Soalan ulasan
Apakah ubat yang boleh digunakan dengan berkesan dan selamat untuk merawat sawan pada bayi baru lahir?
Berapa lamakah ubat untuk sawan perlu diteruskan sebaik sahaja dimulakan?
Patutkah kita merawat sawan yang hanya dilihat melalui EEG?
Catatan:
EEG adalah ujian untuk menganalisis aktiviti elektrik dalam otak. Ia juga mengenal pasti aktiviti sawan.
Phenobarbital dan levetiracetam adalah ubat anti-sawan yang digunakan pada bayi baru lahir.
'Rawatan pengawalan' merujuk kepada penerusan ubat anti-sawan pada dos yang lebih kecil, sebaik sahaja sawan dihentikan dengan dos ubat yang lebih besar.
Mesej utama
Phenobarbital mungkin lebih berkesan daripada levetiracetam dalam mengawal sawan pada bayi baru lahir. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang kesan phenobarbital berbanding levetiracetam terhadap hasil lain.
Rawatan pengawalan dengan ubat anti-sawan semasa di hospital dan merawat sawan yang hanya dikenal pasti melalui EEG mungkin atau mungkin tidak menghasilkan hasil yang lebih baik pada bayi baru lahir.
Latar belakang
Bayi yang baru lahir lebih cenderung untuk mengalami sawan jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa. Kerosakan otak yang disebabkan oleh sawan pada bayi baru lahir dikaitkan dengan cerebral palsy, ketidakupayaan intelek, masalah pembelajaran dan kecenderungan untuk mendapat epilepsi pada masa hadapan. Terdapat hanya beberapa pilihan ubat-ubatan untuk merawat sawan pada bayi baru lahir, dan kita tidak tahu ubat manakah yang ideal untuk digunakan pertama, kedua atau ketiga. Begitu juga, sama ada untuk merawat sawan yang hanya dilihat melalui EEG dan berapa lama masa untuk meneruskan ubat anti-sawan juga adalah tidak jelas.
Apakah yang ingin kami temui?
Kami mencari bukti daripada kajian yang menilai satu ubat berbanding ubat lain untuk merawat sawan pada bayi baru lahir, kajian yang menilai sama ada dos pengawalan ubat anti-sawan harus diteruskan atau tidak, dan kajian yang menilai sama ada untuk merawat sawan yang hanya dikenal pasti melalui EEG.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menilai kesan ubat terhadap rawatan sawan pada bayi baru lahir. Kami membuat perbandingan dan rumusan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti-buktinya, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami telah mengenal pasti 18 kajian (menyertakan 1342 bayi baru lahir).
Phenobarbital mungkin lebih berkesan daripada levetiracetam dalam mengawal sawan pada bayi baru lahir. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang kesan phenobarbital untuk hasil lain seperti kematian sebelum discaj, keperluan untuk ventilasi invasif, rasa mengantuk dan epilepsi selepas discaj.
Terapi pengawalan dengan ubat anti-sawan semasa tinggal di hospital berbanding tanpa terapi pengawalan mungkin atau mungkin tidak menyebabkan hasil yang lebih baik untuk bayi baru lahir. Begitu juga, merawat sawan yang hanya dikenal pasti melalui EEG mungkin atau mungkin tidak menyebabkan hasil yang lebih baik.
Apakah batasan bukti?
Kami sederhana yakin bahawa phenobarbital adalah lebih baik daripada levetiracetam dalam mencapai pengawalan sawan. Keyakinan untuk anggaran semua perbandingan dan hasil lain adalah rendah hingga sangat rendah. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menghasilkan bukti kukuh mengenai ubat-ubatan untuk merawat sawan pada bayi baru lahir.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2023.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Nurfarah Nazira Mazeri (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).