Mesej utama
Antibiotik mungkin tidak mengurangkan kemungkinan mendapat jangkitan leptospirosis dan mungkin menyebabkan kejadian buruk yang tidak serius. Bukti yang ada sangat terhad, oleh itu penemuan kami mungkin berubah jika terdapat lebih banyak kajian berkualiti diterbitkan.
Apakah itu leptospirosis?
Leptospirosis adalah zoonotik (iaitu jangkitan yang disebarkan secara semula jadi dari haiwan yang mempunyai tulang belakang kepada manusia atau dari manusia ke haiwan yang mempunyai tulang belakang) dan penyakit bawaan air yang berlaku di seluruh dunia. Manusia dijangkiti apabila mereka bersentuhan dengan air, tanah, atau makanan yang tercemar dengan air kencing haiwan yang dijangkiti. Kebanyakan orang yang dijangkiti mengalami gejala demam selesema yang ringan dan terbatas, dan tidak mendapatkan rawatan perubatan. Sesetengah orang yang dijangkiti leptospirosis mengalami penyakit yang serius, di mana ia boleh mengakibatkan pelbagai organ berhenti berfungsi dengan baik dan kematian.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sekiranya antibiotik boleh dijadikan sebagai profilaksis yang berkesan untuk leptospirosis (iaitu mencegah leptospirosis) dan jika ia mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini?
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang menilai penggunaan antibiotik sebagai profilaksis leptospirosis. Kajian-kajian tersebut membandingkan antibiotik dengan plasebo (rawatan palsu) atau tanpa rawatan, dan antibiotik berbanding dengan antibiotik lain, atau dos serta jadual lain untuk antibiotik yang sama.
Apa yang telah kami temui?
Kami menjumpai lima kajian dengan 2593 peserta, yang dijalankan di Brazil, Sri Lanka, India, Panama, dan Iran. Peserta kebanyakannya tinggal di kawasan ini.
Keputusan utama
Tiga kajian membandingkan doxycycline dengan sama ada plasebo atau tanpa rawatan. Satu kajian membandingkan doxycycline dengan azithromycin dan dengan plasebo. Hanya satu kajian membandingkan penisilin dengan plasebo.
Antibiotik mungkin tidak mengurangkan kemungkinan mendapat jangkitan leptospirosis dan mungkin menyebabkan beberapa kesan sampingan yang tidak serius (contohnya, cirit-birit (najis cair), loya (mual atau berasa hendak muntah), dan muntah), terutamanya jika doxycycline digunakan.
Tiada kajian yang melaporkan kesan sampingan yang serius atau menilai kualiti hidup.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang rendah atau sangat rendah terhadap keputusan. Ini berdasarkan beberapa kajian yang mempunyai julat keputusan yang besar, masalah dengan cara kajian memilih peserta, bilangan peserta yang kecil, jumlah maklumat hilang yang tinggi, dan perbezaan besar antara kumpulan peserta.
Pembiayaan
Empat kajian menyertakan pernyataan yang memaklumkan sumber pembiayaan/sokongan mereka, dan satu kajian tidak menyertakannya. Tiga daripada empat kajian yang memaklumkan sumber sokongan mereka menerima bekalan ubat kajian secara langsung daripada syarikat farmaseutikal yang sama, dan kajian yang selebihnya menerima bantuan kewangan daripada sumber kerajaan.
Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan Cochrane yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 17 April 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).