Adakah ubat-ubatan yang melambatkan permulaan kelahiran (tokolitik) berkesan untuk melambatkan kelahiran pramatang?

Mesej utama

• Semua agen tokolitik (ubat yang melambatkan kelahiran) yang kami nilai (betamimetik, penyekat saluran kalsium, magnesium sulfat, antagonis reseptor oksitosin, penderma nitrik oksida) dan kombinasinya barangkali atau mungkin berkesan dalam melambatkan kelahiran pramatang selama 48 jam dan selama 7 hari berbanding dengan plasebo (rawatan palsu) atau tanpa rawatan agen tokolitik,

• Tokolitik menyebabkan pelbagai kesan yang tidak diingini (dari kecil hingga berpotensi teruk) berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan tokolitik. Wanita yang mengambil betamimetik dan gabungan tokolitik lebih berkemungkinan berhenti mengambilnya akibat kesan yang tidak diingini.

• Kesan tokolitik terhadap kematian bayi sebelum dan selepas kelahiran, dan pada jangkitan dalam ibu dan bayi adalah tidak pasti.

Apakah isunya?

Kelahiran pramatang adalah sebab paling biasa mengapa bayi baru lahir meninggal dunia, dan merupakan punca utama kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Kelahiran pramatang ditakrifkan sebagai kelahiran bayi sebelum genap 37 minggu kehamilan. Lebih awal bayi dilahirkan, lebih buruk hasilnya. Bayi pramatang bukan sahaja meningkatan risiko kematian, tetapi juga penyakit yang serius. Mereka lebih berkemungkinan menghadapi komplikasi pernafasan, kesukaran makan dan kawalan suhu badan. Komplikasi jangka panjang termasuk ketidakupayaan yang berkaitan dengan fungsi otak, dan komplikasi paru-paru dan usus.

Mengapakah ini penting?

Tokolitik bertujuan untuk melambatkan kelahiran pramatang dan memberi masa kepada wanita untuk menerima ubat-ubatan yang boleh membantu pernafasan dan pemakanan bayi jika dilahirkan pramatang, dan ubat-ubatan yang mengurangkan kemungkinan bayi mengalami cerebral palsi. Yang penting, kelewatan singkat dalam kelahiran pramatang membolehkan wanita mendapatkan rawatan pakar. Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui tokolitik mana yang paling berkesan dalam melambatkan kelahiran pramatang, dan mempunyai kesan tidak diingini yang paling sedikit. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian untuk menjawab soalan ini (tarikh carian: 21 April 2021)

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami mencari bukti dan mengenal pasti 122 kajian dengan 13,697 wanita yang melibatkan enam kelas tokolitik (betamimetik, perencat COX, penyekat saluran kalsium, magnesium sulfat, antagonis reseptor oksitosin, dan penderma nitrik oksida), gabungan agen tokolitik, dan plasebo atau tanpa rawatan tokolitik. Daripada 122 kajian, kami menilai 25 (20%) untuk memberikan bukti yang paling boleh dipercayai. Secara keseluruhan, bukti berbeza secara meluas dalam kualiti, dan keyakinan kami terhadap keputusan kami adalah dari sangat rendah hingga tinggi. Kami membandingkan tokolitik yang berbeza antara satu sama lain serta terhadap plasebo atau tanpa rawatan.

Kelewatan kelahiran selama 48 jam dan 7 hari
• Betamimetik mungkin berkesan dalam melambatkan kelahiran pramatang sebanyak 48 jam (9853 wanita), dan 7 hari (7143 wanita).
• Penyekat saluran kalsium mungkin berkesan dalam melambatkan kelahiran pramatang selama 48 jam, dan barangkali berkesan untuk melambatkan kelahiran pramatang cukup bulan sebanyak 7 hari.
• Magnesium sulfat mungkin berkesan dalam melambatkan kelahiran pramatang selama 48 jam.
• Antagonis reseptor oksitosin berkesan dalam melambatkan kelahiran pramatang selama 7 hari, mungkin berkesan dalam melambatkan kelahiran selama 48 jam dan mungkin mengakibatkan pemanjangan kehamilan dalam purata 10 hari (5093 wanita).
• Penderma nitrik oksida mungkin berkesan dalam melambatkan kelahiran pramatang selama 48 jam, dan 7 hari.
• Perencat COX mungkin berkesan dalam melambatkan kelahiran pramatang selama 48 jam.
• Gabungan tokolitik - paling biasa magnesium sulfat digabungkan dengan betamimetik - mungkin berkesan dalam melambatkan kelahiran pramatang selama 48 jam, dan 7 hari.
• Tokolitik yang paling berkesan melambatkan kelahiran pramatang selama 48 jam, dan 7 hari adalah penderma nitrik oksida, penyekat saluran kalsium, antagonis reseptor oksitosin dan gabungan tokolitik.

Kesan tidak diingini yang serius dan rawatan yang berakhir akibat kesan yang tidak diingini
• Tokolitik dikaitkan dengan pelbagai kesan tidak diingini yang serius (6983 wanita) berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan.
• Betamimetik dan gabungan tokolitik menyebabkan paling banyak kesan yang tidak diingini yang mangakibatkan kebanyakan wanita menghentikan rawatan.
• Tokolitik dikaitkan dengan pelbagai kesan rawatan berbanding plasebo atau tiada rawatan tokolitik untuk kematian neonatal pada 28 hari (8395 bayi) dan jangkitan ibu (1399 wanita); jadi kesannya adalah tidak pasti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information