (terutamanya dengan dos 200 mg/hari atau 400 mg/hari, berbanding dengan cenobamate 100 mg/hari).
Apakah batasan bukti?
Kami hanya sederhana yakin dengan bukti kerana bukti hanya datang dari dua kajian yang dibiayai oleh syarikat ubat yang menghasilkan cenobamate.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga September 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).