Ivermectin untuk mencegah dan merawat COVID-19

Adakah ivermectin berkesan untuk COVID-19?

Mesej utama

Kami tidak menemui bukti untuk menyokong penggunaan ivermectin untuk merawat COVID-19 atau mencegah jangkitan SARS-CoV-2. Pangkalan bukti bertambah baik sedikit dalam kemas kini ini, tetapi masih terhad.

Penilaian terhadap penggunaan ivermectin adalah berterusan dalam 31 kajian yang sedang dijalankan dan kami akan mengemas kini ulasan ini sekali lagi apabila keputusannya tersedia.

Apa itu ivermectin?

Ivermectin adalah ubat yang digunakan untuk merawat parasit, seperti parasit usus pada haiwan, dan kudis buta pada manusia. Ia tidak mahal dan digunakan secara meluas di kawasan-kawasan di dunia yang sering terjadi serangan parasit. Ia mempunyai sedikit kesan yang tidak diingini.

Pengawal selia perubatan belum meluluskan ivermectin untuk COVID-19.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengemas kini pengetahuan sama ada ivermectin dapat mengurangkan kematian, penyakit, dan tempoh jangkitan COVID-19 dalam manusia, atau ia berguna dalam pencegahan jangkitan ini. Kami memasukkan kajian yang membandingkan ubat dengan plasebo (rawatan dummy), penjagaan biasa, atau rawatan untuk COVID-19 yang diketahui berfungsi hingga tahap tertentu, seperti dexamethasone. Kami mengecualikan kajian membandingkan ivermectin dengan ubat lain yang tidak berkesan, seperti hydroxychloroquine, atau keberkesanannya terhadap COVID-19 adalah tidak pasti.

Kami menilai kesan ivermectin terhadap orang yang dijangkiti pada:

– orang yang tenat;
– sama ada pesakit COVID-19 menjadi lebih baik atau lebih teruk;
– kualiti hidup;
– kesan tidak diingini yang serius dan tidak serius;
– penyingkiran virus.

Untuk pencegahan, kami mencari kesan untuk mencegah jangkitan SARS-CoV-2 dan penyakit COVID-19.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian rawak terkawal yang menyiasat ivermectin untuk mencegah atau merawat COVID-19. Orang yang dirawat di hospital atau sebagai pesakit luar perlu mempunyai COVID-19 yang disahkan oleh makmal.

Dalam kemas kini ini, kami turut menyiasat kebolehpercayaan kajian dan hanya memasukkannya jika ia memenuhi kriteria etika dan saintifik yang jelas.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kriteria seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mengecualikan tujuh daripada 14 kajian yang disertakan dalam ulasan sebelumnya kerana kajian ini tidak memenuhi kriteria etika dan saintifik yang diharapkan. Bersama-sama dengan empat kajian baru, kami memasukkan 11 kajian dengan 3409 peserta yang menyiasat ivermectin digabungkan dengan sebarang penjagaan biasa berbanding dengan penjagaan biasa atau plasebo yang sama.

Untuk rawatan, terdapat lima kajian tentang orang di hospital dengan COVID-19 sederhana dan enam kajian tentang pesakit luar dengan COVID-19 ringan. Kajian menggunakan dos ivermectin yang berbeza dan jangka masa rawatan yang berbeza.

Tiada kajian menyiasat ivermectin untuk mencegah jangkitan SARS-CoV-2.

Kami juga menemui 31 kajian yang sedang berjalan, dan 28 kajian tambahan yang masih memerlukan penjelasan daripada penyelidik atau belum diterbitkan.

Keputusan utama

Merawat orang di hospital dengan COVID-19

Kami tidak tahu sama ada ivermectin dibandingkan dengan plasebo atau rawatan biasa, 28 hari selepas rawatan:

– membawa kepada lebih banyak atau kurang kematian (3 kajian, 230 orang);
– memburukkan atau memperbaiki keadaan pesakit, dinilai dengan keperluan untuk pengudaraan atau kematian (2 kajian, 118 orang);
– meningkatkan atau mengurangkan kejadian serius yang tidak diingini (2 kajian, 197 orang).

Ivermectin dibandingkan dengan plasebo atau rawatan biasa 28 hari selepas rawatan, mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada:

– memperbaiki keadaan pesakit, dinilai dengan keluar dari hospital (1 kajian, 73 orang);
– kejadian tidak diingini yang tidak serius (3 kajian, 228 peserta).

Tujuh hari selepas rawatan, ivermectin mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk mengurangkan ujian negatif COVID-19 (3 kajian, 231 peserta) berbanding dengan plasebo atau penjagaan biasa.

Merawat pesakit luar dengan COVID-19

Ivermectin berbanding dengan plasebo atau penjagaan biasa 28 hari selepas rawatan, mungkin memberi sedikit perbezaan atau tiada perbezaan kepada orang yang mati (6 kajian, 2860 orang).

Ivermectin berbanding dengan plasebo atau penjagaan biasa 28 hari selepas rawatan, membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti hidup (1 kajiaan, 1358 orang).

Ivermectin dibandingkan dengan plasebo atau rawatan biasa 28 hari selepas rawatan, mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada:

– memburukkan keadaan pesakit, dinilai dengan kemasukan ke hospital atau kematian (2 kajian, 590 orang);
– kejadian tidak diingini yang serius (5 kajian, 1502 orang);
– kejadian tidak diingini yang tidak serius (5 kajian, 1502 peserta);
– memperbaiki gejala COVID‐19 orang dalam tempoh 14 hari selepas rawatan (2 kajian, 478 orang);
– bilangan orang dengan ujian negatif COVID-19 7 hari selepas rawatan (2 kajian, 331 orang).

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti, terutamanya untuk pesakit luar, bertambah baik sejak versi ulasan terakhir, kerana kami boleh melihat lebih ramai peserta dimasukkan dalam kajian berkualiti tinggi. Walaupun kami agak pasti mengenai keputusan kami tentang risiko orang mati dan kualiti hidup, keyakinan terhadap bukti masih rendah untuk banyak hasil pesakit luar dan pesakit dalam yang lain kerana hanya terdapat beberapa kejadian yang diukur. Kaedahnya berbeza antara kajian, dan mereka tidak melaporkan semua yang kami minati, seperti hasil yang berkaitan.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Carian penulisan sistematik adalah terkini hingga 16 Disember 2021. Selain itu, kami memasukkan kajian dengan > 1000 peserta sehingga April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Asiah Muhamad (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information