Apakah faedah dan risiko pembedahan Roux-en-Y tanpa potongan selepas membuang bahagian bawah perut dalam rawatan kanser gastrik?

Mesej utama

‐ Membandingkan rekonstrucksi Roux‐en‐Y tanpa potongan dengan pembinaan semula Billroth II, kedua-dua rawatan mungkin serupa dari segi komplikasi selepas pembedahan utama, kejadian kebocoran anastomosis, dan perubahan dalam berat badan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang kebanyakan keputusan ini. Rekonstruksi Roux‐en‐Y tanpa potongan boleh mengurangkan kejadian refluks hempedu, tetapi boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan kepada kejadian sisa gastritis.

‐ Membandingkan rekonstruksi Roux‐en-Y tanpa potongan dengan rekonstruksi Roux-en-Y, rekonstruksi Roux-en-Y tanpa potongan boleh menyebabkan sedikit atau tiada kesan ke atas komplikasi selepas pembedahan utama dan kejadian kebocoran anastomosis. Ia boleh meningkatkan kejadian refluks hempedu, tetapi boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kejadian sisa gastritis dan esofagitis. Kami sangat tidak pasti tentang keputusan di atas.

Apakah kanser gastrik, dan bagaimana ia boleh dirawat?

Kanser gastrik, juga dikenali sebagai kanser perut, kedudukannya adalah antara jenis kanser yang paling kerap di seluruh dunia. Apabila kanser ini ditemui di bahagian bawah perut, rawatan standard adalah mengeluarkan bahagian perut tersebut. Pembedahan ini dikenali sebagai gastrektomi distal. Selepas mengeluarkan sebahagian daripada perut, pakar bedah perlu melakukan pembedahan lain untuk menyambungkan bahagian perut yang tersisa ke usus kecil, bagi memastikan sistem pencernaan boleh berfungsi.

Pembedahan penyambungan semula ini adalah penting untuk pemulihan pesakit dan kesihatan jangka panjang pesakit. Satu kaedah khusus, dipanggil teknik Roux-en-Y tanpa potongan, direka untuk mengurangkan komplikasi selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, terdapat perdebatan berterusan di kalangan profesional perubatan tentang sama ada kaedah ini menawarkan lebih banyak faedah dan lebih selamat dibandingkan teknik pembedahan yang lain .

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada rekonstuktif Roux-en-Y tanpa potongan selepas gastrektomi distal untuk kanser perut adalah lebih baik daripada kaedah rekonstruktif yang lain dalam meningkatkan:

‐ kualiti hidup berkaitan kesihatan, diukur sekurang-kurangnya enam bulan selepas pembedahan

‐ komplikasi besar selepas pembedahan ialah dalam tempoh 30 hari selepas pembedahan

‐ Insiden kebocoran anastomosis (keadaan di mana tempat di mana pakar bedah menyambungkan atau menghubungkan semula bahagian-bahagian yang berbeza daripada sistem pencernaan individu, yang dipanggil anastomosis, mula bocor) dalam masa 30 hari selepas pembedahan

‐ Perubahan berat badan daripada berat awal, diukur sekurang-kurangnya enam bulan selepas pembedahan

‐ Kejadian refluks hempedu, keradangan pada baki bahagian perut, atau keradangan esofagus, diukur sekurang-kurangnya enam bulan selepas pembedahan

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan rekonstruktif Roux-en-Y tanpa potongan dengan jenis rekonstruktif yang lain (Billroth I, Billroth II dan Roux-en-Y biasa ) selepas gastrektomi distal untuk kanser perut. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 10 kajian yang melibatkan 1365 orang, dijalankan di China dan Korea Selatan. Daripada jumlah ini, lapan kajian, melibatkan 1167 peserta, menyumbang data kepada analisis kami.

Dalam perbandingan kami antara rekonstruktif Roux-en-Y tanpa potongan dan Billroth II, rekonstruktif Roux-en-Y tanpa potongan boleh memberi sedikit perbezaan atau tidak kepada komplikasi selepas pembedahan utama, kejadian kebocoran anastomosis, dan kejadian sisa gastritis, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan kepada perubahan berat badan, tetapi mungkin mengurangkan kejadian refluks hempedu.

Dalam perbandingan kami antara rekonstruktif Roux-en-Y tanpa potongan dan Roux-en-Y, rekonstruktif Roux-en-Y tanpa potongan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas komplikasi selepas pembedahan utama dan kejadian kebocoran anastomosis. Ia boleh meningkatkan kejadian refluks hempedu, tetapi boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kejadian sisa gastritis dan esofagitis. Kami sangat tidak pasti tentang keputusan di atas.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti kerana kajian adalah kecil dan keputusan adalah berbeza-beza. Selain itu, sangat sedikit kajian melaporkan hasil utama kami. Ada kemungkinan bahawa penyelidikan masa depan boleh mengubah pemahaman kita mengenai topik ini. Kajian yang lebih komprehensif diperlukan untuk memberikan jawapan yang lebih jelas dan boleh dipercayai.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga November 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Di sunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information